Guru gigih tingkat kreativiti laksana PdPR

in WacanaQuran by

SHAH ALAM – Proses pembelajaran secara dalam talian sememangnya memerlukan satu kreativiti yang sangat tinggi.

Menurut Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Abdul Muiez Ruslee, kebanyakan guru tidak dilatih secara profesional untuk mengendalikan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada pelajar.

Beliau berkata, walau bagaimanapun masing-masing gigih mencari jalan bagaimana untuk melaksanakannya dengan lebih berkualiti dan menarik.

“Kalau kita lihat guru yang berusia pun mereka masih lagi bersemangat untuk belajar menggunakan aplikasi yang ada untuk membantu pelajar supaya lebih faham apa yang dipelajari.

“Ada juga dalam kalangan guru sanggup belajar buat YouTube sehingga mampu mewujudkan platform seperti Cikgootube, Teacher’s YouTuber dan juga Academi YouTuber. Semua ini bukan secara langsung dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tetapi atas inisiatif guru sendiri yang mahir menguruskan YouTube.

“Ini adalah salah satu usaha untuk menarik minat pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana al-Quran siri ke-88 bertajuk PdPR: Tanggungjawab Bersama yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Turut menjadi panelis program, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohamad Zarifi Mohamad Daud, sementara Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan Qari, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah al-Nisa’ ayat 58.

Abdul Muiez berkata, proses PdPR bukan sahaja menggunakan pendekatan secara dalam talian (online), namun turut menggunakan kaedah luar talian (offline) dan juga off-side.

“Kaedah dalam talian biasanya kita buat ‘real time’, maksudnya guru berbual secara langsung dengan pelajar menggunakan aplikasi Google Meet, Zoom, Facebook Live dan YouTube.

“Kaedah luar talian pula guru menggunakan aplikasi Telegram ataupun WhatsApp untuk menyediakan kerja rumah dalam pelbagai bentuk termasuklah video dan slaid. Off-site pula guru sediakan modul kepada pelajarnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyambut baik inisiatif KPM yang mana bekerjasama dengan syarikat televisyen bagi menyiarkan Slot Program TV Pendidikan.

Katanya, pendekatan tersebut dapat membantu pelajar yang tidak mendapat capaian internet mengikuti PdPR semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“KPM telah menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey Radio Televisyen Malaysia (RTM), Tutor TV ASTRO, dan [email protected]

“Malah yang terkini ialah KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial iaitu DidikTV KPM dengan pengisian dari jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam. Ia boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran NTV7 di TV Unifi.

“Jadi inilah yang menarik perhatian pelajar untuk menonton TV Pendidikan sekarang ini. Ia bukan sahaja belajar mengikut subjek semata-mata, tetapi turut memanggil guru-guru kaunseling untuk memberi motivasi dan nasihat agar pelajar terus bersemangat untuk belajar,” katanya.