Lelaki maut kereta bertembung lori

in Edisi Johor by

ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 7 Jalan Gelang Patah-Ulu Choh, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mokhtar berkata, nahas tersebut berlaku pada jam 9.50 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika lelaki tersebut yang berumur 20 tahun memandu Toyota Vios dari arah Ulu Choh ingin menghala ke Gelang Patah.

“Setibanya di selekoh jalan tersebut, mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas masuk ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan lori dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun yang datang dari arah Gelang Patah secara bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dzulkhairi berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulai untuk proses bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.