Penagih OKU tak serik masuk lokap

in Edisi Johor by

SEGAMAT- Bagaikan tidak serik keluar masuk lokap, seorang lelaki kurang upaya (OKU) sekali lagi ditahan polis kerana memiliki dadah dalam satu operasi di Taman Yayasan 3, di sini malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, suspek yang berusia 39 tahun dan mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah itu ditahan kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat yang melakukan pemantauan.

“Skuad 42 BSPT yang dianggotai seramai 14 orang anggota dan diketuai seorang Inspektor ketika itu sedang melakukan rondaan, sebelum menemui suspek yang sedang menaiki motosikal dalam keadaan yang mencurigakan.

“Setelah pemeriksaan fizikal ke atas suspek, polis telah menemui dua paket plastik lutsinar berisi dadah, disyaki jenis syabu dengan anggaran berat kasar 0.7 gram, dua paket plastik lutsinar dan satu kertas timah berisi dadah disyaki jenis heroin anggaran berat kasar 1.2 gram.

“Kita juga menjumpai wang tunai sebanyak RM1,754, dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM2,900,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek lelaki OKU (cacat kaki) itu, dia didapati mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Ujian saringan awal ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan opiate.

“Suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah dan akan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dia juga dikenakan kompaun RM5,000 kerana didapati telah melanggar peraturan-peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti mana prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, iaitu merentas negeri tanpa kebenaran polis,” katanya.