PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

December 2020 - page 3

Bas henti-henti RM1 beroperasi selewatnya April depan

in Edisi Perak by

IPOH – Perkhidmatan bas henti-henti dengan kadar bayaran RM1 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang dan Chenderiang akan dilaksanakan selewat-lewatnya, April depan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkara itu kini dalam peringkat tender bagi memilih syarikat operator bas.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melaksanakan tender ini.

“Sekiranya semua berjalan lancar, perkhidmatan ini akan kita laksanakan sebolehnya sebelum Ramadan tahun hadapan,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Menurutnya, perkhidmatan itu perlu disegerakan selaras dengan pelaksanaannya untuk memberi kemudahan pengangkutan kepada penduduk di pedalaman terutama orang asli.

“Sebelum ini memang tidak ada perkhidmatan bas disediakan di kawasan itu, jika bas ini beroperasi kelak, ia pasti dapat memberi manfaat kepada lebih 8,000 penduduk orang asli di kedua-dua kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memang bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan sama ke kawasan DUN lain namun bergantung kepada keperluan dan permintaan.

“Kita akan lihat dulu impak pelaksanaan bas ini dalam tempoh satu tahun, sekiranya berjaya dan mempunyai keperluan, maka perkhidmatan sama akan diperluas ke kawasan lain pula,” katanya.

Pertengahan Disember lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengumumkan peruntukan RM2 juta dalam Belanjawan Negeri 2021 bagi perkhidmatan bas henti-henti dengan kadar bayaran RM 1 ke Daerah Batang Padang dan Kuala Kangsar.

Kerajaan negeri sebelum ini memperkenalkan perkhidmatan bas henti-henti itu di Daerah Manjung sejak tahun 2019.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zolkafly berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan lanjut berhubung insiden di Jambatan Sultan Yusof di Batu 5, Teluk Intan Sabtu lepas hingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal tercampak ke dalam Sungai Perak.

Katanya, sebahagian laluan di kawasan jambatan itu masih dalam pembinaan dan dimaklumkan pihak kontraktor telahpun memasang dan meletakkan papan tanda keselamatan untuk panduan pengguna.

“Kita tidak mahu salahkan mana-mana pihak, cuma kita akan ambil tindakan susulan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Kes penipuan di Tapah catat kerugian RM2.1 juta

in Edisi Perak by

TAPAH – Kurang pendedahan mengenai modus operandi jenayah penipuan dalam talian menjadi punca utama mangsa diperdaya hingga merekodkan kerugian lebih RM2.1 juta sepanjang tahun ini di daerah Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kes yang diterima melibatkan pinjaman yang tidak wujud melalui laman sosial seperti Facebook, Macau Scam, pembelian barangan secara dalam talian, penipuan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) dan parcel scam.

“Seperti kes pinjaman tidak wujud, modus operandi yang digunakan ialah penyamaran sebagai pegawai bank yang menawarkan skim pinjaman bayaran bulanan yang murah dengan kadar faedah yang rendah.

“Walaupun sindiket ini menjanjikan proses pinjaman yang mudah dan segera, namun mereka akan mengenakan beberapa caj tambahan yang tidak wujud di mana bayaran itu kononnya akan dikembalikan bersama wang pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, bagi kes Macau Scam pula, suspek akan menyamar sebagai pegawai dari bank, mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Suspek akan menakutkan mangsa dengan menyatakan mereka telah terlibat dengan jenayah seperti pengubahan wang haram, pengedaran dadah dan pengeluaran waran tangkap ke atas mangsa.

“Menerusi modus operandi itu, suspek akan mengenakan caj tambahan yang tidak wujud kepada mangsa bagi menyelesaikan kes jenayah tersebut,” katanya.

Katanya, orang awam dinasihatkan tidak menyerahkan maklumat akaun bank atau kad wang mesin juruwang automatik (ATM) kepada individu tidak dikenali bagi mengelakkan diri mereka menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket penipuan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah turut menerima laporan membabitkan kes pecah amanah jenayah membabitkan kerugian sebanyak RM223,182.70 dan kes pinjaman wang tidak berlesen berjumlah RM142,000.

Penguat kuasa perlu lebih agresif

in Wacana by

SHAH ALAM – Bahagian penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara perlu lebih agresif dalam mengesan modus operandi yang dilakukan kartel daging import.

