PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

December 2020 - page 6

Lelaki warga emas tunggang motosikal lawan arus

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by
Lelaki warga emas tunggang motosikal lawan arus

SEREMBAN – Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun dikenal pasti sebagai penunggang motosikal yang melawan arus di Kilometer 262 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, tular satu video di media sosial yang memaparkan motosikal jenis Demak ditunggang melawan arus dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, anggota polis terus ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu dan menahan lelaki terbabit.

“Siasatan mendapati warga emas berkenaan mempunyai masalah ingatan dan sedang dalam perjalanan dari arah Taman Temiang Jaya di sini menghala ke Bahau, Jempol.

“Dia tidak menyedari telah memasuki laluan ke Leburaya Utara-Selatan dan menunggang secara melawan arus,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, saringan ujian nafas dan air kencing negatif alkohol dan dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Terdahulu, pada Sabtu kira-kira jam 11.57 malam, tular rakaman video berdurasi selama 10 saat di media sosial menunjukkan sebuah motosikal yang dipercayai ditunggang secara melawan arus di Kilometer 262 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan.

Bagaimana pun, video tersebut dipercayai sudah dipadam berikutan pautan video tersebut tidak lagi boleh diakses sejak kira-kira jam 11.30 pagi pada Ahad.

Lelaki ditahan bersama rokok seludup

in Edisi Kelantan by

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas 5,240 batang rokok putih dan kretek bernilai RM3,946 yang diseludup dari negara jiran di Sekat Pintas Banggol Kong, Jeram Perdah di sini pada petang Sabtu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, selain itu seorang lelaki berusia 54 tahun turut di tahan bagi membantu siasatan.

“Nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM23,946.80,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Menurutnya, semasa anggota PGA sedang melakukan tugas Sekatan di Jalan Raya (SJR) Banggol Kong, Jeram Perdah, mereka telah menahan sebuah kenderaan dari jenis Perodua Kembara untuk tujuan pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan awal ke atas kenderaan itu telah menemui dua beg plastik hitam yang mengandungi rokok putih dan keretek.

“Pemeriksaan lanjut ke atas beg plastik itu, kita telah temui 5,000 batang rokok putih dan 240 batang rokok keretek

“Kesemua barangan kes dan suspek dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Azhari turut memaklumkan kes tersebut disiasat bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan siasatan awal mendapati kesemua rokok tersebut disyaki diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan.

“Kita juga dapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

JMM Perak buat empat laporan polis

in Edisi Perak by

IPOH – Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Perak membuat empat laporan polis mendesak tindakan tegas diambil terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan kartel penyeludupan daging sejuk beku.

Presiden JMM, Hamdan Mohd Salleh berkata, laporan itu dibuat secara serentak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Kuala Kangsar, Kampar dan Muallim pada Sabtu.

Menurutnya, laporan itu antara lain menyarankan agar pegawai dan kakitangan kerajaan yang bertugas di pintu masuk utama kontena ke negara ini iaitu di Pelabuhan Klang ditukarkan serta-merta.

“Perkara ini harus dilakukan segera dan JMM juga akan terus mendesak agar kertas siasatan terhadap perkara ini dibuka segera,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Terdahulu, Sinar Harian mendedahkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.

Perkara itu dibongkar oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang mengenal pasti tiga jenama popular produk daging sejuk beku keluaran Australia yang diproses di sebuah kilang sejuk beku.

Dua lemas: Pencarian masih tiada petunjuk

in Edisi Terengganu by

MARANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Kelulut dan Pantai Jambu Bongkok, di sini diperluaskan sejauh 42 kilometer bermula dari Kuala Marang hingga Kuala Abang, Dungun.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, operasi pada Sabtu bermula jam 7 pagi dan pihaknya merancang menghentikan operasi jam 12 tengah malam.

Bagaimanapun katanya, operasi akan diteruskan tanpa henti selama 24 jam jika perlu.

“Kebiasaannya dalam tempoh 24 jam, mangsa lemas akan timbul di permukaan air dan kita juga bersedia mengerahkan semua logistik yang ada,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pantai Kelulut di sini.

Mohd Zain berkata, seramai 110 anggota membabitkan pelbagai agensi terlibat SAR iaitu seramai 62 di Pantai Kelulut manakala 48 lagi di Pantai Jambu Bongkok.

