Pokok maman beri pendapatan lumayan kepada suri rumah

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

KUALA PILAH – Hidangan rendang maman yang popular dan menjadi antara menu wajib ketika Hari Raya Aidilfitri di Negeri Sembilan mencetuskan idea buat seorang suri rumah untuk mengusahakan ladang tanaman maman atau nama saintifiknya Cleome gynandra.

Raihana Ayub, 31, mula mengusahakan tanaman itu di atas tanah seluas hampir satu hektar yang disewanya di Terachi, kira-kira 30 kilometer dari bandar Seremban, empat tahun lepas.

Bermula dengan hanya beberapa batas maman sebagai percubaan, kini Raihana memiliki lebih 80 batas tanaman itu yang menjana pendapatan ribuan ringgit sebulan selain turut menggaji dua pekerja bagi menguruskan ladangnya.

“Peringkat awal memulakannya saya akui sangat susah. Pada tahun pertama saya gagal meraih sebarang hasil, tambahan pula saya tidak mempunyai apa-apa pengetahuan dan ilmu yang mendalam berkaitan pertanian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Raihana berkata dia kemudian mendapat bantuan daripada pegawai Jabatan Pertanian negeri yang memberi tunjuk ajar dan sering turun padang memantau sendiri keadaan tanaman yang diusahakannya.

Menurutnya, maman merupakan tumbuhan yang agak cerewet dari segi penjagaan dan sensitif kepada cuaca terutama musim hujan, kerana penerimaan air terlalu banyak akan merosakkan akar serta batang pokok itu.

Berkongsi cara penanamannya, ibu kepada tiga anak itu berkata maman dibiakkan menggunakan biji benih yang matang dan ditabur di atas batas yang telah diletakkan baja organik dalam tempoh dua hari dan boleh dipetik selepas hari ke-26.

Anak kelahiran Terengganu itu yang kini turut mempunyai sebuah ladang sayur kangkung dan sawi, berhasrat membuka sebuah lagi ladang maman pada masa depan ekoran permintaan tinggi terhadap tanaman itu termasuk dari luar Negeri Sembilan.

“Bertani kini sudah sebati dengan diri saya dan nasihat saya kepada golongan muda yang menceburi bidang ini supaya tidak menyerah kalah serta perlu ada kekuatan fizikal dan mental. Bertani memang menguntungkan tetapi cabaran tetap ada,“ katanya yang turut memanfaatkan laman Facebook bagi memasarkan produknya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara Kampus Puncak Alam, Selangor Profesor Madya Dr Norazmir Md Nor berkata, tanaman maman kaya dengan nutrisi dan kandungan beta kerotene, kalsium dan asid folik yang baik untuk kesihatan.

“Seperti juga kebaikan memakan sayur-sayuran dan ulam-ulaman, daun maman dikatakan berupaya menjadi penawar untuk beberapa masalah kesihatan termasuk bagi merawat buasir, cirit-birit, alahan kulit dan tekanan darah tinggi,” katanya. – Bernama