PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

January 2021 - page 2

Rt tertinggi di Terengganu akibat pergerakan bebas Disember lalu

in Edisi Terengganu by

KUALA NERUS – Pergerakan bebas terutama melibatkan individu dari zon merah selepas kebenaran rentas negeri pada Disember tahun lalu mengakibatkan peningkatan mendadak kes Covid-19 di Terengganu bulan ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Safiya Amaran berkata, aktiviti keluar masuk itu tanpa disedari telah menyebabkan penyebaran wabak itu di merata tempat di negeri ini.

Menurutnya, ramai yang terkejut dan tertanya-tanya apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan kadar kebolehjangkitan (Rt) virus Covid-19 di Terengganu adalah yang tertinggi di Malaysia pada 24 Januari 2021 dengan nilai 1.52.

“Antara puncanya disebabkan banyak pergerakan di seluruh negara dan jumlah individu dari zon merah ke Terengganu juga meningkat secara mendadak. Walaupun ia berlaku pada Disember 2020, namun kesannya nampak ketara pada Januari. Inilah yang dinamakan sebagai ‘seeding’ iaitu kes itu tertanam seperti benih di banyak lokasi di Terengganu.

“Proses ini mengambil masa di mana ia ‘tertanam’ pada Disember dan menjalar keluar pada Januari. Jangkitan itu mungkin berlaku dalam jumlah yang sedikit tetapi ia terus merebak dan kesannya dilihat sekarang,” katanya menerusi sesi Sembang Pagi UniSZA pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya, situasi di Terengganu kini berbeza berbanding empat minggu lalu di mana bilangan kes aktif di seluruh negeri pada 31 Disember lalu hanya 36 kes manakala bilangan kes di setiap daerah hanya melibatkan angka satu digit.

“Masyarakat negeri ini sudah terbiasa dengan angka kes sedikit dan bebas untuk kunjung mengunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai tanpa perlu risau tentang jangkitan dan aktiviti ini berterusan tanpa sedar ‘seeding’ sudah berlaku sehinggalah kes naik mendadak di Terengganu dan kita mula sedar penularan wabak Covid-19 berlaku dengan pantas.

“Ia menyebabkan perubahan ketara berlaku pada Januari di mana sehingga semalam terkumpul lebih 800 kes aktif yang memerlukan pengasingan dan rawatan melibatkan semua daerah di Terengganu malah kebanyakan zon di Terengganu bertukar jadi merah kecuali di Kemaman,” katanya.

Dalam pada itu Dr Safiya yang merupakan pensyarah di Fakulti Perubatan UniSZA berkata, tempoh berakhirnya pandemik Covid-19 ini sukar dijangka.

“Di Malaysia, ia amat bergantung kepada pergerakan dan aktiviti semua orang, jika kita semua patuh kepada setiap arahan pihak berkuasa seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM serta sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) di mana sahaja, kemungkinan kes Covid-19 akan surut perlahan-lahan namun jika masih ramai yang abaikan SOP, ia akan terus merebak.

“Saya percaya pandemik di seluruh dunia ni akan tamat juga akhirnya. Ia tidak akan berterusan buat selamanya. Ini berdasarkan sejarah pandemik-pandemik yang pernah berlaku di seluruh dunia sebelum ini.

“Pandemik paling teruk di dunia pernah direkodkan sejak seabad yang lalu ialah Pandemik Influenza 1918 di mana ia muncul secara tiba-tiba dan merebak dengan begitu cepat sehingga menjangkiti kira-kira satu per tiga penduduk dunia serta mengakibatkan kematian kira-kira 50 juta orang. Bagaimanapun, ia hilang tanpa benar-benar kita fahami bagaimana, selepas tempoh kira-kira dua tahun,” katanya.

Covid-19: Kem PLKN Sri Ledang akan dijadikan PKRC baharu

in Edisi Johor by

JOHOR BAHRU- Kerajaan negeri bersedia menjadikan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Ledang sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sekiranya berlaku peningkatan luar biasa jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pengoperasian PKRC tersebut dijangka memudahkan agensi terlibat seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguruskan kes individu yang dijangkiti Covid- 19 berikutan jumlah pesakit positif dilaporkan semakin meningkat kebelakangan ini.

