Unggah dedah ada syarikat kenakan bayaran untuk vaksinasi pekerja

in Edisi Sabah Sarawak by

KUCHING – Kesemua pekerja industri di Sarawak adalah diberikan vaksin Covid-19 secara percuma daripada kerajaan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, terdapat iklan yang dibuat beberapa syarikat menyatakan mana-mana pekerja mereka yang mahu menjalani vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) yang dibuat di premis mereka perlu untuk membayar sejumlah bayaran.

“Saya ingin menjelaskan bahawa vaksin disediakan secara percuma oleh kerajaan (dan) di kesemua pusat vaksinasi untuk industri, majikan perlu menanggung kos untuk membuka pusat tersebut dan juga kos perkhidmatan yang dikenakan pasukan mengendalikan vaksinasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata, PP khusus untuk pekerja industri adalah perlu bagi mempercepatkan kerja-kerja vaksinasi untuk mereka kerana terdapat banyak laporan kes positif Covid-19 melibatkan tempat kerja.

Beliau berkata, sehingga kini respons rakyat Sarawak terhadap program vaksinasi amat menggalakan dengan sehingga kini sejumlah 855,749 orang di negeri itu telah divaksin. – Bernama