Pegawai bomba dituduh terima rasuah

in Mahkamah by

SEREMBAN – Seorang pegawai bomba dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu atas pertuduhan menerima rasuah RM1,800 bagi urusan permohonan lesen perniagaan dua bulan lalu.

Tertuduh Md Azli Johar, 44, bagaimana pun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Harullah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pegawai Bomba Kanan 1 di Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh telah menerima wang tunai RM1,800 sebagai balasan daripada seorang wanita berusia 31 tahun terhadap urusan permohonan lesen perniagaannya di Gemencheh.

Perbuatan itu dilakukan pada 22 Oktober 2019, kira-kira jam 11 pagi di Restoran Al-Baraqah di pekan Gemencheh, Tampin.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan.

Sebutan semula kes pada 3 Mac ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali dan tertuduh diwakili peguam M Sivam.