Usahawan daging import, Mohd Hafis Khairulah berkata, ini kerana golongan berkenaan sentiasa menukar strategi penyeludupan mereka bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dalam isu kartel (daging import) ini mereka sentiasa lebih ke hadapan daripada penguat kuasa itu sendiri. Dia lebih 10 tapak ke hadapan, tetapi kita (penguat kuasa) masih berada dalam tapak tahun lepas lagi.

“Jadi, sepatutnya penguatkuasaan kita sendiri kena lebih ke hadapan daripada kartel. Sebab mereka akan sentiasa tukar modus operandi.

“Bila dah kena serbu sekarang ini (kartel daging import). Jadi mereka sentiasa tukar modus operandi. Jadi kita kena belajar lagi apa modus operandi yang akan mereka buat. Itu yang penting,” katanya pada Wacana Sinar Harian edisi ke-220 bertajuk Isu Kartel Daging Import: Korupsi Sampai Jejas Halal? di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mohd Hafis turut mengesyorkan agar satu unit khas yang dianggotai kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau agensi berkaitan ditempatkan di pintu masuk sempadan negara.

Menurutnya, langkah itu wajar dilakukan bagi membolehkan unit berkenaan membuat pemeriksaan ke atas produk import yang dibawa masuk khususnya makanan bagi memastikan tidak timbul lagi status halal yang diragui.

Selain itu katanya, penguat kuasa juga perlu memantau penjualan daging secara dalam talian atau media sosial kerana didapati banyak daripada produk yang dijual itu tidak mempunyai sijil halal.

“Hasil risikan yang kami lakukan kebanyakan produk daging import khususnya wagyu yang dijual dalam talian tidak mempunyai sijil halal. Jadi pemantauan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa untuk membendung perkara ini,” katanya.

Wujudkan segera akta halal

in Wacana by

SHAH ALAM – Kerajaan digesa untuk segera mewujudkan akta halal bagi membolehkan tindakan kawal selia industri halal dapat diseragamkan dengan komprehensif.

Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, langkah ini perlu dilaksanakan bagi menambah baik akta sedia ada yang terpisah mengikut kementerian atau agensi.

“Apa yang berlaku hari ini merupakan satu manifestasi (kelompongan) yang kita tidak nampak. Tapi ia membuktikan ada sesuatu yang tidak kena (dalam industri halal).

“Cabaran yang kita lalui ini cukup besar di mana ia memperlihatkan kelemahan.

“Jadi, kita minta sesuatu dilakukan oleh pembuat undang-undang supaya zahirkan kebimbangan yang berlaku hari ini dengan mewujudkan akta halal,” katanya pada Wacana Sinar Harian edisi ke-220 bertajuk Isu Kartel Daging Import: Korupsi Sampai Jejas Halal? di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Menurutnya, ketika ini merupakan tempoh terbaik untuk mewujudkan akta tersebut supaya tidak berlaku kekeliruan dalam mengambil tindakan memandangkan akta yang terpisah mengikut kementerian dan agensi.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa supaya penguat kuasa berkaitan membuat serbuan ke atas kilang atau tempat simpanan daging import bagi mengenal pasti mana yang halal atau sebaliknya.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan bagi mengatasi keresahan yang sedang dialami rakyat khususnya orang Islam ketika ini susulan pendedahan mengejut yang dibuat baru-baru ini.

Bukti industri halal negara rapuh

in Wacana by

SHAH ALAM – Isu kartel daging import yang hangat diperkatakan ketika ini jelas memperlihatkan wujudnya kerapuhan dan kelompongan dalam industri halal negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu perlu diselesaikan secara holistik bagi mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat khususnya orang Islam terhadap produk daging import.

Menurutnya, apa yang berlaku ini seharusnya menjadi pencetus kepada kerajaan terutamanya agensi berkaitan untuk menilai kembali dasar atau tindakan yang dibuat sebelum ini.

“Apa yang berlaku hari ini ia menyerlahkan kerapuhan atau kelompongan atau pun kelemahan fundamental (asas) dalam industri halal kita sebenarnya.

“Sebab itulah untuk pengetahuan waktu kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah dulu, waktu itu saya sebagai timbalan menteri (di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kita ada mencadangkan untuk diwujudkan satu majlis halal Malaysia.

