Mara pernah tawar peluang pengajian kepada Nurul Asma Alya

in Edisi Kelantan by

KOTA BHARU – Majlis Amanah Rakyat (Mara) pernah menawarkan pinjaman secara bersyarat kepada Nurul Asma Alya Mohamad Zainal Abidin yang kisah kesusahannya disiarkan Sinar Harian pada Rabu.

Mara dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan tawaran pinjaman tersebut adalah bagi Program Lepasan Diploma Cemerlang di bawah Skim IPMA Excellent Students’ Programme (IESP) Ambilan Kedua Tahun 2020.

“Ianya merupakan syarat ditetapkan kepada semua para pelajar yang ditawarkan iaitu menduduki peperiksaan International English Language Testing System (IELTS).

“Alya telah menduduki peperiksaan itu sebenarnya, bagaimanapun keputusan IELTS yang peroleh tidak memenuhi syarat telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Susulan itu, Mara telah menawarkan sekali lagi kepada pelajar berkenaan untuk menyambung pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam negara dengan memberi pinjaman boleh ubah.

Bagaimanapun katanya, pelajar berkenaan lebih berminat untuk mendapatkan biasiswa dari agensi lain bagi menyambung pengajiannya berbanding pinjaman boleh ubah ditawarkan Mara.

ARTIKEL BERKAITAN: Menangis tak mampu sambung belajar ke luar negara

Nurul Asma Alya Mohamad merupakan bekas pelajar Diploma in Accounting, KPM Indera Mahkota, Kuantan, Pahang yang mana sepanjang mengikuti pengajian itu dibiayai sepenuhnya oleh Mara dengan kerajaan menanggung sepenuhnya termasuk elaun RM300 sebulan.

Menurut kenyataan itu, Mara mengambil maklum laporan media berhubung dakwaan seorang bekas pelajar Kolej Profesional Mara (KPM) yang tidak dapat menunaikan hasrat untuk menyambung pengajian di luar negara seperti yang ditawarkan sebelum ini kerana masalah kewangan.

“Mara sememangnya sentiasa prihatin terhadap para pelajar terutamanya dari kalangan keluarga B40 dan telah berusaha memberikan tawaran pengajian terbaik untuk pelajar ini tertakluk kepada bidang kuasa dan program sedia ada yang boleh ditawarkan,” katanya.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan hanya air mata dapat menggambarkan kesedihan seorang pelajar cemerlang di Kampung Banggol Petani, Wakaf Bharu di Tumpat kerana terpaksa melupakan cita-citanya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah perakaunan di luar negara kerana masalah kewangan.

Keluarga Nurul Asma Alya tidak mampu membiayainya belajar di luar negara selepas menamatkan pengajian diploma dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.95 di Kolej Profesional Mara (KPM).