UMNO perlu menang PRU15 sebelum namakan calon PM: Annuar

in Bicara Minda by

SHAH ALAM – UMNO perlu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum boleh mencalonkan nama yang sesuai bagi mewakili parti itu untuk menjadi Perdana Menteri.

Saranan itu dilontarkan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, bagaimanapun beliau mempersoalkan kemampuan UMNO untuk berbuat demikian jika bertanding secara solo.

“Sebelum hendak berkhayal, hendak ada calon Perdana Menteri, kena tanya dulu parti (UMNO) boleh menang ke tidak.

“Kita terus ‘jump’ UMNO hendak calon Perdana Menteri tetapi kita lupa hendak sampai ke situ (iaitu) parti kena menang. Jadi sekarang kita kena fikirkan dulu, parti kena menang.

“Persoalannya mudah, boleh ke tidak UMNO,” katanya pada program Bicara Minda yang bersiaran secara langsung dari Studio F, Kompleks Media Karangkraf di sini untuk Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Annuar berkata demikian menjawab pertanyaan modetaror, Shahril Sarapudin yang bertanyakan calon yang paling sesuai untuk diangkat sebagai Perdana Menteri UMNO sekiranya parti tu dan Barisan Nasional (BN) tidak bersama Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, persoalan itu perlu dijawab secara jujur dan bukannya secara emosi bagi mendapatkan jawapannya.

“Tanya secara jujur, nak buat kaji selidik, buat kajian boleh atau tidak UMNO atau BN secara solo masuk bertanding dan boleh bentuk kerajaan. Tanya secara jujur, bukan secara emosi,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, beliau bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah membuat penyelidikan dan mendapati BN tidak boleh bentuk kerajaan sekiranya bertanding secara solo.

“(Termasuk) bayar orang buat kajian dan sampai sekarang hasil daripada kajian, bukan sekali, saya buat sampai tiga kali jawapannya serupa iaitu BN kalau secara solo tak boleh bentuk kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, keadaan BN dahulu dan sekarang berbeza kerana gabungan BN dahulu mempunyai 16 parti politik dengan 100 lebih kerusi, namun kini gabungan BN tinggal empat parti politik dengan hanya 43 kerusi.

“Itu realiti politik dan apakah BN sekarang merasakan empat parti politik ini kalau masuk (bertanding) cukup untuk mendapat 100 berapa (lebih) kerusi (untuk) bentuk kerajaan.

“Kalau tak cukup, kita patut tahu bahawa kena ada gabungan. Dulu gabungan itu adalah BN ada 16 parti sekarang BN ada empat parti, adakah ini gabungan yang cukup (atau) tak cukup?

“Kalau tak cukup, BN kena fikirkan siapa rakan membentuk gabungan untuk memasuki pilihan raya.

“Tetapi kalau rakan pun tak tahu lagi siapa, macam mana hendak tahu siapa yang hendak dijadikan Perdana Menteri. Cuma Presiden UMNO mesti materialnya yang layak untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, UMNO tidak boleh menuntut untuk menjadi Perdana Menteri ketika ini kerana ia bergantung kepada banyak mana kerusi yang parti itu menang pada PRU15 akan datang.

“Sebab itu pada saya, ini realitinya yang menjadi perdebatan dan saya akui timbul perbezaan pendapat. Saya ingin menegaskan sekali lagi ini pendapat saya.

“Tak reti pun tak apa (tetapi) pendapat kena jelas. Pertama, kalau salah saya saya minta maaf. UMNO, BN secara solo tidak cukup untuk membentuk kerajaan. Yang kedua, ertinya UMNO perlu bekerjasama.

“Ini saya kata politik ta’awun dan taayuf. Bekerjasama dan ‘co-exist’, ini realiti baharu politik. Tak boleh berkhayal macam zaman BN dulu, zaman sekarang empat parti tidak cukup. PN sekarang ada 12 parti, kita ada empat sahaja, lapan lagi di luar.

“Kalau awak (moderator) kata kita (UMNO dan BN) hampir pasti tak nak bekerjasama dengan PN… ya mungkin. Tapi saya kena tanya pilihan raya sudah dekat ini kalau tak bersama PN hendak bersama siapa?”