Forex haram kerana ada unsur riba

in WacanaQuran by

SHAH ALAM – Pelaburan tukaran mata wang asing atau forex disahkan haram kerana ia melibatkan harta ribawi iaitu mata wang dan mengandungi unsur-unsur riba.

Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah berkata, proses tukaran mata wang asing dalam bahasa Arab disebut bay al-sarf dan Nabi Muhammad SAW ada memberi panduan berkaitan kaedah untuk menukar duit ini agar ia tidak menjadi haram.

Beliau berkata, mengikut panduan tersebut, jika hendak menukar mata wang berbeza, serahan mesti berlaku segera, jika tidak (ada penangguhan) dia akan pergi kepada hukum riba.

Malah katanya, melihat kepada kitab fiqh, para ulama meletakkan tukaran mata wang asing ini hampir kepada tajuk riba.

“Bahkan Imam Malik juga dikatakan sangat tidak suka perkara tersebut dan kalau boleh nak haramkan orang tukar duit kecuali dia bertakwa.

“Takwa dimaksudkan, seseorang itu perlu tahu hukum dan berusaha elak riba kerana riba dengan tukaran mata wang asing sangat dekat. Kenapa sangat dekat? Jika berlaku kelewatan tukaran mata wang asing maka akan berlaku riba yang merupakan dosa besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana al-Quran siri ke-86 bertajuk Forex: Fatwa Siapa Diambil yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Media Karangkraf di sini pada Isnin.

Turut menjadi panelis program, Pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy, Mustafar Mohd Suki, sementara Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan Qari, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah al-Baqarah ayat 278.

Tambah Ahmad Sufian, riba juga adalah kunci kepada segala masalah ekonomi dan atas sebab itu Islam mengisytihar perang ke atas riba.

Menurutnya, dalam konteks perundangan, menurut para tabiin, ia memberi satu kuasa kepada kerajaan untuk menghukum sehingga mati bagi yang melakukan riba secara tegar.

Katanya, ada juga yang menceritakan, apabila riba dilakukan dalam forex, perkara itu akan ditanyakan ALLAH SWT di akhirat kelak.

“Jika sudah diberi nasihat tapi kita tetap melakukan (terlibat forex), kita degil dan cuba cari fatwa yang kata forex tidak haram, ALLAH akan isytihar perang dan perang di akhirat amat azab.

“Berhati-hatilah dengan dosa besar ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Sufian berkata, pendidikan fiqh muamalat juga dilihat sangat penting untuk diterapkan lebih awal di kalangan umat Islam iaitu seawal peringkat sekolah rendah.

“Ini kerana dapatan kajian yang dibuat ke atas mereka yang terlibat skim cepat kaya telah merumuskan orang Melayu terlibat riba kerana fiqh muamalat mereka lemah.

“Jadi pendidikan muamalat ini amat penting supaya mereka itu ada ilmu dan lebih berhati-hati. Jadi kalau ada orang ajak mereka buat forex sekalipun, mereka boleh buat semakan terlebih dahulu,” katanya.