“Saya ingat lagi, majlis halal ini kerajaan telah luluskan lebih kurang empat sebelum BN jatuh pada 2018. Ia bukan sahaja diluluskan di peringkat Kabinet tapi turut dibentangkan di Majlis Raja-raja. Tapi sekarang ini kita tidak tahu apa statusnya,” katanya pada Wacana Sinar Harian edisi ke-220 bertajuk Isu Kartel Daging Import: Korupsi Sampai Jejas Halal? di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Wacana itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan usahawan daging import, Mohd Hafis Khairulah, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, masa ini juga menjadi saat terbaik untuk kerajaan menilai semula struktur dan tadbir urus sistem industri halal secara komprehensif.

Katanya, ia termasuklah bagaimana untuk menyelaras semua agensi yang terlibat dalam industri halal Malaysia.

“Bukan sahaja aspek pensijilan, pemeriksaan tetapi juga kawal selia sampailah ke penguatkuasaan.

“Juga paling penting, bagaimana proses kita mendidik dan beri pencerahan kepada rakyat untuk mereka betul-betul fahami aspek halal itu,” katanya.

Isu kartel daging import: Korupsi sampai jejas halal?

in Wacana by

Sejak 23 November lalu juga, setiap hari Sinar Harian membongkar satu demi satu isu ini dengan mendapatkan penjelasan ramai pihak.

Namun masih tak nampak jalan penyelesaian – masyarakat semakin keliru, kerajaan masih membisu.

Apa selepas pembongkaran hebat ini?

Saksikan Wacana Siri 220 di semua platform media sosial SINAR HARIAN:

Portal: www.sinarharian.com.my

Facebook: https://www.facebook.com/sinarharian

Twitter: https://twitter.com/SinarOnline

Youtube: https://www.youtube.com/user/SinarHarianWebTV

#WacanaSinar

#KekalNeutral

#KartelDaging

Pukul kucing bunting hingga mati kerana berak depan rumah

in Edisi Utara by

SEBERANG JAYA – Seorang wanita tergamak memukul seekor kucing yang bunting sehingga mati disebabkan haiwan itu membuang najis di hadapan rumahnya di sebuah flat di sini petang Selasa.

Dalam kejadian jam 1.20 petang itu, wanita berusia 51 tahun itu dilihat memukul dua ekor kucing yang berada berhampiran dengan rumahnya dengan sebatang besi hingga menyebabkan seekor lagi cedera di bahagian mulut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, tingkah laku wanita itu disedari penduduk yang kebetulan sedang duduk berehat di sebuah pondok berhampiran tempat kejadian.

Menurutnya, kesal dengan perbuatan wanita itu, lelaki berkenaan kemudiannya menghubungi Jabatan Veterinar bagi melaporkan kejadian.

“Pengadu melihat wanita itu masuk ke dalam kereta dan mengambil sebatang besi sebelum memukul dua ekor kucing itu.

“Lelaki berkenaan melihat wanita itu merungut disebabkan haiwan berkenaan membuang najis di hadapan rumahnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Berikutan itu, Shafee berkata, sepasukan pegawai dari Jabatan Veterinar termasuk pegawai kebajikan haiwan hadir ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

Katanya, mereka turut mengambil bangkai serta membawa kucing yang luka kucing untuk dibawa balik ke Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar di Bukit Tengah.

“Kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Veterinar dan disiasat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya.

Mesyuarat ketiga Dewan Negara ditangguh, sembilan RUU dilulus

in Belanjawan 2021 by

KUALA LUMPUR – Mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Dewan Negara ditangguhkan pada Selasa selepas tujuh hari bersidang dengan sembilan Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan.

Empat RUU yang diluluskan hari ini ialah Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Pelancongan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020.

Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri.

Sementara Rang Undang-Undang Pelancongan (Pindaan) 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, manakala Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020 oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Abd Rahim ketika membentangkan dua RUU berkaitan cukai jualan dan perkhidmatan itu memaklumkan pindaan itu dilakukan susulan pindaan yang telah dilaksanakan terhadap Akta Kastam 1967.

“Pindaan juga dilakukan bagi memperkemas pelaksanaan cukai jualan antaranya dengan menambah baik peruntukan berkaitan pemberhentian tanggungan untuk berdaftar dan pembayaran balik cukai jualan secara tidak wajar.

Mohd Shahar pula berkata, Rang Undang-Undang Pelancongan (Pindaan) 2020 melibatkan pindaan terhadap Akta Cukai Pelancongan 2017 (Akta 791) bertujuan untuk melaksanakan langkah cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Ia bagi memperluaskan skop berkenaan cukai pelancongan ke atas premis penginapan yang ditempah melalui pemberi perkhidmatan platfom digital bagi menyamaratakan layanan cukai pelancongan sedia ada.