Katanya, selain aset seperti bot, operasi turut menggunakan motosikal lasak dan jet ski.

“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa dibawa arus ke tengah laut kerana air pasang ketika kejadian pada Jumaat manakala air surut pada pagi Sabtu.

“Selain itu, keadaan air di pesisir pantai agak keruh dan menyukarkan kita mengesan mangsa. Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk membabitkan kedua-dua mangsa,” katanya.

Media melaporkan dua lelaki termasuk seorang bakal pengantin dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Kelulut dan Pantai Jambu Bongkok, di sini Jumaat

Dalam kejadian pada jam 6.40 petang di Pantai Kelulut, bakal pengantin, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras hilang selepas ditarik ombak ketika mandi di pantai berkenaan.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 48 tahun dari Hulu Terengganu pula dikhuatiri lemas selepas mandi bersama enam rakannya sebelum ditarik ombak ke tengah laut di Pantai Jambu Bongkok.

Parlimen Alor Setar: Biar kepimpinan Pusat tentukan

in Edisi Utara by

ALOR SETAR – MCA Kedah menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan Pusat untuk menentukan parti yang layak bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Goh Chin Cheung berkata, mana-mana parti boleh menawarkan diri untuk dicalonkan di mana-mana kerusi namun keputusan muktamad ditentukan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, sama ada kerusi tradisi milik MCA itu terus kekal ditandingi parti itu atau sebaliknya ia bukan ditentukan oleh MCA semata-mata.

“Sesiapa pun boleh tawarkan diri untuk bertanding. Kita serahkan sahaja kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk tentukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Chin Cheung berkata, setakat ini parti komponen BN Kedah belum lagi mengadakan mesyuarat bagi membincangkan agihan kerusi berkenaan.

Agihan kerusi PRU15 dijangka sengit susulan gabungan parti kini lebih banyak berbanding PRU14 lalu. Perikatan Nasional (PN) menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, UMNO, MCA, MIC serta bebas yang juga bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Seri Azmin Ali.

Pembangkang pula iaitu Pakatan Harapan (PH) dianggotai Parti Amanah Nasional (Amanah), DAP dan PKR diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kem Tun Dr Mahathir Mohamad yang meninggalkan Bersatu pula menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang kini diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ketika mengulas masa sesuai bagi komponen BN memuktamadkan perbincangan agihan kerusi PRU15 bersama rakan gabungan parti, Chin Cheung berkata, Pusat harus menentukan namun perlu memastikan ia tidak terlalu awal atau terlewat untuk melakukan penyesuaian.

Kelmarin, UMNO Bahagian Alor Setar menyatakan hasrat mahu meletakkan calonnya bertanding di Parlimen Alor Setar pada PRU15 walaupun kerusi terbabit secara tradisinya milik MCA.

Ketuanya, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, ini kerana pada PRU13 dan PRU14, kerusi Parlimen Alor Setar yang ditandingi MCA mengalami kekalahan teruk.

Alor Setar antara kawasan Parlimen majoriti pengundi Melayu yang tinggi, 63.58 peratus dan majoriti itu dijangka terus meningkat.

Pada PRU14, MCA meletakkan Datuk Yoo Wei How sebagai calon kerusi Parlimen Alor Setar namun kalah kepada calon PKR, Chan Ming Kai.

Wei How hanya memperoleh 14,181 undi manakala calon Pas, Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh (17,275 undi) dan Ming Kai (32,475 undi).

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tawar diri bertanding kerusi Parlimen Alor Setar

SUV, lori terbakar, tiga cedera

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

SEREMBAN – Tiga lelaki cedera apabila kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Rasah-Port Dickson berhampiran Masjid Jamek Datuk Bandar Haji Ahmad, Rasah pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kemalangan kira-kira jam 12.05 tengah hari itu turut menyebabkan kedua-dua buah kenderaan terbabit iaitu utiliti sukan (SUV), Proton X70 dan lori Inokom terbakar.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang dinaiki tiga individu berhenti di lorong kecemasan untuk melakukan kerja-kerja pemasangan kain rentang di tiang lampu.

“Tiba-tiba datang sebuah kereta Proton X70 yang dinaiki dua individu dari arah yang sama lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut. Akibatnya kedua-dua kenderaan itu terbakar,” katanya dalam satu kenyataan.

