PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

January 2021 - page 3

Vape nikotin bantu hilang ketagihan perokok

in Analisis Sinar by

SELAMA berdekad-dekad, kerajaan di seluruh dunia telah cuba untuk menggalakkan perokok di negara masing-masing berhenti merokok menerusi pelbagai langkah kawalan tembakau.

Walaupun ada beberapa langkah yang menunjukkan keberkesanan, yang lain pula mencatatkan hasil yang kurang memuaskan.

Malah ramai juga perokok yang memulakan azam tahun baharu untuk berhenti merokok tetapi akhirnya ‘azam tinggal azam’.

Perbincangan tentang penyelesaiannya baru-baru ini beralih kepada vape nikotin memandangkan perokok dan juga bekas perokok kini memilih vape nikotin sebagai alternatif kepada merokok atas pelbagai sebab.

Banyak kajian yang dijalankan, termasuk penilaian toksikologi baru-baru ini oleh Jawatankuasa Ketoksikan Bahan Kimia Makanan, Produk Pengguna dan Alam Sekitar United Kingdom yang mendapati bahawa vape bernikotin kurang berbahaya berbanding merokok.

Walaupun ia mungkin alternatif yang lebih sesuai bagi rokok, bolehkah vape membantu perokok menghentikan tabiat merokok?

E-rokok tidak menggunakan tembakau tetapi mengandungi cecair nikotin yang disedut pengguna di dalam wap.

Satu tinjauan selidik di UK baru-baru ini yang dikendalikan oleh Action on Smoking and Health (ASH), iaitu sebuah badan kesihatan awam yang menyokong kawalan tembakau dan berusaha membasmi kemudaratan tembakau, mendapati lebih separuh daripada pengguna vape negara itu adalah bekas perokok, dan kadarnya semakin meningkat setiap tahun.

“Penggunaan e-rokok kebanyakannya digunakan perokok sedia ada dan bekas perokok manakala penggunaan dalam kalangan orang yang tidak pernah merokok adalah rendah.

“Daripada 3.2 juta pengguna vape semasa, hampir 2 juta adalah bekas perokok dan 1.2 juta adalah perokok sedia ada,” kata ASH yang telah ditubuhkan oleh Royal College of Physicians, badan profesional British yang bertekad untuk menambah baik amalan perubatan, dengan warisan sejarah menjangkaui lebih 500 tahun.

Malah, Kajian Smoking Toolkit University College of London yang menyediakan data bulanan mengenai amalan merokok dan langkah kawalan tembakau menunjukkan hubung kait jelas antara kadar perokok berhenti dan peningkatan penggunaan vape.

Bukti terbaharu daripada ujian kawalan rambang juga mendapati penggunaan vape adalah dua kali lebih berkesan daripada Terapi Penggantian Nikotin untuk membantu perokok berhenti merokok menerusi Perkhidmatan Berhenti Merokok di England.

Mungkin inilah sebabnya seramai 41 peratus daripada bekas perokok dalam tinjau selidik ASH memilih vape untuk membantu mereka berhenti merokok.

Malah 20 peratus lagi berkata, mereka bertukar kepada vape supaya tidak kembali merokok.

Sementara itu, sebab utama yang diberikan oleh perokok sedia ada untuk menggunakan vape ialah untuk mengurangkan kekerapan merokok (24 peratus), membantu mereka berhenti merokok (14 peratus) dan untuk mencegah mereka merokok semula (14 peratus).

Satu perkara menarik ialah kira-kira 60 peratus daripada semua pengguna vape menganggap peningkatan tahap kesihatan sebagai sebab pertama mereka menghisap vape.

Penilaian yang dibuat oleh ASH menyokong bukti-bukti sebelum ini mengenai keberkesanan vape untuk membantu perokok mengatasi tabiat merokok.

Namun begitu, walaupun terdapat bukti yang semakin jelas bahawa vape merupakan alternatif yang sesuai bagi rokok, hakikatnya terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi.

