
KPM pelawa pelajar lepasan SPM 2020 ikuti program, boleh mohon jika penuhi syarat
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempelawa semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang memenuhi syarat untuk memohon tiga program yang ditawarkan.
KPM dalam satu kenyataan media memaklumkan, permohonan mengikuti Program Matrikulasi ambilan 2021, Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) ambilan 2021 dan Program Penghantaran Pelajar Cemerlang (PPC) ke Luar Negara akan dibuka mulai 15 Mac hingga 15 April depan.
Menurut kenyataan itu lagi, pelajar lepasan SPM 2020 boleh memohon terus kepada KPM tanpa perlu melalui UPUOnline.
“Permohonan adalah percuma dan pelajar lepasan SPM 2020 yang berminat, boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui iklan yang akan disiarkan di laman sesawang rasmi KPM www.moe.gov.my pada 8 Mac 2021,” katanya.
Terdahulu, pelajar SPM 2020 telah menduduki peperiksaan SPM pada tarikh 22 Februari lalu, di sekolah masing-masing.
Mereka menduduki peperiksaan bagi Kertas Bahasa Melayu pada hari pertama, diikuti dengan kertas Bahasa Inggeris, Sejarah dan subjek-subjek lain.
Kumpulan pelajar Tingkatan Lima 2020 ini telah mencipta sejarah tersendiri apabila mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan iaitu sekitar empat bulan pembelajaran bersemuka dan selebihnya mengikuti pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype.