Kempunan joli hasil samun RM1.2 juta

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

MELAKA – Kumpulan penjenayah dipercayai geng Kongsi Gelap 36 kempunan berjoli hasil samun berjumlah RM1.2 juta di sebuah kondominium mewah di Klebang, di sini selepas dicekup polis, Isnin lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, geng samun bersenjata berusia di antara 34 hingga 37 tahun itu ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur tiga hari selepas menyamun seorang ahli perniagaan.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 8.30 malam, mangsa berusia 54 tahun yang berada di kediamannya bersama isteri berusia 42 tahun serta dua orang anak masing-masing berusia 8 dan 9 tahun didatangi empat lelaki yang masuk melalui pintu depan rumah.

“Kumpulan samun terbabit kemudian mengambil pisau di dapur dan mengacukan kepada mangsa selain mengikat tangan mangsa dan isteri sebelum melarikan barangan peribadi dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover yang keseluruhan bernilai RM1.2juta.

“Mereka dipercayai mengambil masa kira-kira lima jam untuk menyelongkar rumah mangsa sebelum melarikan barang berharga termasuk barang kemas, jam tangan, wang tunai dan pelbagai jenis pedang milik mangsa,” katanya ketika sidang akhbar di IPK Melaka di Bukit Beruang di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

Tambah Abdul Majid, kumpulan penjenayah dikatakan menggunakan dua kenderaan untuk melakukan samun di kediaman terbabit.

“Bertindak atas maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menubuhkan pasukan khas dan membuat serbuan di sebuah rumah di Sri Petaling serta menahan lima individu lelaki,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil siasatan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Kesemua ditahan reman selama lima hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 379A Kanun Keseksaan,” katanya.