Lima operator telekomunikasi sediakan 30GB percuma sebulan

in Bisnes by

SHAH ALAM – Lima operator telekomunikasi terkemuka terus menyediakan Internet Produktiviti 30GB percuma sebulan sehingga 30 April 2021 untuk memberikan kemudahan kepada rakyat di negara ini.

Dalam satu kenyataan bersama, lima operator telekomunikasi iaitu Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Berhad (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui unifi Mobile memaklumkan, kemudahan itu disediakan untuk menyokong keperluan pembelajaran, produktiviti dan membolehkan rakyat melayari berita.

“Sejak April 2020, kesemua pelanggan pascabayar dan prabayar setiap operator tersebut telah menikmati Internet Produktiviti 30GB sebulan kecuali bagi media sosial, permainan mudah alih, penstriman video dan muzik, sebagai tambahan kepada kuota mengikut pelan bulanan yang dilanggan,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, operator telekomunikasi terus menyokong rakyat di 130 Projek Perumahan Rakyat (PPR) terpilih dengan penyediaan WiFi percuma dan memanjangkan tempoh operasi di 54 Pusat Internet Komuniti (PIK) sepanjang tempoh mencabar ini.

“Penyediaan WiFi percuma itu membantu pelajar daripada keluarga B40 mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Kenyataan itu juga menjelaskan, operator telekomunikasi juga menyediakan pakej data khas untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta pelajar di institut pengajian tinggi.

“Pakej data prabayar tersebut menawarkan 15GB data sebulan dengan serendah RM20 sebulan dan disediakan untuk pelajar yang layak mulai 6 Januari 2021 sehingga 30 April 2021,” katanya.

Menurut kenyataan itu, inisiatif bersama oleh industri itu merupakan sebahagian daripada usaha penyediaan bantuan yang dijalankan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta Pakej Bantuan Permai yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Kesemua operator telekomunikasi akan terus menawarkan akses percuma dan tanpa had kepada pelbagai aplikasi berkaitan informasi dan perkhidmatan untuk memastikan rakyat Malaysia terus mendapat maklumat terkini yang sah berkenaan Covid-19.

“Aplikasi tersebut meliputi MySejahtera, MyTrace, laman web kesihatan dan hotline seperti Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia serta laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia,” katanya.