Pakar-pakar kesihatan dan beberapa kajian yang mendapati ciri kurang kemudaratan penggunaan vape berbanding merokok bergantung pada pematuhan ketat kepada piawaian dan peraturan produk vape termasuk nikotin dalam e-cecair.

Di UK, terdapat peraturan untuk mengawal selia produk pengguna termasuk tidak membenarkan penjualan kepada remaja berusia di bawah 18 tahun, mengehadkan kadar nikotin dalam e-cecair, mengawal aktiviti pemasaran dan pembungkusan produk mesti sukar dibuka kanak-kanak dan mempunyai bukti pembungkusan tidak pernah diusik.

Peraturan ini sudah lama disarankan oleh peserta industri di Malaysia, dan langkah memperkenalkan cukai ke atas produk vape mulai 2021 jelas dilihat sebagai langkah pertama ke arah pengawalseliaan.

Bagaimanapun, rangka kerja peraturan hendaklah diperkenalkan dan merangkumi semua aspek industri, termasuk mengawal selia e-cecair yang mengandungi nikotin.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian

Suami buntu, isteri koma selepas sebulan bersalin

in Edisi Terengganu by

KUALA TERENGGANU – Bapa kepada tiga anak di Taman Sri Manir, di sini buntu memikirkan cara untuk menguruskan kehidupan setelah isterinya koma selepas sebulan melahirkan cahaya mata ketiga.

Hussain Muddasar, 34, berkata, isterinya, Marihah Husin, 35, kini telah masuk tiga bulan koma dan pernah dirawat selama dua bulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Ketika dua bulan isteri saya di hospital, saya ada masa untuk keluar berniaga nasi briyani di tepi jalan bagi mencari sumber rezeki.

“Kini sudah hampir sebulan selepas dia dibenarkan pulang ke rumah, saya tidak boleh ke mana-mana kerana perlu menjaganya setiap masa,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Hussain berkata, dia perlu menukarkan lampin pakai buang isterinya bagi memastikan sentiasa dalam keadaan bersih serta memberinya susu setiap empat jam sekali melalui tiub yang dipasang pada rongga hidung.

“Sekarang isteri saya hanya diberi minum susu melalui tiub yang dipasang pada saluran hidung manakala bahagian leher pula ditebuk untuk saluran pernafasan.

“Semuanya saya uruskan termasuk menguruskan anak-anak yang masih kecil memandangkan kami tiada siapa-siapa,” katanya.

Menurut Hussain, dia juga buntu memikirkan untuk mencari sumber kewangan malah sewa rumah yang didiaminya dengan kadar bayaran RM450 sebulan juga pernah tertunggak sehingga tiga bulan.

Menceritakan keadaan isterinya sebelum koma, Hussain berkata, isterinya rebah di dapur ketika ingin menyediakan susu untuk anak mereka pada November tahun lalu.

“Sekitar jam 3 pagi saya dengar bayi kami yang ketika itu berusia hampir sebulan menangis. Saya segera ke bilik dan melihat bayi keseorangan. Saya bergegas mencari isteri di bahagian dapur dan mendapati dia sudah tidak sedarkan diri. Ketika di hospital, doktor memberitahu bahagian sebelah kanan badan isteri saya lumpuh manakala terdapat urat pada bahagian kepalanya yang pecah.

“Isteri saya ketika itu ada mengalami penyakit darah tinggi dan kencing manis. Ketika itu bacaan tekanan darah tingginya melebihi 200,” katanya.

Tambah Hussain, sebelum ini dia pernah memohon bantuan namun hampa memandangkan dia bukan warganegara manakala isterinya pula pemegang kad pengenalan Malaysia bagi kategori pemastautin tetap (warga Kemboja).

“Isteri saya dilahirkan di sini (Malaysia) di mana ibunya berketurunan Melayu manakala bapanya orang Kemboja. Kedua orang tuanya sudah meninggal dunia. Saya pula bukan warganegara dan telah 12 tahun menetap di sini,” katanya.