**media[922515]**

Katanya, berikutan itu, pemandu dan penumpang kereta serta seorang penumpang lori cedera manakala dua lagi selamat, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Hamlan Ishak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.06 tengah hari dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

“Seramai 13 anggota Balai Bomba Seremban dan Balai Bomba Seremban 2 terbabit membantu memadamkan kebakaran. Terdapat lima mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut dan mereka diselamatkan oleh orang awam.

“Siasatan awal mendapati pelanggaran kedua-dua buah kenderaan menyebabkan kebakaran. Kami turut menggunakan satu unit ‘foam’ untuk memadamkan kebakaran berkenaan,” katanya.

Pemerhati ekonomi bimbang perkembangan ekonomi suku keempat

in Wacana by

SHAH ALAM – Pemerhati dan penganalisis ekonomi bimbang prestasi atau perkembangan ekonomi menjelang berakhirnya suku keempat 2020 kerana dikatakan wujud peningkatan kes di Eropah dan penularan varian baharu Covid-19 di United Kingdom.

Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Profesor Dr Saadiah Mohamad berkata, faktor itu mungkin menyebabkan gagal berlaku pertumbuhan ekonomi yang positif.

Beliau berkata, dalam konteks Malaysia, pada suku keempat, kawalan pergerakan lebih ketat berbanding suku ketiga dan ditambah dengan situasi di peringkat global.

“Unjuran bagi melihat perkembangan positif ekonomi dunia dan negara kita tidak tercapai.

“Ini merupakan cabaran ekonomi global dan Malaysia yang akan menjadi cabaran besar dalam ketidaktentuan persekitaran semasa,” katanya pada Wacana Sinar Harian Siri Ke-219 bertajuk Menjengah 2021: Ekonomi Malaysia dan Nasib Rakyat di Dewan Karangkraf di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Malaysia bukan sahaja berdepan pandemik Covid-19 yang membawa kepada krisis ekonomi sebaliknya krisis politik.

“Mungkin ketika berlaku perubahan, pihak yang terlibat tidak menyangka pandemik ini mengakibatkan perubahan ekonomi negara.

“Kesan kepada ekonomi ini sukar untuk diasingkan sama ada ia disebabkan oleh faktor politik atau Covid-19 tetapi keduanya penyumbang kepada prestasi ekonomi Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia tetapi juga kepada hampir semua negara di dunia.

“Kalau melihat kepada penguncupan yang berlaku, Malaysia antara negara ASEAN yang menerima kesan paling teruk dengan penguncupan sebanyak 17 peratus. Akan tetapi pada suku ketiga berlaku situasi ekonomi terbuka di mana penguncupan itu berkurangan kepada dua peratus.

“Mengikut Belanjawan 2020, Malaysia diunjurkan dengan pertumbuhan yang positif lebih baik daripada tahun ini. Kita harap dengan pelbagai faktor termasuk vaksin yang dihasilkan dan mula diedarkan kepada banyak negara akan memberikan petanda yang baik,” katanya.

Johor perlu pangkalan data, rekod jumlah pekerja Malaysia di Singapura

in Edisi Johor by

PASIR GUDANG – Johor perlu membangunkan pangkalan datanya sendiri yang merekodkan jumlah pekerja Malaysia di Singapura.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, pangkalan data tersebut harus menyeluruh termasuk jumlah mereka yang dibuang kerja, terkandas di republik itu termasuk segala masalah yang dihadapi.

“Setakat ini kita tidak mempunyai pangkalan data menyeluruh yang boleh dijadikan rujukan,” katanya kepada pemberita selepas Program Gotong Royong Persatuan Kebajikan Anak Muda Bersatu (ABM) Pasir Gudang di Tanah Perkuburan Kampung Pertanian, Masai, di sini pada Sabtu.

Katanya, pihak bertanggungjawab membangunkan pangkalan data itu nanti boleh bekerjasama dengan kerajaan Singapura termasuk pihak majikan.

Selain itu ujarnya, bantuan wajar diberikan terhadap pekerja Malaysia di Singapura yang masih tidak dapat balik ke Johor sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.

Menurutnya, majoriti mereka amat terdesak untuk pulang ke Johor tetapi disebabkan kos tinggi yang terpaksa ditanggung sendiri, hasrat itu terpaksa dibatalkan dan menunggu sehingga sempadan dibuka sepenuhnya.

