PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

December 2020 - page 43

Polis siasat ugutan jenayah terhadap KPN, Bukit Aman

in Jenayah by

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat berhubung kenyataan seorang individu yang mengugut akan menembak Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan menyerang Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya kini sedang mengesan suspek berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Kita menjalankan siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ada dakwaan mendakwa suspek tidak siuman, namun siuman atau tidak kita akan kesan terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Huzir berkata, suspek berkenaan juga membuat kenyataan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong beberapa bulan lalu.

Terdahulu seorang lelaki dilaporkan mendakwa dirinya ketua komander kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) 2.0 akan menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Individu terbabit menghantar ugutannya melalui emel kepada pihak media dan turut mendakwa akan menyerang Sri Lanka selepas serangan itu.

Dalam mesej berkenaan, individu terbabit turut mendakwa akan menembak Abdul Hamid.

Malah, dia juga mendakwa pihak polis menghalang media untuk berhubung dengannya sehingga gagal menggunakan WhatsApp dan telefon bimbit termasuk komputernya turut disekat.

Saya tiada niat menipu Dewan Rakyat: Shahbudin

in Belanjawan 2021 by

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya tampil menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menipu Dewan Rakyat.

Ia susulan kesilapannya menandakan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) bersetuju dalam senarai menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan semalam.

“Semasa membuat pengiraan undi, saya pada beberapa minit sebelum itu ada melihat Padang Rengas, cuma semasa undi berkenaan itu Padang Rengas mungkin tiada di situ.

“Saya tidak pasti sehinggalah diadukan tiada. Saya tiada niat untuk menipu atau melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan peraturan Dewan Rakyat,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Shabudin yang juga ketua penghitung blok C Dewan Rakyat, beliau juga telah membuat permohonan maaf kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun susulan kesilapan yang dilakukannya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya memang tiada dalam dewan’

Dalang utama judi ‘online’ diberkas

in Jenayah by

KUALA LUMPUR – Polis menahan dalang utama kegiatan judi dalam talian yang disyaki ada kaitan dengan Alvin Goh dan Addy Kanna menerusi operasi dari 10 Oktober hingga 20 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek dikenali sebagai Chen Dewei, 31, yang juga warga China.

“Lelaki itu ditahan di Mont Kiara di sini, bersama enam lagi suspek terdiri daripada lima lelaki warga China dan seorang lelaki tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Menurutnya, sepanjang operasi itu seramai 130 individu ditahan dalam serbuan yang dijalankan ke atas 14 premis ‘calling center’ yang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di sekitar Lembah Klang.

“Kita percayai dengan tangkapan ini berjaya menumpaskan 12 sindiket ‘calling center’ yang menjalankan aktiviti perjudian dalam talian termasuk didalangi Dewei dan suspek membawa sindiket dari China untuk membuka ‘calling center’ di sin.

“Suspek juga dikehendaki pihak berkuasa di China kerana kegiatan penipuan dan berperanan sebagai penghubung antara sindiket di Malaysia dan Chinai,” katanya.

Katanya, Dewei kini bersama enam lagi suspek antara 87 individu yang ditahan menerusi operasi Dadu Centre yang direman 38 hari mengikut Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Mereka akan dihadapkan ke Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) pada 8 Januari ini selepas tamat reman selama 38 hari.

“19 individu kini masih dalam siasatan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan 13 lagi dibebaskan,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Alvin Goh, Addy Kanna serta dua lagi anggota polis ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.

Hukuman tahanan selama dua tahun itu diputuskan Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri pada 25 dan 26 November lalu.

Huzir bekata, keempat-empat individu berkenaan akan dihantar ke tiga Pusat Pemulihan Khas (PPK) iaitu di Simpang Renggam, Bentong dan Pokok Sena,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Addy Kanna, Alvin Goh antara empat ditahan bawah POCA

Banjir kilat landa pekan Sungai Lembing

in Edisi Pahang by

KUANTAN – Banjir kilat sekitar jam 3 pagi tadi akibat hujan lebat menyebabkan dinding kedai, rumah dan peralatan milik penduduk Sungai Lembing di sini, mengalami kerosakan.

Ahli Dewan Negeri Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, bagaimanapun tiada penduduk yang perlu berpindah setakat ini dan keadaan masih terkawal berikutan air kembali surut menjelang tengah hari, tadi.

Menurutnya, Kampung Melayu dan Pekan Sungai Lembing, Padang turut dinaiki air akibat air turun dari hulu dan hujan yang tidak berhenti sejak malam.

“Air dipercayai naik akibat hujan lebat tanpa henti sejak tengah malam dan paras air sungai dari hulu Sungai Lembing naik mendadak. Penduduk dinasihatkan berhati-hati dan berwaspada amaran banjir,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk pekan Sungai Lembing sedang mencuci tinggalan lumpur di dalam dan luar premis perniagaan mereka.

