PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

December 2020 - page 4

Wanita maut dalam nahas lima kenderaan

in Edisi Pahang by

BENTONG – Seorang wanita maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 3 Jalan Bentong ke Raub di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, kejadian melibatkan sebuah treler jenis Scania, masing-masing sebuah Proton Wira dan Perodua Myvi serta dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh @ Mohamad Daud berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai S Puganeswari, 42, yang merupakan pemandu Perodua Myvi dan beralamat Taman Cheras Awana, Selangor.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dari Raub menuju ke Kuantan hilang kawalan.

“Pemandu treler tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang Proton Wira. Treler itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Myvi berkenaan.

“Pada masa sama, Proton Wira itu melanggar belakang kedua-dua Toyota Wish yang berada di hadapannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Kamarulzaman berkata, Puganeswari yang merupakan suri rumah tersepit dan dikeluarkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong yang tiba.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

“Pemandu treler terbabit tidak cedera namun hasil ujian saringan awal air kencing didapati positif methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, pemandu Proton Wira, Mohd Saiful Azwan Ishak, 30, yang juga seorang anggota tentera dari Kem Bentong mengalami luka pada bahagian kaki dan tangan kanan.

Katanya, dua penumpang iaitu isterinya, Intan Diana Esha, 32, dan anak mereka, Muhammad Faid Amsyar, 2, cedera di kepala.

“Mangsa-mangsa telah dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiga bot laju sedia operasi 1 Januari 2021

in Edisi Utara by

GEORGETOWN – Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sudah bersedia dalam melaksanakan perkhidmatan bot laju untuk penumpang bagi menggantikan feri ikonik Pulau Pinang, bermula pada 1 Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, V Sasedharan berkata, sebanyak tiga buah bot laju telah disewa dan dua daripadanya akan beroperasi serentak sepanjang tempoh interim bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.

Menurutnya, kesemua bot itu telah mendapat lesen keselamatan daripada Jabatan Laut Malaysia untuk beroperasi sepanjang 18 bulan akan datang.

“Untuk bot laju, ia mempunyai 40 perjalanan bermula jam 6.30 pagi hingga 11.30 malam setiap hari. Bot ini akan bergerak mengikut jadual iaitu satu perjalanan setiap 30 minit, yang mana, kapasitinya adalah 200 penumpang.

“Pada hari ini, kita sudah bersedia untuk melaksanakan perkhidmatan bot laju ini pada 1 Januari,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan terminal dan tinjauan operasi perkhidmatan feri baharu di Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham, di sini pada Isnin.

Tambahnya, tambang bot laju adalah sama seperti tambang untuk pejalan kaki bagi feri ikonik pada waktu ini.

“Bot laju ini hanya mengambil masa tujuh hingga 10 minit untuk satu perjalanan. Ini amat menjimatkan masa berbanding dengan feri ikonik yang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk satu perjalanan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, kesemua bot laju tersebut telah mendapat lesen keselamatan daripada Jabatan Laut Malaysia dan selamat untuk beroperasi.

“Saya faham, ada beberapa pihak yang mempertikaikan tentang keselamatan bot laju ini. Orang ramai tidak perlu risau kerana kita sudah mendapat lesen keselamatan daripada Jabatan Laut Malaysia dan selamat untuk membawa penumpang.

“Saya minta beri peluang kepada SPPP dan PPSB untuk buktikan bahawa perkhidmatan ini adalah terbaik. Kita yakin ramai penumpang akan menaiki bot laju ini bermula 1 Januari nanti tambahan pula kita memberi tambang secara percuma selama dua minggu,” katanya.

Tambahnya, perkhidmatan feri bot laju itu juga dijangka digunakan oleh kira-kira 1.8 juta penumpang memandangkan ia lebih selesa, pantas dan efisen kepada pengguna.

“Pada 2019, jumlah pejalan kaki yang menggunakan perkhidmatan feri ikonik adalah sekitar 1.3 juta.

“Jadi kita jangka jumlah penumpang feri bot laju ini juga akan meningkat seiring dengan perkhidmatan yang lebih pantas dan selesa serta berhawa dingin,” katanya.

Pada 15 Disember lalu, Teik Cheng mengumumkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari tahun depan yang mana feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal.

