PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

January 2021

Menanti pengakhiran Covid-19

in Analisis Semasa by

HAMPIR setahun lebih Malaysia dibadai pandemik Covid-19, apabila kes pertama dilaporkan pada 25 Januari lalu membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

Jika direnung kembali, pada awal gelombang pertama, ia melibatkan majoriti kes import dan bukan rakyat Malaysia.

Manakala gelombang kedua pula, ia melibatkan penularan dalam kalangan warga tempatan yang mana kes pertama Covid-19 dilaporkan pada 4 Februari lalu.

Berikutan gelombang kedua itu, kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat. Ini berikutan jumlah kes semakin membimbangkan.

Setelah beberapa bulan kemudian, jangkitan tersebut menunjukkan kadar penurunan yang cukup ketara. Berikutan itu, kerajaan memutuskan untuk melonggarkan sedikit SOP dengan memperkenalkan PKP Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu. Diikuti pula dengan kelonggaran menerusi PKP Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun.

Namun akibat kealpaan rakyat, virus itu kembali mengganas untuk gelombang ketiga dan kerajaan terpaksa melaksanakan semula PKPB di kebanyakan negeri mulai Oktober lepas.

Apabila kes semakin meningkat tahun ini dengan catatan empat angka, kerajaan terpaksa melakukan semula PKP 2.0 bermula dengan enam negeri dan kemudian di seluruh negara kecuali Sarawak.

Pada Jumaat, jangkitan Covid-19 kelihatan makin mengganas apabila kes harian melonjak ke angka tertinggi dengan 5,725 individu dijangkiti wabak berkenaan. Apabila melihat kes tersebut, maka tak hairanlah ia boleh mencatatkan lima angka dalam masa terdekat.

Jadi, di manakah pengakhirannya? Adakah Malaysia benar-benar gagal atasi virus tersebut? Adakah rakyat bakal terus diserang dengan tentera halimunan, ataupun sebaliknya?

Kerajaan sudahpun melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membendung penularan virus tersebut. Namun, realitinya hari ini, isu Covid-19 menjadi cabaran utama negara, bukan sahaja dari segi aspek kesihatan, bahkan dari segi ekonomi.

Kita dapat lihat banyak sektor terjejas teruk termasuklah pelancongan, perhotelan, perkhidmatan guntingan, dandanan rambut dan juga pusat kecantikan.

Hampir 5,800 salon dan pusat dandanan rambut terpaksa gulung tikar.

Sehingga kini, hanya lima sektor sahaja dibenarkan beroperasi, antaranya pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi.

Ini kerana, masing-masing berperanan menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas.

Justeru itu, penulis meminta rakyat untuk sama-sama bertanggungjawab mencegah penularan wabak itu dengan mengurangkan pergerakan keluar rumah, patuh pada penjarakan fizikal dan mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

Penulis juga yakin dengan kehadiran vaksin Covid-19 pada awal Februari ini, negara mungkin dapat melandaikan jangkitan virus berkenaan sekali gus memulihkan semula sektor ekonomi seperti sedia kala. Inilah harapan kita semua supaya negara bebas dari Covid-19.

Tapir jantan mati dilanggar

in Edisi Kelantan by

GUA MUSANG – Seekor tapir jantan seberat 450 kilogram (kg) ditemui mati di Jalan Kuala Krai-Gua Musang, di sini pada Ahad.

Bangkai hidupan liar itu ditemukan oleh penduduk Kampung Felda Chiku di sini pada jam 7.45 pagi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, bertindak atas maklumat penduduk berhubung kejadian itu sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba, kami temui bangkai tapir tersebut dan hasil maklumat yang diperoleh dari penduduk mendapati berkemungkinan besar hidupan liar itu dilanggar oleh kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, siasatan awal Perhilitan Kelantan tidak menolak kemungkinan tapir jantan itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Gunung Rabong atau Hutan Simpan Chiku di sini.

Beliau berkata, kematian tapir akibat dilanggar kenderaan merupakan kejadian pertama yang berlaku untuk tahun ini.

Ady Ermanty Haniff berkata, sepanjang tahun lalu tiga tapir mati dilanggar kenderaan.

Katanya, ekoran kejadian itu Perhilitan Kelantan telah mengambil beberapa tindakan bagi memastikan spesis tersebut dilindungi dengan memasang papan tanda amaran kehadiran tapir di jalan utama yang telah dikenalpasti sebagai laluan hidupan liar itu.

“Antara lokasi panas yang dipasang dengan papan tanda amaran kehadiran tapir ialah di Jalan Kuari, Chiku 1 dan Jalan Kuala Krai-Gua Musang.

“Papan tanda amaran adalah untuk memastikan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan jika melalui kawasan ‘hotspot’ laluan tapir,” katanya.

Ady Ermanty Haniff berkata, Perhilitan Kelantan turut bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan untuk memasang perangkap kamera di hutan simpan yang berhampiran lokasi panas kemalangan.

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pihak ladang untuk mendapatkan maklumat kehadiran tapir di lokasi panas itu.

“Pemantauan berterusan turut dijalankan dalam usaha mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Bunyi kuat, gegaran bukan disebabkan operasi Petronas

in Edisi Sabah Sarawak by

KOTA KINABALU – Syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menafikan bunyi dentuman kuat serta gegaran yang berlaku di Sabah pada Ahad berpunca daripada operasi syarikat itu.

Menurut kenyataan Petronas malam ini, semua pekerja dan asetnya di Sabah selamat, sementara operasi harian berjalan seperti biasa.