Penduduk yang juga pengusaha bengkel motosikal, Chew Yee Yim, 70, berkata, air naik menyebabkan barangan di kedainya tenggelam.

“Kita memang sudah jangka banjir kilat akan berlaku pada musim tengkujuh. Cuma kita tak sangka air naik sangat cepat. Dalam dua jam air terus naik kemudian surut.

“Saya sudah 70 tahun tinggal di sini jadi kita bersiap sedia sejak awal. Kalau hujan lebat tak boleh tidur lena. Siap sedia sahajalah. Biasa tiga kali musim tengkujuh mesti banjir kilat,” katanya.

Kamaruddin Mat Taib, 62, dari Kampung Melayu Sungai Lembing berkata, siren amaran banjir kilat tidak kedengaran mungkin disebabkan hujan lebat atau gangguan teknikal.

“Sini memang tiap-tiap tahun akan banjir apabila tiba musim tengkujuh cuma kita tak boleh jangka bila air naik. Siren ada tapi malam tadi saya tak dengar. Tak tahu sama ada bunyi tak kuat atau sebab lain.

“Kita dah bersiap-siap barangan penting dah kemas simpan tempat tinggi. Jadi apabila hujan lebat saya memang tak akan tidurlah untuk berwaspada,” katanya.

Suspek utama kes tetak Dr Wan Hassan ditahan

in Jenayah by

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga individu termasuk seorang suspek utama yang menetak mati bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Wan Hassan Wan Embong dalam serbuan berasingan di Setapak dan Semenyih hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, ketiga-tiga individu ditahan dalam serbuan pada jam 3.30 pagi hingga jam 5 pagi di Jalan Genting Klang, Jalan Air Panas, Setapak dan Jalan Rinching di Semenyih.

“Siasatan awal ke atas suspek berusia 23 tahun yang ditahan di Jalan Rinching mendapati dia bertanggungjawab menetak mangsa dalam kejadian berkenaan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Huzir berkata, pihaknya sedang memburu seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Sugu Thangarajoo berusia 27 tahun.

“Kita percaya dapat menyelesaikan beberapa siri kes samun didalangi kumpulan ini di sekitar Lembah Klang, susulan penahanan semua suspek berkenaan.

“10 individu yang ditahan polis Kuala Lumpur kelmarin ditahan reman sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi kelmarin, rumah dihuni Dr Wan Hassan dan isteri, Sarifah Yusof, 70, di Bukit Bandaraya, Bangsar dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

Suspek yang tidak memakai topeng meminta wang menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesara MARDI maut ditetak perompak

Perompak tetak pesara dipercayai guna laluan belakang: Saksi

Lepas tetak pesara MARDI, suspek rompak rumah jurutera

Polis tahan suspek samun, tetak Dr Wan Hassan

Peguam didakwa tipu anak guam cecah RM67,000

in Mahkamah by

SHAH ALAM – Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu anak guamnya supaya tidak ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 2017 lalu.

Tertuduh, P Nagarajan, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan S Bala Krishnan untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa supaya tidak ditangkap oleh SPRM berkaitan siasatan penyelewengan dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Tindakan itu mendorong mangsa menyerahkan wang keseluruhannya berjumlah RM67,000 melalui cek dan pindahan Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) ke akaun Tetuan Nagarajan Peri & Co dan akaun CIMB tertuduh.

Kejadian didakwa dilakukan di beberapa kawasan sekitar Kajang antara 18 September dan 1 November 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Zander Lim Wai Keong mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam R Vikram, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar lebih rendah memandangkan punca pendapatan firma guamannya kini terjejas akibat Covid-19.

“Jumlah jaminan yang dicadangkan terlalu tinggi, jadi kami berharap jumlahnya diletakkan sebanyak RM20,000 untuk semua tuduhan.

“Selain terjejas akibat Covid-19, anak guam saya juga mempunyai masalah kesihatan iaitu menghidap kencing manis,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikehendaki mematuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 22 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Tidak mengaku salah miliki 22 ‘paintball marker’

in Mahkamah by

MELAKA – Seorang bekas pengurus sukan paintball mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan memiliki 22 laras ‘paintball marker’ menyerupai senjata tiruan, September lalu.

Idham Ibrahim, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Berdasarkan pertuduhan, Idham didakwa dalam milik dan jagaannya 22 laras senjata paintball yang menyerupai senjata tiruan kira-kira jam 9.20 pagi di Pusat Ekuestrian Hang Jebat di sini pada 12 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari yang mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguam, Mawar Nur Izatti Md Zamri memohon jaminan rendah dikenakan dengan alasan anak guamnya ketika itu hanyalah bekerja sebagai pengurus dan bukannya pemilik malah sejak serbuan berkenaan anak guamnya tidak lagi bekerja dan segala kos tanggungan anak termasuk anak yang belajar di universiti terpaksa ditanggung oleh isterinya.

