Tular Masjid Al-Alami MITC dikompaun tidak benar

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

MELAKA – Tiada sebarang kompaun dikeluarkan kepada pengurusan Masjid Al-Alami MITC, Ayer Keroh di sini yang tular berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika solat Jumaat.

Ini susulan penularan gambar kompaun di media sosial yang didakwa dikeluarkan pihak polis kerana tindakan pihak pengurusan masjid berkenaan yang membenarkan jemaah masuk menunaikan solat Jumaat melebihi bilangan yang telah ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ia bukanlah kompaun namun notis peringatan dan berharap orang ramai lebih berhati-hati menyebarkan berita yang tidak benar.

“Notis berkenaan adalah amaran dan peringatan agar orang ramai mematuhi SOP ditetapkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Sementara itu, Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, insiden yang berlaku di Masjid Al-Alami itu berpunca daripada kegagalan pengawal keselamatan bertugas yang masih membenarkan jemaah masuk ke dewan untuk solat Jumaat melebihi kapasiti dibenarkan.

Menurutnya, JAIM mengingatkan kepada semua jawatankuasa masjid dan surau lebih bertanggungjawab dan memastikan sekurang-kurangnya seorang petugas menguruskan kemasukan jemaah berkupon dan merekodkan kedatangan jemaah agar SOP dapat dipatuhi.

Malah katanya, JAIM juga tidak teragak-agak menghentikan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di mana-mana masjid dan surau yang dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Jemaah yang tidak mendapat kupon tetapi masih degil hingga sanggup bersolat di beranda atau di luar dewan solat, kita tidak akan bertanggungjawab jika mereka dikenakan kompaun,” katanya.