PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

December 2020 - page 40

Peguam didakwa tipu anak guam cecah RM67,000

in Mahkamah by

SHAH ALAM – Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu anak guamnya supaya tidak ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 2017 lalu.

Tertuduh, P Nagarajan, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan S Bala Krishnan untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa supaya tidak ditangkap oleh SPRM berkaitan siasatan penyelewengan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Tindakan itu mendorong mangsa menyerahkan wang keseluruhannya berjumlah RM67,000 melalui cek dan pindahan Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) ke akaun Tetuan Nagarajan Peri & Co dan akaun CIMB tertuduh.

Kejadian didakwa dilakukan di beberapa kawasan sekitar Kajang antara 18 September dan 1 November 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam R Vikram, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar lebih rendah memandangkan punca pendapatan firma guamannya kini terjejas akibat Covid-19.

“Jumlah jaminan yang dicadangkan terlalu tinggi, jadi kami berharap jumlahnya diletakkan sebanyak RM20,000 untuk semua tuduhan.

“Selain terjejas akibat Covid-19, anak guam saya juga mempunyai masalah kesihatan iaitu menghidap kencing manis,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikehendaki mematuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 22 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Tidak mengaku salah miliki 22 ‘paintball marker’

in Mahkamah by

MELAKA – Seorang bekas pengurus sukan paintball mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan memiliki 22 laras ‘paintball marker’ menyerupai senjata tiruan, September lalu.

Idham Ibrahim, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Berdasarkan pertuduhan, Idham didakwa dalam milik dan jagaannya 22 laras senjata paintball yang menyerupai senjata tiruan kira-kira jam 9.20 pagi di Pusat Ekuestrian Hang Jebat di sini pada 12 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari yang mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam, Mawar Nur Izatti Md Zamri memohon jaminan rendah dikenakan dengan alasan anak guamnya ketika itu hanyalah bekerja sebagai pengurus dan bukannya pemilik malah sejak serbuan berkenaan anak guamnya tidak lagi bekerja dan segala kos tanggungan anak termasuk anak yang belajar di universiti terpaksa ditanggung oleh isterinya.

Tambahnya, anak guamnya itu juga perlu membiayai kos rawatan ibunya di pusat alzheimer serta bayaran ansuran pinjaman mereka.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 5 Januari depan untuk serahan dokumen.

Budak tercampak keluar kereta, jatuh jejambat

in Tragedi by

KUALA LUMPUR – Video seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun terjatuh dari jejambat di Jalan Pahang, di sini Jumaat lalu tular di media sosial sejak semalam.

Klip video yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu mula tersebar menerusi laman sosial Facebook.

Video berdurasi 33 saat itu menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan terjatuh di atas sebuah kereta yang diparkir di hadapan sebuah pusat pameran.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner, Zulkefly Yahya ketika dihubungi hari ini memaklumkan kanak-kanak itu cedera kerana tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Jalan Tun Razak dari Gombak di sini.

Zulkefly berkata, dalam kejadian pada jam 5.40 petang itu mangsa bersama bapanya menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dipercayai terbabas akibat hujan lebat lalu melanggar tembok kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, kanak kanak itu tercampak dari cermin sisi belakang kanan dan terjatuh ke bawah dari jejambat.

“Mangsa kemudian terjatuh di atas kereta yang parkir di hadapan sebuah pusat pameran di Jalan Pahang di sini,” katanya.

Zulkefly memaklumkan mangsa telah di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan lanjut.

Kanak-kanak OKU ditemukan lemas

in Tragedi by

ALOR SETAR – Kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Sedim di Kampung Bikan Atas Labu Besar, Kulim petang semalam ditemukan lemas pada jam 7.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, mayat mangsa, Irdina Aleesya Zamri, 8, berjaya ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa naik ke atas tebing sungai oleh anggota JBPM dan kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

“Ibu mangsa menyedari mangsa tiada di rumah pada jam 6 petang semalam sebelum keluar mencari mangsa bersama beberapa ahli keluarga yang lain di sekitar kawasan rumah sehingga ke Sungai Sedim yang terletak kurang 100 meter dari rumah mereka.

“Ibu mangsa telah menjumpai selipar dan tuala milik mangsa di kawasan tebing sungai berkenaan dan mengesyaki anaknya telah jatuh ke dalam sungai. Polis telah menerima laporan kejadian pada jam 6.40 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, anggotanya tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7.10 petang selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.30 petang.

Menurutnya, operasi mencari mangsa telah dijalankan di permukaan air di kawasan tebing sungai sehingga jam 1 pagi sebelum ia ditangguhkan.

“Operasi dijalankan semula pagi ini dan mangsa ditemukan pada jam 7.50 pagi,” katanya.

Harga emas turun, jumlah pelanggan meningkat

in Edisi Pahang by

KUANTAN – Penurunan mendadak harga emas menyebabkan orang ramai di daerah Kuantan turut mengambil kesempatan membeli emas.

Peniaga emas Roslina Hamid berkata, harga emas menurun sejak bulan lepas, berbeza dengan harga sebelum dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pernah mencecah RM280 pergram.

Katanya, penurunan itu juga menyebabkan ramai pelanggan berkunjung ke kedainya seawal jam 11 pagi.

“Pelanggan datang secara berperingkat dan pagi tadi agak ramai juga sehingga kita perlu sediakan kerusi di luar kedai bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Saya tak sangka akan terus menurun sebab selepas PKP kita jangka akan meningkat sehingga RM300. Sebaliknya turun sedikit demi sedikit dan kemudian turun mendadak seminggu ni.

“Masa turun ni elok beli sebab dijangka awal tahun depan meningkat semula,” katanya ketika ditemui di premis beliau di Jalan Mahkota di sini.

Bagaimanapun, beliau berharap pelanggan yang datang mematuhi SOP yang ditetapkan.

Bagi pelanggan Siti Intan Husin, 40, Bukit Setongkol berkata, dia membeli emas yang ditempah bulan lalu bagi mendapatkan harga semasa hari ini iaitu RM233 segram.

“Saya ada buat tempahan gelang emas bulan lalu. Ketika itu harga semasa ialah RM246 segram. Apabila mendapat tahu harga jatuh kepada RM233 saya terus datang hari ini dan beli tunai,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Zainura Mohd Nordin, 35, berkata, dia mengetahui harga emas turun melalui Facebook semalam dan datang ke kedai tersebut bagi membeli cincin untuk majlis pertunangan.

1 38 39 40
Kembali UTAMA