Bermula tarikh itu juga, perkhidmatan feri bagi penumpang, motosikal dan basikal akan diambil alih oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Prasarana Malaysia Berhad.

PPSB juga akan menyediakan perkhidmatan katamaran untuk penumpang, motosikal dan basikal bagi menggantikan feri sebelum ini.

Untuk sementara, perkhidmatan bagi penumpang akan menggunakan feri laju manakala untuk motosikal serta basikal menggunakan feri sedia ada.

Bermula 1 Januari 2021 hingga Jun 2022, penggunaan feri laju dan feri sedia ada adalah langkah interim sebelum empat katamaran yang akan dijadikan teksi air dan ‘vehicle transporter’ digunakan.

Namun, Teik Cheng berkata, bagi mengekalkan nilai sejarah dan elemen ikonik Pulau Pinang, SPPP akan menempatkan dua buah feri sedia ada di Tanjung City Marina.

Dua feri tersebut akan diubahsuai sebagai restoran dan muzium terapung yang mana, kedua-duanya tidak akan bergerak, hanya diletakkan di Tanjung City Marina.

Nur Aimi sudah sedar, polis akan ambil keterangan

in Edisi Perak by

IPOH – Ibu kepada tiga kanak-kanak lelaki yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, berhampiran Gunung Lang pada 16 Disember lalu sudah sedarkan diri.

Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, yang kritikal dalam nahas itu juga sudah mampu bercakap selepas hampir dua minggu dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa kini sudah ditempatkan di wad biasa hospital berkenaan bagi tujuan pemantauan.

“Keadaannya kini stabil dan dimaklumkan mangsa sudah boleh bercakap.

“Polis akan menunggu waktu yang sesuai untuk mengambil keterangan mangsa berhubung kejadian itu,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp yang dikongsi kepada media pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu belum tahu tiga anak sudah tiada

A Asmadi berkata, siasatan kes berkenaan bagaimanapun masih berjalan.

“Polis sudah mengambil keterangan daripada beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, tiga anak lelaki Nur Aimi iaitu Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7, Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy yang berusia setahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketika kejadian, empat beranak itu dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang selepas menghabiskan cuti di Melaka sebelum kereta jenis Perodua Axia dipandu Nur Aimi hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berada di lorong kecemasan.

Lelaki melecur selamatkan diri dalam kebakaran

in Edisi Johor by

MERSING – Seorang lelaki melecur ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Tanjung, Endau, dekat sini pada Ahad.

Dalam kejadian pada jam 12.20 tengah malam, Zulhamili Ali, 54, yang sedang tidur menyedari berlaku kebakaran sebelum berjaya melarikan diri.

Percubaannya untuk memadam kebakaran tidak berjaya sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau untuk bantuan.

Seramai lapan anggota dengan sebuah jentera Light Fire Rescue Team (LFRT) dan satu utiliti Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Penolong Pegawai Bomba Mohd Alias Hussin berkata, semasa bomba tiba rumah berkenaan sudah terbakar kira-kira 90 peratus.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 40 kaki x 30 kaki. Pihak bomba menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran sehingga kebakaran padam sepenuhnya.

“Mangsa melecur di bahagian tangan dan badan. Mangsa diserahkan kepada ambulan untuk rawatan lanjut.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Operasi tamat pada jam 1.30 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tiga beranak nyaris maut langgar kerbau melintas di LPT2

in Edisi Terengganu by

HULU TERENGGANU- Tiga beranak nyaris maut apabila kenderaan jenis Honda Jazz yang dinaiki mereka merempuh kerbau yang melintas secara tiba-tiba, dalam kejadian di susur Kuala Telemong-Plaza Tol Telemong di Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dikatakan datang dari arah Manir menuju ke Kuantan, Pahang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, apabila sampai di tempat kejadian, pemandu itu mendapati sekumpulan kerbau telah melintas di hadapannya.

“Dia kemudiannya telah mengelak ke kanan jalan, namun telah terlanggar salah seekor kerbau tersebut menyebabkan kereta yang dipandunya terbabas ke kanan jalan.