“Bagi PKRC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang mula beroperasi pada Ahad (hari ini) mempunyai 1,200 katil termasuk kemudahan tandas dan bilik mandi dan dibangunkan mengikut konsep PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor

“Jumlah katil dan kemudahan yang bakal disediakan di Kem PLKN Sri Ledang belum dapat dipastikan kerana masih lagi dalam perbincangan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya pada sidang akhbar secara maya pada Ahad.

Menurut Hasni, PKRC Stadium Tertutup MBPG dan Kem PLKN Sri Ledang yang akan dibuka kelak menunjukkan Johor masih lagi mampu menampung jumlah pesakit positif Covid- 19.

“PKRC Stadium Tertutup MBPG bukan sahaja PKRC tetapi juga mempunyai kemudahan untuk CAC (Pusat Penilaian Covid-19), supaya saringan dapat dibuat dengan lebih meluas sebelum pesakit Covid- 19 bagi tahap satu dan dua boleh terus berada di rumah.

Bagi pesakit Covid- 19 tahap tiga, empat dan lima boleh dihantar ke pusat-pusat perubatan hospital kerajaan atau swasta selepas saringan dibuat,” katanya.

Madrasah ditenggelami air terima bantuan YBM

in Edisi Pahang by

TEMERLOH – [DIKEMAS KINI] “Bila lihat hujan tak berhenti selama dua hari, pengurusan madrasah arah semua pelajar pulang ke rumah, kami bersyukur kerana tindakan pantas itu dapat mengelak perkara tidak diingini berlaku,” kata Mohd Yani Arifin, 54, Pengurus Madrasah Ad-Dinniah al-Ismailiah Kampung Paya Jauh, di sini.

Dalam bencana banjir yang berlaku pada 5 Disember lalu, madrasah berkenaan yang menempatkan 110 warga emas bersama 60 orang pelajar ditenggelami air sedalam tiga meter.

Mohd Yani berkata, bencana itu menyebabkan hampir keseluruhan pondok-pondok yang menempatkan asrama pelajar rosak teruk.

“Banyak barang-barang tidak boleh digunakan. Sesetengah asrama pula, pendawaian elektrik mengalami masalah jadi kalau ada pihak yang nak membantu kami bersyukur sangat,” katanya ketika ditemui pada penyerahan Misi Bantuan Yayasan Belia Malaysia (YBM) dengan kerjasama CIMB Islamic Bank Berhad di Pahang pada Sabtu.

Madrasah berkenaan yang sudah beroperasi sejak lebih 10 tahun yang lalu itu turut menerima sumbangan tilam, bantal, selimut, barangan makanan, pelitup muka, pencuci tangan dan juga al-Quran untuk kegunaan penghuninya pada masa akan datang.

Misi berkenaan turut menghantar sumbangan ke daerah Lipis dan juga Raub.

Di Raub, sumbangan disampaikan kepada Penasihat Kelab Kami Anak Raub, Datuk Syed Ali Syed Mohammad, manakala di Lipis, sumbangan diterima oleh Penghulu Mukim Budu, Ahmad Tarmizi Muhamad Yatim.

Sementara itu, Pengerusi YBM, Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, disebabkan semasa banjir terdapat masalah pengangkutan dan jalan terputus selain Covid-19 yang melarang individu dari kawasan merah ke kawasan kuning, maka YBM turun membantu selepas banjir.

“Jadi, kita berharap bantuan ini akan dapat membantu dan mengurangkan beban mangsa-mangsa banjir bagi meneruskan kehidupan,” katanya.

Menurut Suhaimi, bantuan yang dibiayai oleh CIMB Islamic Bank itu diberikan kepada NGO dan pihak terbabit di kawasan setempat untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang dikenal pasti.

“Pada Februari, kami akan ke Kota Tinggi, Johor. Terima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberikan kebenaran kepada YBM untuk menghantar sendiri sumbangan untuk mangsa terlibat yang keseluruhannya berjumlah 500 orang,” katanya.

