Banci di Terengganu dijangka siap lebih awal

in Edisi Terengganu by

KUALA NERUS – Banci Malaysia 2020 di Terengganu dijangka disiapkan 15 hari lebih awal berbanding tarikh akhir banci penduduk iaitu 30 Jun, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurut Mohd Uzir, setakat ini seramai 770,000 orang dari 1.26 juta penduduk di negeri ini sudah dibanci oleh 300 pembanci ditugaskan manakala selebihnya akan disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“InsyaALLAH sempat (siap). Kita telah melantik 300 pembanci, setiap mereka perlu siapkan bilangan ditetapkan dan berdasarkan perkiraan kita dengan tempoh yang ada, kita kena banci hampir 600,000 penduduk lagi.

“Kita jangka tidak ada masalah,” katanya selepas hadir ke Program Turun Padang Pesuruhjaya Banci 2020 bersama media bagi memantau pelaksanaan banci secara bersemuka di Kampung Seberang Takir, di sini pada Rabu.

Pesuruhjaya Banci 2020 itu memberitahu, penduduk di daerah Setiu merekodkan respons paling tinggi iaitu 98.59 peratus diikuti Besut (78.65 peratus), Marang (78.1 peratus), Hulu Terengganu (71.82 peratus) dan Kuala Nerus (71.1 peratus).

Dari segi etnik pula beliau berkata, kaum Cina dan India mencatatkan respons agak rendah iaitu masing-masing sekitar 27 dan 20 peratus.

“Oleh itu kita harap semua etnik termasuk kaum Melayu dapat memberi respons yang baik kepada Jabatan Perangkaan Malaysia sama ada banci melalui kaedah secara bersemuka mahupun dalam talian.

“Banci Malaysia 2020 penting bagi kerajaan mendapatkan data untuk merancang pembangunan dari segi kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, capaian internet dan kemudahan awam seperti jalan raya, rekreasi, bekalan air dan elektrik.

“Data yang dikumpul menjadi sumber utama dalam pembentukan dasar oleh kerajaan dalam merangka program dan inisiatif lebih bersasar untuk rakyat,” katanya.

Mohd Uzir berkata, seramai 17.02 juta penduduk Malaysia sudah dibanci sehingga 27 April dan jumlah itu meliputi 52.1 peratus berbanding 32.7 juta anggaran penduduk pada tahun 2020.