Tambahnya, anak guamnya itu juga perlu membiayai kos rawatan ibunya di pusat alzheimer serta bayaran ansuran pinjaman mereka.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 5 Januari depan untuk serahan dokumen.

Budak tercampak keluar kereta, jatuh jejambat

in Tragedi by

KUALA LUMPUR – Video seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun terjatuh dari jejambat di Jalan Pahang, di sini Jumaat lalu tular di media sosial sejak semalam.

Klip video yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) itu mula tersebar menerusi laman sosial Facebook.

Video berdurasi 33 saat itu menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan terjatuh di atas sebuah kereta yang diparkir di hadapan sebuah pusat pameran.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner, Zulkefly Yahya ketika dihubungi hari ini memaklumkan kanak-kanak itu cedera kerana tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menghala ke Jalan Tun Razak dari Gombak di sini.

Zulkefly berkata, dalam kejadian pada jam 5.40 petang itu mangsa bersama bapanya menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dipercayai terbabas akibat hujan lebat lalu melanggar tembok kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, kanak kanak itu tercampak dari cermin sisi belakang kanan dan terjatuh ke bawah dari jejambat.

“Mangsa kemudian terjatuh di atas kereta yang parkir di hadapan sebuah pusat pameran di Jalan Pahang di sini,” katanya.

Zulkefly memaklumkan mangsa telah di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan lanjut.

Kanak-kanak OKU ditemukan lemas

in Tragedi by

ALOR SETAR – Kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Sedim di Kampung Bikan Atas Labu Besar, Kulim petang semalam ditemukan lemas pada jam 7.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, mayat mangsa, Irdina Aleesya Zamri, 8, berjaya ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa naik ke atas tebing sungai oleh anggota JBPM dan kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

“Ibu mangsa menyedari mangsa tiada di rumah pada jam 6 petang semalam sebelum keluar mencari mangsa bersama beberapa ahli keluarga yang lain di sekitar kawasan rumah sehingga ke Sungai Sedim yang terletak kurang 100 meter dari rumah mereka.

“Ibu mangsa telah menjumpai selipar dan tuala milik mangsa di kawasan tebing sungai berkenaan dan mengesyaki anaknya telah jatuh ke dalam sungai. Polis telah menerima laporan kejadian pada jam 6.40 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, anggotanya tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7.10 petang selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.30 petang.

Menurutnya, operasi mencari mangsa telah dijalankan di permukaan air di kawasan tebing sungai sehingga jam 1 pagi sebelum ia ditangguhkan.

“Operasi dijalankan semula pagi ini dan mangsa ditemukan pada jam 7.50 pagi,” katanya.

Harga emas turun, jumlah pelanggan meningkat

in Edisi Pahang by

KUANTAN – Penurunan mendadak harga emas menyebabkan orang ramai di daerah Kuantan turut mengambil kesempatan membeli emas.

Peniaga emas Roslina Hamid berkata, harga emas menurun sejak bulan lepas, berbeza dengan harga sebelum dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pernah mencecah RM280 pergram.

Katanya, penurunan itu juga menyebabkan ramai pelanggan berkunjung ke kedainya seawal jam 11 pagi.

“Pelanggan datang secara berperingkat dan pagi tadi agak ramai juga sehingga kita perlu sediakan kerusi di luar kedai bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Saya tak sangka akan terus menurun sebab selepas PKP kita jangka akan meningkat sehingga RM300. Sebaliknya turun sedikit demi sedikit dan kemudian turun mendadak seminggu ni.

“Masa turun ni elok beli sebab dijangka awal tahun depan meningkat semula,” katanya ketika ditemui di premis beliau di Jalan Mahkota di sini.

Bagaimanapun, beliau berharap pelanggan yang datang mematuhi SOP yang ditetapkan.

Bagi pelanggan Siti Intan Husin, 40, Bukit Setongkol berkata, dia membeli emas yang ditempah bulan lalu bagi mendapatkan harga semasa hari ini iaitu RM233 segram.

“Saya ada buat tempahan gelang emas bulan lalu. Ketika itu harga semasa ialah RM246 segram. Apabila mendapat tahu harga jatuh kepada RM233 saya terus datang hari ini dan beli tunai,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Zainura Mohd Nordin, 35, berkata, dia mengetahui harga emas turun melalui Facebook semalam dan datang ke kedai tersebut bagi membeli cincin untuk majlis pertunangan.

1 41 42 43
Kembali UTAMA