Pelajar tingkatan lima maut kemalangan babitkan tiga kenderaan

in Edisi Terengganu by

KEMAMAN – Seorang pelajar tingkatan lima maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 330.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2, menghala ke Kuala Terengganu, di sini pada malam Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa Muhammad Amirul Aiman Ruzailan, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di keseluruhan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketiga-tiga kenderaan terlibat iaitu dua buah motosikal jenis Yamaha Y15Z dan sebuah lori jenis Isuzu Hicom, yang dalam perjalanan dari arah sama iaitu dari Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z melanggar bahagian belakang lori Isuzu Hicom tanpa sebarang muatan yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun.

“Akibat pelanggaran kuat itu, mangsa tercampak dan jatuh ke kanan jalan iaitu lebih kurang 15 meter dan secara kebetulan semasa itu motosikal jenis sama ditunggang lelaki berusia 27 tahun berada di belakang.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak sebelum melanggar motosikal mangsa yang berada di tengah jalan.

“Insiden itu menyebabkan penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan patah kaki kiri dan di bawa ke Hospital Dungun bagi mendapatkan rawatan susulan, bagaimanapun pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Hanyan berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.