“Sebagai menjawab laporan berita pada 31 Januari (hari ini) yang menyatakan bunyi dentuman kuat serta gegaran yang berlaku di Sabah mungkin ada kaitan dengan operasi Petronas, kami ingin mengesahkan kejadian itu bukan berpunca daripada mana-mana operasi kami di Sabah.

“Petronas juga memberi jaminan kepada masyarakat dan pemegang taruhnya bahawa aspek keselamatan amat diutamakan dalam semua operasinya bagi memastikan keselamatan orang awam dan alam sekitar terjamin, selaras dengan peruntukan undang-undang dan piawaian yang ditetapkan,” demikian menurut kenyataan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, tidak ada sebarang aktiviti pelupusan dan letupan bom dilakukan di kawasan itu selain turut meminta agar pengesahan dibuat dengan Petronas sekiranya bunyi letupan tersebut berpunca daripada kegiatan industri petroleum.

Bunyi dentuman serta gegaran itu didengari dan dirasai oleh penduduk di Sipitang serta beberapa tempat lain termasuk Beaufort dan Labuan serta Brunei. – Bernama

‘Saya letak di luar rumah, dua jam dah habis!’

in Edisi Selangor KL by

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Barang sumbangan yang diletakkan di luar rumahnya, di sini pada Sabtu habis dalam masa dua jam kerana iklan berkenaan sumbangan tersebut tular di media sosial.

Datin Seri Juridah Atin, 59, tidak menyangka aktiviti yang hanya dilakukan secara spontan dengan dorongan suami itu mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk sekitar dan luar daerah seperti Puchong serta Petaling Jaya yang sanggup datang ke rumahnya untuk mengambil barang sumbangan tersebut.

Menurutnya yang merupakan bekas pensyarah bahasa Inggeris di Universiti Teknologi Mara (UiTM), walaupun biasa memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan melalui badan-badan tertentu atau orang perseorangan, ini merupakan inisiatif pertama yang dilakukan secara kolektif bersama ahli keluarga di kediamannya.

“Awalnya, saya tak rancang untuk lakukan perkara ini kerana niat asal saya hanya untuk berkongsi rezeki dan membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tapi saya terharu dan seronok dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai, malah saya tak sangka ia tular di media sosial dan sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Juridah berkata, antara barangan yang disumbangkan ialah barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, tepung, telur, mi segera dan pelbagai lagi.

Ujarnya, barangan tersebut diletakkan di pondok berhadapan rumahnya dan orang ramai boleh datang untuk ambil barangan tersebut secara percuma dan tanpa syarat.

Menyedari masih ramai orang yang hidup dalam kesusahan ketika ini, Juridah berhasrat ingin meneruskan kegiatan sebegini secara berjadual dan lebih tersusun.

“Walaupun saya telah menjalankan aktiviti ini hanya pada Sabtu, namun masih ramai yang datang pada Ahad untuk mendapatkan barangan tersebut.

“Jadi, saya rasa agak terkilan kerana tidak dapat memberikan sumbangan kepada mereka yang sanggup datang dari jauh untuk mendapatkan barangan keperluan ini.

“Untuk program yang akan datang, saya akan cuba tambah lagi barangan lain seperti barang keperluan bayi, tuala wanita, ubat-ubatan asas serta serta pakaian terpakai dan hanya yang benar-benar layak sahaja boleh menerimanya, sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Polis pantau sekatan cegah Covid-19 di kawasan orang asli

in Edisi Kelantan by

KOTA BHARU – Polis Kelantan memantau sekatan dilakukan penduduk orang asli di Pos Sendrop, Tanah Tinggi, Lojing di Gua Musang yang dilakukan mereka bagi menghalang kemasukan penduduk luar bagi mengelak penularan Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, masyarakat di situ mengambil tindakan sedemikian bagi menjaga keselamatan 500 orang asli suku kaum Temiar agar tidak dijangkiti Covid-19.

Begitupun katanya, adalah lebih baik jika ia dimaklumkan kepada pihak polis terlebih dahulu untuk turut sama membantu dan memberikan nasihat.

“Ia dilakukan atas kesepakatan bersama penduduk kaum Temiar, saya juga menasihatkan agar mereka mendaftar di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional sebagai Rukun Tetangga kerana dapat memberi banyak faedah.

“Kita faham, inisiatif ini dilaksanakan kerana mereka risau dengan penularan wabak dan difahamkan sekatan yang dijalankan bukan di laluan utama atau jalan besar, hanya laluan ke kampung mereka.

“Jadi saya harap tiada isu yang timbul memandangkan anggota saya juga sudah diarahkan untuk turut sama membantu mereka di sana,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Terdahulu beliau menerima sumbangan daripada Syarikat Raja Perfumes Sdn Bhd & Fahaf Global Resources Sdn Bhd kepada polis di Dewan Tun Salleh, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah, Pemilik Raja Perfumes Sdn Bhd, Wan Mohamad Rahimie Syazerin Ab Rahim dan wakil FGR, Mohd Khairul Hafiz Hassan.

Media sebelum ini melaporkan penduduk di perkampungan terbabit bersepakat membina palang besi dan menjaga laluan masuk ke kampung bagi mengelak berlakunya penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Shafien turut berterima kasih atas inisiatif sekumpulan anak muda yang mengusahakan minyak wangi dan turut menghargai para petugas barisan hadapan.

“Ia adalah suatu sumbangan dan penghargaan yang berbeza buat polis kontinjen Kelantan. Saya juga bangga dengan mereka kerana bukan sahaja mampu membina perniagaan sendiri ketika muda tetapi turut menghargai barisan hadapan,” katanya.

1 2 3 96
Kembali UTAMA