Hasil perkongsian hidup Hussain bersama Marihah sejak 15 Mac 2014 dikurniakan tiga cahaya mata berusia lima tahun, tiga tahun dan empat bulan.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Hussain di talian 011-37494285 atau melalui akaun Bank Islam (12-289-02-00688-33) atas nama Marihah Husin.

Pengusaha agensi pelancongan jadi usahawan ikan masin

in Edisi Selangor KL by

KUALA LUMPUR – Demi menyara keluarga, dua rakan kongsi, Khairul Nizam Amat Zaini, 42, dan Nor Azizan Adnan, 49, beralih arah menjadi pengusaha ikan masin selepas lebih tujuh tahun terlibat dalam industri pelancongan.

Segala-galanya bermula apabila kedua-duanya mula berjinak-jinak menjalankan perniagaan ikan segar yang diambil dari Tanjung Karang, Kuala Selangor sejak setahun lalu setelah negara dilanda pandemik Covid-19 sehingga dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apabila negara dilanda wabak, industri pelancongan terus merudum. Kami perlu mencari alternatif bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Jadi, kami pun bermula sebagai penjual ikan segar, namun berubah untuk mengusahakan ikan masin sejak Disember 2020 selepas melihat potensinya,” kata Khairul Nizam.

Bercerita lanjut, pemilik My Altitute 30 Travel & Tours Sdn Bhd itu berkata, perniagaan ikan masin menerusi label Tiga Budak Travel ini tercetus apabila terdapat lebihan ikan segar yang tidak terjual.

Khairul Nizam berkata mereka kemudiannya mempelajari pembuatan ikan masin melalui Youtube.

“Sejak itu, kami mencuba sendiri dengan membeli ikan-ikan dari nelayan, memerap dengan garam dan menjemurnya di bawah matahari terik untuk beberapa hari.

“Semua ikan ini akan disiang dan dibersihkan untuk mengelakkan tindak balas kuman yang boleh menjejaskan mutu hasilnya,” katanya.

Aspek kebersihan sangat dititikberatkan sepanjang proses pembuatan ikan masin itu bagi memastikannya bebas kuman sekali gus menjadikannya tahan lebih lama.

Antara ikan yang popular dijadikan sebagai ikan masin ialah gelama, tenggiri, ikan bulu ayam dan pelaling yang dijual antara RM10 hingga RM70 sekilogram.

“Awalnya, kami bermula dengan lima kilogram pelbagai jenis ikan. Alhamdulillah, dapat sambutan yang memberangsangkan.

“Sekarang, walaupun menggunakan kaedah tradisional, kami berupaya menghasilkan 80 sehingga 100 kilogram ikan masin dalam tempoh seminggu,” katanya yang mempromosi dan memasarkan hasil ikan masin secara dalam talian menerusi pelbagai platform media sosial.

Susulan itu, Khairul Nizam berkata, melihat kepada potensi perniagaan sedia ada, mereka merancang untuk membuka kedai suatu hari nanti.

“Kami melihat industri pelancongan tidak akan berkembang dalam tempoh tiga tahun ini jadi kami memikirkan alternatif untuk meneruskan perniagaan ini,” katanya. – Bernama

Bangsal jadi tempat berteduh empat sekeluarga

in Edisi Kelantan by

KOTA BHARU – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul beban. Inilah situasi yang dilalui empat sekeluarga yang terpaksa tinggal dalam sebuah bangsal kecil di Pantai Mek Mas setelah hilang punca pendapatan sejak November tahun lalu.

Mohd Saufi Ibrahim, 41, dan isteri, Dahlia Musliman, 48, serta dua anak mereka, Nur Dhiyalissya, 7, dan Nur Dhiyadheliena, 6, sebelum ini tinggal di rumah sewa dengan bayaran bulanan sebanyak RM250 terpaksa berpindah ke bangsal itu kerana tidak mampu menjelaskan sewa bulanan yang kini tertunggak sebanyak RM1,000.

