PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

April 2021 - page 38

OKU hilang upaya kekal kongsi perasaan

in Edisi Terengganu by

KUALA TERENGGANU – “Lepas insiden itu, pengurusan kerja saya agak lambat nak dibandingkan sebelum ini kerana sakit, tapi saya kena gagahkan diri demi menyara keluarga,” demikian luah [email protected] Mohd Rasiff Embong, 51, salah seorang penerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kategori hilang upaya kekal.

Operator kilang sebuah syarikat perkapalan di Gong Badak, Kuala Nerus itu berkata, dia terpaksa membuat kerja dalam keadaan menahan kesakitan akibat kecederaan di tangan kirinya tetapi itu bukan menjadi alasan untuk dia tidak bekerja.

“Saya kena bekerja walau dalam apa jua keadaan sekalipun untuk memberi makan dan menyara kos persekolahan empat anak berusia dari 20 hingga 13 tahun yang kesemuanya masih bersekolah.

“Biasanya kalau sakit sikit-sikit, saya tahan sahaja dan buat kerja perlahan-lahan. Saya tak boleh ‘manja’kan diri sangat, bila sakit nak ambil cuti tahun atau cuti sakit (MC), sebab boleh menjejaskan gaji bulanan diterima,” katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.

Dia berkata sedemikian selepas ditemui sempena Majlis Perasmian Karnival Penjana Kerjaya Terengganu 2021 di Duyong Marina & Resort, Kuala Nerus.

Semasa diminta menceritakan insiden terbabit, dia yang berasal dari Kampung Gong Pauh, di sini berkata, kejadian berlaku pada 10 Oktober tahun lepas ketika dia bersama seorang rakan sekerja sedang menyiapkan proses awal kerja-kerja persediaan material di tempat kerjanya.

“Masa tu saya dengan seorang kawan sedang ralit menyudahkan kerja-kerja menggulung tali sehingga langsung tidak sedar ada ‘material’ berhampiran terjatuh sebelum saya terpijak lalu terjatuh.

“Ketika jatuh tu saya cuba bangun sebenarnya tetapi tangan kiri saya sudah tidak rasa apa-apa dan semasa itu kelihatan tangan saya seperti patah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), di sini.

“Selepas menerima rawatan, doktor mengesahkan tulang rusuk tangan kiri saya patah dan mungkin mengambil masa agak lama untuk sembuh,” katanya yang turut memaklumkan diberi MC sehingga 9 Disember tahun lalu.

Menurutnya, walaupun dia diminta berehat dalam tempoh agak lama, tetapi dia tetap bersyukur kerana masih menerima pendapatan sepanjang tempoh itu difahamkan bayaran daripada Perkeso selama jumlah hari MC diberikan kepadanya.

“Bila saya dalam situasi ini, barulah saya nampak terlalu banyak faedah mencarum dengan Perkeso sebenarnya, sebagai pencarum kami tidak pernah diabaikan,” katanya.

Dia yang turut menerima pampasan faedah bernilai lebih RM45,000 itu mengakui memang jumlah pampasan diterima satu rezeki buatnya tetapi tidak dapat menggantikan perasaannya yang dapat bekerja tanpa menanggung kesakitan seperti hari ini.

“Duit ini saya akan simpan untuk digunakan pada waktu kecemasan. Memang saya bersyukur sangat-sangat kerana merupakan rezeki tidak disangka buat saya sekeluarga.

“Bagaimanapun pampasan diterima tidak mampu memulangkan semula perasaan saya yang dapat bekerja tanpa menanggung sakit sebelum ini,” katanya yang tetap bersyukur dengan rezeki diterima.

Skuad Sabil gerak kempen vaksin Covid-19 bagi warga emas, OKU

in Edisi Terengganu by

KUALA TERENGGANU – Skuad Sabil Kuala Terengganu menggerakkan kempen bagi membantu menyebarkan maklumat dan penerimaan pendaftaran vaksin Covid-19 bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Penasihat skuad Sabil Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, selain jawatankuasa skuad Sabil, program kempen pendaftaran penerimaan vaksin itu juga turut disertai jawatankuasa Pergerakan Puteri dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Beliau berkata, setakat ini seramai 580 anggota masyarakat termasuk peniaga pasar malam, warga emas dan OKU didaftarkan melalui aplikasi MySejahtera selain pendaftaran secara manual.

“Lokasi tumpuan utama kempen adalah kepada peniaga serta pengunjung pasar malam. Setakat ini tiga siri kempen pendaftaran vaksin Covid-19 telah diadakan.

“Jawatankuasa skuad sabil turut mengunjungi rumah didiami warga emas dan OKU bagi memaklumkan mengenai proses vaksinasi yang diusahakan bagi mengekang pandemik Covid-19.

“Kita hanya membantu menguruskan pendaftaran masyarakat terutama golongan warga emas dan OKU termasuk melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual menggunakan borang khas,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai kempen pendaftaran vaksin Covid-19, di tapak pasar malam di Kampung Bukit Bayas, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Skuad Sabil Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Rubihah Musa.

Dalam pada itu, Wan Hisham berkata, semua jawatankuasa yang terbabit diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum menggerakkan kempen berkenaan.

“Skuad Sabil turut mengaktifkan jentera untuk melakukan kempen dari rumah ke rumah terutamanya di kawasan taman perumahan di seluruh daerah Kuala Terengganu,” katanya.

Kembali UTAMA