Tiga bot, 24 nelayan asing ditahan

in Edisi Terengganu by

KEMAMAN – Taktik nelayan asing menggunakan nombor pendaftaran tempatan dipercayai palsu pada tiga buah bot dinaiki tidak berjaya selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kemaman, pada Khamis.

Tiga bot nelayan asing terbabit ditahan bersama 24 kru termasuk tiga tekong pada jarak 31 hingga 35 batu nautika timur laut Kuala Kemaman.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, ketiga-tiga bot tersebut ditahan sekitar jam 4.10 hingga 4.50 pagi oleh Kapal Maritim (KM) Gemia ketika rondaan rutin OP Iman dan OP Khas iaitu OP Kuda Laut, OP Naga Barat dan OP Pagar Laut di perairan Terengganu pada Khamis.

Menurut beliau, bot mencurigakan itu dikesan berdasarkan ciri dan struktur fizikal yang menyerupai bot nelayan Vietnam, namun menggunakan nombor patil tempatan dan sedang menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua bot itu dikendalikan 24 kru termasuk tekong berumur antara 20 hingga 44 tahun yang kesemuanya warga Vietnam dan telah mengemukakan dokumen pengenalan diri, permit kerja serta lesen bot yang meragukan.

“Bot serta 24 kru termasuk tekong ditahan dan turut dirampas peralatan mencandat sotong serta bekalan diesel anggaran 1,500 liter di mana keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM2.4 juta,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen sah dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua yang ditahan bersama hasil rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman. Nelayan terbabit menjalani saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum siasatan lanjut,” katanya.