‘Bila tak ada muafakat nak panggil Muafakat Nasional macam mana?’

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN) daripada UMNO, Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan kewujudan MN sekiranya UMNO dan Pas tiada lagi permuafakatan.

“Bila dah tak ada muafakat nak panggil Muafakat Nasional macam mana. Muafakat ini bila dua-dua (UMNO, Pas) sama-sama setuju,” katanya pada program Bicara Minda anjuran Sinar Harian pada Khamis.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, Pas kini merasakan perlu mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) manakala UMNO pula sebahagiannya tidak mahu lagi bersama PN.

“Jadi ada dua anggota MN ini sudah tidak ada muafakat. Itu menyebabkan MN pun tidak boleh berfungsi. Jadi PN pun tempang, MN tempang, Barisan Nasional (BN) pun belum tentu lagi tak tempang,” katanya.

Sehubungan itu, Annuar menyifatkan formula sedemikian boleh menyebabkan parti politik yang berteraskan Melayu menerima kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) yang akan datang.

“Sedangkan di depan mata kita terhidang peluang untuk mengembalikan kekuatan politik nasional berteraskan kekuatan politik orang Melayu dengan syarat orang Melayu disatukan.

“Off couse (sudah tentu) kita ada sentimen tidak puas hati, kecil hati sana-sini. Itulah tanggungjawab kita sebagai pemimpin, rundingkan. Jangan belum berunding dah gaduh, belum bincang lagi dah bergaduh.

“Belum sampai masa lagi nak tahu dah siapa jadi Perdana Menteri, tak usah,” katanya.

Katanya lagi, semua pihak perlu memberikan cabaran kepada pemimpin Melayu untuk menggunakan kekuatan akal, kekuatan organisasi dan kekuatan pengalaman mereka ke arah kebaikan.

“Pada saya apa jadi dengan UMNO kalau selepas PRU15 kita tidak jadi kerajaan, tak ada makna (lagi) perjuangan UMNO kalau tidak dapat menjadi kerajaan.

“Sebab orang Melayu menjadi teras kepada perjuangan. Kita masih memerlukan kepada kepimpinan dan pembelaan.

“Jangan kita buang masa kerana orang Melayu dalam negara kita ini perlukan kepada platform politik yang kukuh dan padu,” katanya.

Pada masa sama, Annuar turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak mengutamakan kehendak dan sentimen peribadi sehingga akhirnya menyebabkan orang Melayu menjadi lemah.

“Jangan kerana tembolok politik kita atau sentimen kita menyebabkan orang Melayu jadi lemah. Sedangkan UMNO itu wujud untuk apa. Menyatupadukan orang Melayu.

“Apa nama UMNO? Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, apa moto UMNO? ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. Lagu UMNO bermula dengan apa, ‘Bersatu Kita Bersatu’.

“Perkataan penyatuan itu merupakan roh kepada perjuangan UMNO. Tiba-tiba UMNO pula yang menimbulkan keretakan, perpecahan dan benda- benda (ditimbulkan) itu bukan benda besar sangat,” katanya.

Annuar berkata, UMNO perlu berjiwa besar malah beliau sedikit pun tidak kecewa dengan tindakan parti itu walaupun namanya telah digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung BN sebelum ini.

“Saya tidak akan lari tukar parti. Saya tidak akan lompat pada parti lain. Saya adalah secara saya. Tetapi saya harap, jangan kita ‘give up’

“Pada saya kita masih lagi PN, tak apalah kita tidak mahu masuk PN, kita wujudkan kerjasama BN dan PN. Pas dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dia duduklah dalam PN,” katanya dan meminta PN agar berhenti ‘bergaduh’ serta fokus kepada rakyat.