Martinez kagum ‘skuad kedua’ Belgium mampu menang besar

in Analisis Semasa by

PENGENDALI Belgium, Roberto Martinez nyata kagum dengan aksi dipamerkan kesebelasan pemain ketika menewaskan Belarus 8-0 pada aksi Kelayakan Piala Dunia di Stadium King Power at Den Dreef pada awal pagi Rabu.

Menurut Martinez, biarpun membuat rombakan besar-besaran dengan mengekalkan hanya tiga pemain yang beraksi ketika terikat 1-1 dengan Republik Czech, 28 Mac lalu, kesebelasan The Red Devils itu dilihat masih mampu mempamerkan aksi bertenaga bagi mencatatkan kemenangan besar berkenaan.

“Saya hanya mengekalkan tiga pemain di benteng pertahanan dan membuat lapan pertukaran pemain termasuk merehatkan dua tonggak utama, Romelu Lukaku Thibaut Courtois dan Kevin de Bruyne pada perlawanan ini.

“Ternyata pemain-pemain simpanan yang diberikan peluang beraksi telah membalas kepercayaan yang diberikan bagi menghasilkan kemenangan ini.

“Pemain-pemain seperti Hans Vannaken, Jeremy Doku, Dennis Praet, Michy Batshuayi dan Leandro Trossard dan Adnan Janujaz telah beraksi dengan baik,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Batshuayi membuka jaringan buat Belgium pada minit ke-14, diikuti Hans Vanaken (min-17, 89), Trossard (min-38, 75), Doku (min-42), Praet (min-49), dan Christian Benteke (min-70).

Sementara itu Martinez berkata, dia bersetuju dengan cadangan daripada Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium (KBVB) berhubung cadangan pertambahan pemain daripada 23 kepada 26 pemain bagi Euro 2020 kelak.

Malah katanya, perkara berkenaan juga telah dibincangkan dengan pengendali England, Gareth Southgate dan Roberto Mancini (Itali), baru-baru ini.

“Bagi saya, pertambahan ini mungkin sesuatu yang sememangnya diperlukan kerana berdasarkan kepada situasi semasa dalam arena bola sepak.

“Secara tidak langsung, ia juga bersesuaian dengan pertukaran lima pemain yang dilaksanakan ketika ini,” katanya.