Pemimpin tak perlu rasuah untuk dapat sokongan

in Mahkamah by

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan untuk mendapat sokongan seseorang pemimpin tidak perlu memberi rasuah tetapi cukup dengan menunaikan janji untuk bangunkan negara.

Beliau berkata, ini seperti mana yang diamalkan ketika beliau memerintah negara sewaktu menjadi Perdana Menteri keempat.

“Saya dapat sokongan bukan kerana bagi apa-apa kepada orang. Saya nasihat (kepada) (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kalau nak popular tak perlu beri duit. (Tapi) turun ke kampung, bersalam dengan orang, tanya apa khabar, itu sahaja sudah cukup untuk mendapat sokongan.

“Saya tidak belanja duit. Saya kedekut. Duit saya adalah duit saya. Saya tidak beri kepada orang.

“Tapi dengan cara kita berbaik-baik, lepas itu kita tunai janji kita nak bangun negara. Kita kena tunai janji untuk buat sesuatu. Jadi orang sokong kerana itu bukan sokong kerana rasuah,” katanya pada Wawancara Khas Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad anjuran Sinar Harian dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar selaku moderator di Studio F Kompleks Karangkraf di sini pada Rabu.

Beliau turut mengulas mengenai pandangan yang menyatakan masalah rasuah kini berpunca daripada era pemerintahannya

Jelas beliau, masalah itu tidak sepatutnya dilihat hanya dari zaman pemerintahannya tetapi sejak negara merdeka lagi.

“Kalau nak pergi ke belakang, berpunca daripada merdeka dan demokrasi kerana demokrasi memerlukan suka ramai, populariti. Kadang-kadang ada orang yang nak dapat sokongan, dengan bagi duit. Itu bermulanya rasuah.

“Tetapi masa itu setakat nak jadi ketua bahagian dan kita boleh larang, boleh tukar. Tidaklah begitu teruk, tidaklah boleh mendirikan kerajaan.

“Saya bagi amaran berkali-kali kalau kita buat begini rakyat akan tolak kita. Ini sudah pun berlaku kerana kita dapati semakin lama, semakin ramai menyertai politik bukan kerana nak menyumbang kepada negara, bangsa atau agama tetapi kerana mahu ada tempat bagi diri sendiri,” katanya.