“Akibat daripada perlanggaran itu, pemandu terbabit mengalami luka ringan di bahagian hidung dan telah menerima rawatan di Klinik Telemong. Ibu dan ibu saudaranya juga mengalami kecederaan ringan di muka,” katanya.

Mohd Adli turut menasihati pemilik haiwan ternakan agar lebih bertanggungjawab dan tidak melepaskan ternakan mereka tanpa pengawasan.

Jelasnya, banyak kes kemalangan melibatkan haiwan ternakan melintas di jalan dan lebuh raya, yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

Tiga beranak nyaris maut langgar kerbau melintas di LPT2

in Uncategorized by

HULU TERENGGANU- Tiga beranak nyaris maut apabila kenderaan jenis Honda Jazz yang dinaiki mereka merempuh kerbau yang melintas secara tiba-tiba, dalam kejadian di susur Kuala Telemong-Plaza Tol Telemong di Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dikatakan datang dari arah Manir menuju ke Kuantan, Pahang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, apabila sampai di tempat kejadian, pemandu itu mendapati sekumpulan kerbau telah melintas di hadapannya.

“Dia kemudiannya telah mengelak ke kanan jalan, namun telah terlanggar salah seekor kerbau tersebut menyebabkan kereta yang dipandunya terbabas ke kanan jalan.

“Akibat daripada perlanggaran itu, pemandu terbabit mengalami luka ringan di bahagian hidung dan telah menerima rawatan di Klinik Telemong. Ibu dan ibu saudaranya juga mengalami kecederaan ringan di muka,” katanya.

Mohd Adli turut menasihati pemilik haiwan ternakan agar lebih bertanggungjawab dan tidak melepaskan ternakan mereka tanpa pengawasan.

Jelasnya, banyak kes kemalangan melibatkan haiwan ternakan melintas di jalan dan lebuh raya, yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

Kedah akan mula rundingan rasmi isu air

in Edisi Utara by

SIK – Kerajaan Kedah akan memulakan proses rundingan rasmi berhubung isu tuntutan bayaran caj air mentah kepada Pulau Pinang dengan seberapa segera.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya akan mengarahkan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah untuk berbuat demikian bersama agensi berkaitan dari kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurutnya, Kedah tetap dengan pendirian tegas mahu menuntut bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke Pulau Pinang.

“Selain menghantar surat, kita akan buat mesyuarat di peringkat pegawai, peringkat exco dan mungkin sampai ke peringkat ketua menteri dan menteri besar,” katanya ketika menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau, di sini pada Isnin.

Muhammad Sanusi menjelaskan, tuntutan rasmi melalui surat telah dihantar kepada Pulau Pinang beberapa kali sebelum ini, namun tidak diendahkan.

Katanya, surat kepada kerajaan Persekutuan telah dihantar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan beberapa permohonan lain.

“Kita minta kerajaan Persekutuan menjadi pemudah cara dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semasa di Parlimen, saya dengar beliau sendiri minta Pulau Pinang bayar kepada Kedah,” katanya.

Pada Ahad, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya akan menunggu sebarang tindakan yang akan diambil kerajaan Kedah berhubung bayaran caj air mentah dari Sungai Muda.

Menurutnya, setakat ini, tiada sebarang rundingan rasmi antara kedua-dua negeri dibuat sejak isu terbabit dibangkitkan sebelum ini.

Pembalakan Ulu Muda terkawal tanpa jejas kawasan tadahan air

in Edisi Utara by

SIK- Kegiatan pembalakan di luar kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dilaporkan terkawal tanpa menjejaskan kawasan tadahan air sekali gus bekalan air ke negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang berjalan lancar.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hasil pemantauan yang dilakukannya mendapati pembalakan dilaksanakan secara terkawal di kawasan yang telah diberi kelulusan.

“Saya masuk di tengah-tengah Ulu Muda dekat Sungai Kuala Kasai, sebab ada orang ‘pekak’ sebelum ini dakwa Sungai Muda berpunca dari Thailand, namun saya pergi tengok sendiri lokasinya dan menafikan, yang sebenarnya Kedah dipisahkan dengan banjaran,” katanya ketika menyertai Program Kayuhan Belia Sejahtera di Kompleks Pas Sungai Pau, di sini pada Isnin.