Mohd Saufi berkata, sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,400 sebulan manakala isterinya pula kerani di syarikat sama yang dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Bagaimanapun kami diberhentikan serentak bersama ramai lagi pekerja lain dipercayai kerana ekonomi syarikat yang terjejas kesan daripada Covid-19.

“Disebabkan hilang punca pendapatan, saya tidak dapat menjelaskan bayaran rumah sewa sehingga tertunggak selama empat bulan dan diarahkan keluar dari rumah tersebut,” katanya ketika ditemui di bangsalnya di Pantai Mek Mas di sini pada Sabtu.

Menceritakan kesusahan yang dialaminya, Mohd Saufi berkata, dia sekeluarga pernah menumpang tidur di pondok pengawal tempat bekas majikannya selama seminggu sebelum dibantu penduduk kampung serta kenalan yang menyumbangkan kayu serta zink untuk membina bangsal di belakang rumah ibunya.

Katanya, keadaan rumah ibunya yang uzur membuatkan dia terpaksa membina bangsal sebagai tempat tinggal mereka sekeluarga manakala kemudahan air diperoleh dari telaga tiub dan elektrik pula di sambung dari rumah ibu saudara serta menumpang tandas di rumah keluarganya.

“Dalam ruang sempit inilah tempat kami empat beranak tidur, memasak, makan dan solat. Alhamdulillah walaupun sukar tetapi saya tenang dan tidak pernah putus rezeki.

“Buat sementara, saya membantu rakan menangkap ikan dengan upah tidak menentu antara RM30 sehingga RM50 seminggu selain menjaga tujuh ekor kambing milik sepupunya dengan upah diberikan anak kambing yang bakal dilahirkan secara bergilir dengan pemilik,” katanya.

Sementara itu, Dahlia berkata, anak sulung mereka baharu sembuh daripada demam berikutan cuaca panas dan hujan ditambah dengan bahang bangsal yang berlantaikan pasir serta beratap zink.

Katanya, lebih menyedihkan kedua-dua anaknya itu masih belum memiliki pakaian seragam sekolah selain hanya mempunyai beg sekolah yang disedekahkan kepada mereka.

“Kalau siang kami tidak boleh duduk dalam bangsal kerana terlampau panas, tapi bila hujan pula, atapnya bocor sana sini. Saya susun batu bata dan alas tikar untuk sembahyang walaupun ruangnya terhad. Suka tengok ruang kemas dan bersih walaupun kecil.

“Tanah ini hak kerajaan, saya pinjam guna untuk bercucuk tanam. Ada tanam labu, tomato, pokok kari dan bayam Brazil yang boleh kami makan ketika kesempitan wang,” katanya.

Tambahnya, suaminya itu mempunyai tanah namun mereka tidak mampu dari segi kewangan untuk membina rumah.

“Saya berharap mempunyai sebuah rumah yang lebih selesa dan selamat untuk kami duduki lebih-lebih lagi ketika suami keluar menangkap ikan pada waktu malam,” katanya.

Bantuan kepada keluarga ini boleh disalurkan ke akaun Hong Leong Bank, Dahlia Musliman 12451082558 atau hubunginya di talian 011- 33339644.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin ketika dihubungi berkata, keadaan keluarga ini dalam pengetahuan dan pemerhatian pihaknya.

“Saya difahamkan keluarga ini membina bangsal dan tinggal di belakang rumah orang tua mereka itu selepas tidak mampu menjelaskan sewa rumah mereka.

“Rumah orang tuanya juga sudah usang dan dua tahun lalu pihak kami telah membaiki rumah warga emas tersebut termasuk bilik air dan dapur selain menerima bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk isteri pertamanya,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang.

1 2 3 4 5 96
Kembali UTAMA