Sementara itu, Wan Junaidi memaklumkan, Akta Koperasi 1993 telah beberapa kali dipinda dalam usaha untuk memperkukuhkan elemen kawal selia ke atas koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

“Kementerian berpandangan bahawa Akta Koperasi perlu dipinda bagi ditambah baik bersesuaian dengan perkembangan ekonomi semasa baik di dalam mahupun luar negara.

“Pindaan akta ini akan menjadi pemudah cara kepada gerakan koperasi di negara ini menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.

Pada Isnin, lima RUU yang diluluskan termasuk Rang Undang-Undang Kewangan 2020, Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020, dan Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2020.

Turut diluluskan Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2020.

Dewan Negara turut membahaskan isu panas kartel daging haram yang dikemukakan oleh Senator Asmak Husin dengan seramai sembilan orang senator mengambil bahagian sebelum Timbalan Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid menggulung isu itu.

Sebelum mengakhiri sidang terakhir 2020, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mengucapkan terima kasih kepada semua senator yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dan menyumbang buah fikiran dalam suasana harmoni.

“Keadaan ini sekali gus menggambarkan nilai-nilai Dewan Negara selaku badan legislatif tertinggi negara,” katanya

Beliau turut mengucapkan selamat tahun baharu kepada semua senator dan berharap 2021 akan membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada semua.

Persidangan dewan disambung hingga ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian. -Bernama

Tidak timbul isu kenaikan harga produk pertanian Cameron Highlands

in Edisi Pahang by

KUANTAN – Tidak timbul isu kenaikan harga produk pertanian dari Cameron Highlands kerana nilai sewaan tanah RM4,500 setahun tidak memberikan kesan besar kepada keuntungan petani dan peraih, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, kadar sewaan berkenaan telah dikaji dan bersesuaian dengan keadaan semasa serta tidak membebankan petani di kawasan tumpuan pelancong itu.

“Nilai RM900 sewaan bagi seekar (0.4 hektar) tanah setahun ialah kadar TOL (lesen pendudukan sementara) dan tidak termasuk cukai dan pembayaran lain, manakala nilai RM4,500 bagi seekar tanah setahun ialah pembayaran keseluruhan yang terangkum.

“Bayaran RM4,500 setahun (RM375 sebulan) ini adalah lebih rendah berbanding dengan kadar sewaan tanah persendirian sebanyak RM12,000 hingga RM14,000 bagi seekar tanah dalam masa setahun,” katanya dalam catatan laman Facebook beliau pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah agensi berita asing yang mendakwa kemungkinan berlaku kenaikan harga sayur dari Cameron Highlands susulan kadar sewaan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri tersebut.

Menurut Wan Rosdy, bayaran itu juga boleh dibuat secara ansuran sebanyak empat kali dalam setahun kepada Pahang Corporation Sdn Bhd.

“Bayaran RM4,500 ini akan digunakan oleh kerajaan Pahang untuk pembangunan negeri, terutamanya dalam usaha memulihkan semula alam sekitar yang telahpun terkesan teruk oleh aktiviti pertanian yang dijalankan selama ini.

“Kaedah penyewaan 3+2 yang diperkenalkan ini turut juga diambil kira daripada rungutan pekebun yang mengadu bahawa kaedah penyewaan TOL sebelum ini sukar kerana mereka terpaksa memperbaharui lesen menduduki tanah tersebut setiap tahun,” jelasnya.

Malah, Wan Rosdy berkata, tidak timbul isu kesukaran untuk mendapat pembiayaan daripada pihak bank kerana kerajaan negeri dimaklumkan institusi perbankan seperti AgroBank dan Maybank bersetuju dengan syarat kaedah penyewaan terbaharu berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri terbuka kepada sebarang kritikan mana-mana pihak, namun sebarang pendapat dan kritikan yang diberikan haruslah bersandarkan fakta.

Pada 19 November lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dilaporkan berkata, Pahang Corporation Sdn Bhd menetapkan kadar sewaan tanah pertanian sebanyak RM4,500 seekar (0.4 hektar) setahun kepada pekebun di Cameron Highlands

Menurut Mohd Soffi, seorang pekebun hanya dibenarkan menyewa tidak melebihi tiga ekar (1.2 hektar) dengan tempoh pajakan selama 10 tahun dan proses pengurusan pemberian sewa, secara keseluruhannya akan melibatkan empat fasa. – Bernama

1 2 3 4 5 43
Kembali UTAMA