Katanya, terdapat tujuh batang sungai bercantum di Ulu Muda yang akhirnya mengalirkan bekalan air ke Sungai Muda.

“Kawasan yang digazetkan sebagai kawasan tadahan tidak akan diganggu, yang dah diluluskan untuk pembalakan ialah sebanyak 25,000 hektar.

“Kita tak biar tetapi kena pantau, jangan ada tebangan melebihi catuan tahunan dan mematuhi zon penampan sejauh empat kilometer untuk menjaga aliran sungai.

“Kawasan yang dibenarkan tebangan juga kena pantau dan spesis yang dilindungi juga tak boleh ditebang,” katanya.

Pada Ahad, Muhammad Sanusi melakukan pemantauan ke kawasan Ulu Muda bagi memastikan aktiviti pembalakan di kawasan terbabit mematuhi pemit dibenarkan tanpa menjejaskan kawasan tadahan air.

Geng abang sado imarah masjid

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

SEREMBAN – Kebiasaannya ahli jawatankuasa masjid (AJK) terdiri daripada golongan yang sudah berusia, namun lain pula di Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang, di sini, yang melantik ‘geng abang sado’ sebagai AJK tambahan.

Inisiatif itu antara lain bertujuan menarik minat golongan muda untuk mendekatkan diri dengan masjid.

Pengerusi Kariah Masjid Arraudah Taman Rasa Sayang, Zulkifli Muhamad berkata, geng abang sado atau dikategorikan sebagai kluster sado merupakan antara lima kluster AJK tambahan masjid yang diwujudkan dalam usaha memperluaskan jalinan kerjasama.

“Sebelum ini kita ada kluster bukan Islam dan sekarang kita tambah lagi kluster lain iaitu kluster sado.

“Pada tahun depan kita bercadang menambah tiga lagi kluster iaitu penghantar makanan, kluster penjaja burger dan kluster bisnes online,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, dengan kepelbagaian latar belakang AJK yang dilantik, ia dapat memberi manfaat kepada masjid untuk mendapat idea yang lebih baik.

Beliau berkata, institusi masjid perlu bersikap terbuka dengan menggunakan pelbagai bentuk pendekatan supaya dapat menarik pelbagai lapisan usia masyarakat Islam untuk datang ke masjid.

“Pada mulanya kita lantik seorang AJK yang merupakan ‘kaki gym’ dan dari situ timbulnya idea untuk wujudkan kluster geng abang sado supaya jalinan kerjasama yang ada dapat dipertingkatkan.

“Lagipun ini ruang untuk kami menarik minat anak muda datang ke masjid sekali gus terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan dianjurkan,” katanya.

Zulkifli juga berpendapat, institusi masjid jangan terlalu statik atau menggunakan kaedah sama dalam mengimarahkan peranannya.

“Jangan kita fikir nak lantik AJK masjid perlu orang yang ada latar belakang agama sahaja. Bila macam itu, ia seperti kita menutup ruang.

“Sebagai contohnya dengan penubuhan kluster sado ini, salah seorang daripada mereka kita sedang latih untuk jadi bilal masjid selepas melihat kebolehannya.

“Mungkin selama ini mereka berminat, tapi tiada ruang. Sebab itu ‘tagline’ kita ‘tadbir bersama manfaat semua’,” katanya.

Sementara itu wakil kluster sado, Shahrul Ridzuan Abdul Rahman, 38, berkata, peluang menjadi sebahagian AJK masjid disifatkan sebagai peluang untuknya berubah ke arah lebih baik.

Malah beliau juga mengakui platform diberi dapat mendekatkan lebih ramai golongan muda dengan masjid sekali gus sama-sama dapat memainkan peranan.

“Rasanya tiada lagi mana-mana masjid wujudkan AJK tambahan sebegini. Sebenarnya ramai anak muda yang ingin terlibat sama menyumbang idea dan tenaga kepada masjid, tapi tiada ruang atau dorongan.

“Bila diberi kepercayaan sebegini, ia membuatkan kami rasa peranan orang muda itu diperlukan dan banyak yang kami boleh bantu terutama dalam menggerakkan aktiviti dan program masjid,” katanya.

1 2 3 4 5 6 43
Kembali UTAMA