Tiada laporan berlaku letupan di Sabah

in Edisi Sabah Sarawak by

KOTA KINABALU – Polis Sabah sedang melakukan siasatan berhubung bunyi letupan dan gegaran yang dirasai penduduk di sekitar Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Labuan pada Ahad.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, tiada laporan diterima setakat ini berhubung sebarang kejadian letupan di beberapa daerah di Pantai Barat ketika ini.

“Beberapa elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah dikerahkan menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kawasan terlibat untuk melakukan pemantauan.

“Setakat ini, tiada sebarang insiden sama ada berkaitan letupan atau gegaran dilaporkan berlaku di mana-mana kawasan negeri ini,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Hazani turut berkata, siasatan turut dilakukan dengan menghubungi beberapa lokasi yang berkaitan namun tiada apa-apa insiden dilaporkan setakat ini.

“Polis juga sudah menjalankan siasatan dengan menghubungi beberapa lokasi sasaran penting antaranya syarikat seperti Asian Supply Base, Petronas Chemical Methanol dan Shell Hibiscus namun tiada apa-apa insiden dilaporkan.

“Namun, ada laporan yang mendakwa bunyi letupan kuat yang didengari di beberapa lokasi Pantai Barat sebenarnya berlaku di kawasan Muara Teluk Brunei,” katanya.

Sehubungan itu, Hazani berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dari masa ke masa bagi memastikan semua kawasan berada dalam keadaan selamat.

Hazani dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak tularkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh turut menafikan dakwaan orang ramai berhubung punca bunyi letupan adalah dari saluran paip di Bukit Beriwan, Lawas, Sarawak.

“Dakwaan itu palsu,” katanya ringkas.

Terdahulu, Pengarah Meteorologi Sabah, Amirzudi Hashim turut maklum dengan pelbagai maklumat yang diterima pihaknya namun setakat ini tiada sebarang kejadian yang membabitkan di bawah Jabatan Meteorologi berlaku di negeri ini.

Sultan Selangor mahu bangunan bersejarah dipulihara

in Edisi Selangor KL by

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu usaha memulihara dan memelihara bangunan bersejarah yang mempunyai kaitan dengan negeri itu, khususnya di Kuala Lumpur, diperhebat.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin bimbang jika bangunan dan monumen tersebut tidak dipulihara secepat mungkin serta terbiar, tinggalan sejarah itu akan runtuh atau rosak sehingga tidak boleh diselamatkan lagi.

“Jika itu berlaku, kos pemuliharaan akan menjadi lebih tinggi dan seterusnya akan merugikan negara.

“Pihak berkaitan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Jabatan Warisan Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu melakukan pemuliharaan serta pemeliharaan lebih intensif terhadap bangunan-bangunan bersejarah tersebut,” titah baginda bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan esok.

Titah baginda kebanyakan bangunan seumpama itu memiliki nilai sejarah yang sangat tinggi serta masih menjadi destinasi pelancongan tumpuan di ibu negara.

Sultan Sharafuddin memberi contoh Bangunan Sultan Abdul Samad yang dirasmikan pada 1897 dan pernah menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri Selangor semasa Kuala Lumpur menjadi ibu negeri Selangor hingga 1974, sebelum ibu negeri Selangor dipindahkan ke Shah Alam.

Titah Sultan Selangor baginda juga pernah bertugas sebagai penjawat awam dengan kerajaan negeri Selangor di Bangunan Sultan Abdul Samad pada 1968.

Titah baginda, bangunan-bangunan bersejarah lain seperti Carcosa Seri Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Gereja St Mary, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Kereta Api Tanah Melayu (KTM) Berhad, Istana Negara lama serta Stadium Merdeka sarat dengan kisah sejarah melibatkan pembentukan negara ini, yang kebanyakannya mempunyai kaitan rapat dengan sejarah awal Selangor.

“Seni bina Moorish dan Moghul yang melatari reka bentuk bangunan-bangunan bersejarah di sekitar Kuala Lumpur mempunyai cerita tersendiri dan seharusnya dipulihara untuk dihargai serta dikagumi oleh generasi akan datang,” titah baginda. – Bernama

Kembali UTAMA