Harap siap sedia bila dipanggil

in Berita by

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe masih meneliti beberapa perkara sebelum mengumumkan nama pemain bagi mengikuti kem latihan pusat sebelum menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Menurut Cheng Hoe, beliau harus mengkaji setiap aspek secara terperinci selepas lebih setahun barisan pemain negara tidak berlatih bersama mahupun beraksi pada perlawanan kompetitif.

“Setakat ini semuanya masih dalam peringkat perbincangan sebelum kami dapat mengumumkan senarai akhir nama pemain yang akan menjalani kem latihan nanti.

“Ada beberapa perkara lagi yang perlu diperhalusi. Selepas selesai semuanya dan tarikh latihan dapat ditentukan, barulah senarai pemain dikeluarkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya dilapor akan menjalani kem latihan pusat secara kuarantin dalam masa terdekat selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum mengeluarkan senarai akhir pemain yang akan mengikuti kem latihan tersebut setakat ini.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata, beliau dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya tetap bersedia sekiranya kem latihan itu diadakan pada awal Februari ini.

“Kita bersedia kalau latihan ini diadakan awal bulan depan (Februari). Saya percaya para pemain sudah tentu gembira dapat kembali berlatih selepas lebih setahun mereka tidak berkumpul bersama.

“Sudah tentu juga penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) memberi peluang kepada pemain-pemain untuk memberi fokus kepada latihan skuad kebangsaan.

“Cuma saya harap mereka bersedia apabila dipanggil nanti. Ini peluang untuk kembali memperkemaskan pasukan, jadi harap semua bersiap sedia,” jelasnya.