Tebing runtuh di Taman Wira, Jerantut akan dibaiki segera

in Edisi Pahang by

KUANTAN – Kejadian tebing runtuh di Taman Wira, Pedah, Jerantut awal pagi pada Khamis mendapat perhatian segera kerajaan negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan kerja-kerja pembaikkan di kawasan runtuhan dilaksanakan dengan segera.

Menurutnya, antara kerja yang perlu dilaksanakan termasuk pemasangan tembok penahan atau struktur gabion seperti yang dicadangkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Jerantut.

“Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jerantut, kejadian kira-kira jam 1 pagi itu susulan hujan lebat berterusan selama lebih tiga jam.

“Keadaan itu menyebabkan aliran air deras anak Sungai Nahar menghakis tebing dinding konkrit sedia ada hingga runtuh,” katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Wan Rosdy berkata, sebagai langkah awal, papan tanda dan kon keselamatan telah dipasang di sekitar kawasan terjejas manakala kakitangan JPS dan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) melakukan pemantauan berkala di lokasi terbabit.

“Setakat ini, runtuhan tersebut tidak menjejaskan rumah penduduk di taman berkenaan.

“Tindakan pemindahan penghuni akan dibuat sekiranya keadaan semakin serius dan berisiko mengancam keselamatan penduduk,” katanya.