JAS Pahang ambil tindakan terhadap kilang kertas

in Edisi Pahang by

TEMERLOH – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang akan mengambil tindakan perundangan terhadap sebuah kilang kertas berikutan dipercayai menyebabkan pencemaran hingga menjejaskan sangkar ikan di Kampung Pengkalan Manggis pada Rabu lalu.

Pengarahnya, Mohd Sani Mat Daud berkata, tindakan itu akan diambil berdasarkan bukti yang diperoleh pihaknya susulan hasil siasatan mendapati, pencemaran itu berlaku akibat pelepasan efluen dari kilang tersebut.

“Kita mendapati ia satu insiden akibat kecuaian dan tindakan perundangan akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sangkar ikan milik Mohd Zahir Ibrahim, 37, di kawasan tersebut pada Sabtu.

Hadir sama Exco Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Dalam pada itu, Mohd Sani berkata, notis arahan dikeluarkan iaitu pihak kilang perlu patuh untuk memastikan tiada sebarang pelepasan efluen dilakukan dalam tempoh sita serta perlu mengambil langkah pembaikan.

Kilang yang beroperasi sejak 1996 itu kebetulan tidak beroperasi atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 2 Jun hingga 14 Jun susulan terdapat kluster Covid-19.

Pihak kilang terbabit mengakui membuat pelepasan efluen selama sejam dari kolam takungan terakhir pada petang 9 Jun secara tidak sengaja.

Dalam laporan Sinar Harian pada Sabtu, ribuan ikan sangkar yang diusahakan Mohd Zahir didakwa mati selepas insiden pelepasan efluen oleh kilang tersebut pada Rabu yamg menyebabkan warna air berubah hitam dan berbau busuk.

Sementara itu, Mohd Sharkar memberitahu, pihak kilang diminta membayar ganti rugi yang akan dikendalikan oleh Jabatan Perikanan negeri untuk penaksiran kepada pengusaha terlibat.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Air Sungai Pahang seperti minyak hitam’