PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

February 2021 - page 6

Inspektor, anggota positif dadah dicekup dalam parti liar

in Edisi by

IPOH – Polis menahan enam pegawai dan anggota yang sedang berhibur serta disyaki mengambil dadah dalam satu parti liar di sebuah pangsapuri, di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kira-kira jam 1.30 pagi itu turut menahan lapan wanita termasuk tiga warga Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut tidak menemukan dadah tetapi ujian yang dijalankan mendapati pegawai dan empat anggota didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Tujuh wanita termasuk dua warga Indonesia turut positif,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada pangsapuri tersebut disewa atau milik salah seorang suspek.

“Kita tidak berkompromi terhadap anggota yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan tindakan tegas diambil sama seperti orang awam,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mior Faridalathrash berkata, polis Perak berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila merampas 22.24 kilogram (kg) bernilai RM866,577 sejak Rabu lalu.

Katanya, hasil risikan yang dijalankan sekitar Taiping dan Manjung itu berjaya menahan tiga lelaki berusia 26, 35 dan 40 tahun.

“Kes pertama, dua suspek ditahan dalam serbuan sebuah rumah di Kampung Baru, Kamunting dan menemukan dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM9,077 selain menyita sebuah kereta dan motosikal.

“Di Ipoh, suspek yang menunggang motosikal ditahan membawa 4.5kg heroin berjumlah RM157,500 di Lapangan Symphony Business Park, di sini,” katanya.

Jelasnya, kesemua suspek direman sehingga 3 Mac ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mior Faridalathrash berkata, dadah jenis methamphetamine seberat 17.5kg bernilai RM700,000 pula ditemukan terapung di perairan Pangkor.

“Seorang nelayan yang menjumpai guni terapung bertindak menghubungi polis dan menyerahkan bungkusan itu.

“Pemeriksaan mendapati terdapat 20 bungkusan serbuk teh, 17 bungkus mengandungi dadah dan tiga daripadanya rosak dimasuki air. Tiada tangkapan dibuat bagi kes ini,” katanya.

Tayar terpakai jadi sumber pendapatan

in Edisi by

SEREMBAN – Kebiasaannya tayar yang sudah tidak elok akan terus dibuang atau disimpan, namun berbeza bagi fasilitator, Zazali Iberahim yang menjadikan tayar terpakai itu sebagai sumber pendapatannya sejak setahun yang lepas.

Bukan untuk kegunaan pada motosikal atau diubah suai menjadi landskap halaman rumah, sebaliknya berbekalkan kreativitinya, tayar terpakai berkenaan direka bentuk sebagai arca menjadi pelbagai objek menarik termasuk koleksi haiwan, di kediamannya di Senawang dekat sini.

Menurut Zazali, 58, atau lebih mesra dipanggil ‘pak cik dinasour’ dalam kalangan kanak-kanak di situ, dia mendapatkan bekalan tayar motosikal atau kereta itu secara percuma di kedai-kedai tayar di sekitar Senawang.

“Saya terpaksa berhenti kerja selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lepas, jadi saya perlu cari pendapatan tambahan untuk menampung kehidupan saya, kebetulan saya lihat banyak tayar terpakai, ia memberi ilham kepada saya untuk menghasilkan arca.

“Sehingga kini saya telah menghasilkan lebih 50 arca yang kebanyakannya dibeli penduduk sekitar termasuk peniaga yang mahu meletakkan arca sebagai hiasan di premis mereka,” katanya kepada Bernama.

Zazali yang juga bekas tentera itu berkata hampir 80 peratus arca berkenaan merupakan idea kreatifnya sendiri manakala selebihnya direka bentuk atas permintaan pelanggan dan mengambil masa sehari hingga dua minggu untuk menghasilkannya.

Bapa kepada enam anak ini berkata, dia memasarkan arca berkenaan di laman sosial Facebook selain ada rakan yang membantu menyebarkan jualannya kepada orang ramai.

Anak kelahiran Negeri Sembilan ini berkata, arca berkenaan dijual pada harga sekitar RM10 hingga RM2,000 bergantung pada saiz arca berkenaan selain mampu memperoleh pendapatan mencecah RM3,000 sebulan.

Menurutnya, arca terbesar yang dihasilkannya termasuklah dinosaur, burung helang dan burung merak selain tempat hiasan bunga, kerusi dan sebagainya.

Dalam pada itu, Zazali berkata, tayar terpakai yang diolah bukan sahaja boleh dijadikan hiasan dan sumber yang bernilai, malah apa yang lebih penting, mengitar semula bahan terbuang itu dapat memelihara alam sekitar. – Bernama

1 4 5 6 7 8 126
Kembali UTAMA