Pembukaan semula aktiviti perniagaan, KPDNHEP beri amaran

in Nasional by

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada premis perniagaan agar tidak menyalahgunakan kebenaran pembukaan semula aktiviti perniagaan terutamanya ‘dine-in’.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, premis perniagaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan.

“Begitu juga diharapkan dari pembeli dan pengguna untuk bekerjasama dalam mematuhi SOP seperti sentiasa memakai pelitup muka, mendaftar kehadiran dengan MySejahtera, menjaga penjarakan sosial, mencuci tangan dengan cecair sanitasi dan mengamalkan langkah pencegahan Covid-19,” katanya.

Menurutnya, sekiranya pemilik perniagaan gagal mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka akan berdepan dengan tindakan.

“Kementerian akan terus membuat pemantauan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, sehingga 7 Februari, pemeriksaan pematuhan SOP telah dilakukan terhadap 357,489 premis perniagaan di seluruh negara.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 112 premis perniagaan telah dikenakan kompaun dibawah Akta 342,” katanya.

Alexander berkata, KPDNHEP dan komuniti peruncitan menyambut baik persetujuan dan pengumuman pembukaan semula 17 aktiviti sektor perdagangan pengedaran yang akan bermula pada 10 Februari.

“Pengumuman ini tepat pada masanya dan sangat dinanti-nantikan, bukan sahaja pemain industri yang terbabit, malah kepada seluruh pengguna yang telah lama menunggu pembukaan semula aktiviti tersebut.

“Saya yakin, seluruh pemain industri dan pengguna akan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan sebagai tanda sokongan kepada kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 dan pada masa yang sama berganding bahu memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk makan di kedai dua orang pada satu meja dengan jarak satu meter antara meja lain.