“Jika mereka mahu balik, mereka perlu mengeluarkan kos sebanyak RM8,000 untuk semua kos pulang ke Johor. Syarikat tempat mereka bekerja tidak menanggung kos tersebut dan apabila balik pula berisiko hilang kerja.

“Setakat ini menerusi bancian Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas di 3,000 rumah pekerja Malaysia di Singapura yang tinggal di Pasir Gudang, pelbagai masalah dihadapi keluarga mereka. Ini termasuk isu cerai-berai melibatkan pasangan suami isteri,” katanya.

Majoriti daripada mereka katanya, orang Sabah dan Sarawak selain Johor sendiri dan pihak Persatuan Kebajikan ABM Pasir Gudang dan Kelab Permotoran Bersatu Pasir Gudang menghulurkan sumbangan untuk keperluan mereka.

Ujarnya, bantuan diberikan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama kerana memahami kesusahan yang dialami akibat ketiadaan ketua keluarga manakala bancian akan diteruskan dari rumah ke rumah.

Sementara itu, Che Zakaria yang juga Penaung Persatuan Kebajikan ABM Pasir Gudang berkata, tempat kuarantin yang mencukupi perlu disediakan kerana kes Covid-19 terus meningkat kebelakangan ini di Johor.

Menurutnya, walaupun Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru disediakan untuk kuarantin, pihak berkenaan harus bersiap sedia jika keadaan bertambah buruk.

Operasi SAR berdepan cabaran ombak kuat

in Edisi Terengganu by

MARANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki termasuk bakal pengantin di dua lokasi pantai di Marang, di sini tetap diteruskan meskipun berdepan cabaran keadaan ombak yang kuat.

Namun, SAR yang bermula seawal jam 7 pagi hingga 10 pagi Sabtu itu masih gagal menemui petunjuk baharu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pencarian bermula di pesisir pantai dari Kuala Marang ke Kuala Dungun sejauh 52 kilometer (km).

“Operasi SAR di Kelulut pagi ini menggunakan bot Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana ia lebih sesuai dengan persekitaran pantai dengan ombak yang kuat ketika ini.

“Seramai 43 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, APMM dan Rela terlibat dalam operasi di Pantai Kelulut pagi ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sebelum ini, akhbar melaporkan dua lelaki dikhuatiri lemas dalam kejadian berasingan di daerah ini termasuk bakal pengantin hanya dalam tempoh selang dua minit laporan kejadian pertama diterima, petang Jumaat.

Kejadian berlaku di Pantai Jambu Bongkok dan Pantai Kelulut, di sini antara jam 6.38 petang dan 6.40 petang.

Dalam kejadian di Pantai Kelulut, di sini Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras, Kuala Lumpur datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, pada Sabtu.

Pasangan itu dijadualkan bernikah di kediaman Fatin Nabilah Huda di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong, di sini jam 10 pagi.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dikatakan mandi sebelum ditarik ombak kira-kira jam 6.40 petang.

Sebelum itu, kira-kira jam 10.30 pagi Sabtu, seramai 10 wakil pemuda Pas kawasan Rhu Rendang dan Parlimen Marang menunaikan solat hajat berjemaah di tepi pantai di lokasi kejadian.

Kapal tunda terbakar, tujuh kru terselamat

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

ALOR GAJAH – Tujuh kru kapal tunda TAG NUR21 terselamat dalam kejadian kebakaran kira-kira 2.5 batu nautika barat daya dari Pantai Pengkalan Balak, di sini petang Jumaat.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.10 petang.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat menerusi MERS 999, Bot Benteng 04 Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat serta membuat kawalan keselamatan di tempat kejadian.

“Seramai tujuh orang kru kapal berjaya dipindahkan ke kapal tunda yang berhampiran.

“Lima daripadanya warga tempatan, manakala dua lagi warga Indonesia dan dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Jelasnya, tiada tumpahan minyak dilaporkan berlaku dan pihaknya akan membuat pemantauan berterusan.

Menurutnya, kerja-kerja pemadaman api menggunakan ‘water cannon’ telah dilakukan oleh kapal tunda yang berdekatan dan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh kira-kira lima jam.

“Syarikat kapal tunda terbabit juga akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menyiasat punca sebenar kebakaran.

“Kita turut menasihatkan agar komuniti maritim sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini di laut bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut boleh disalurkan menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.

1 4 5 6 7 8 43
Kembali UTAMA