Tujuh leka berjudi dalam semak ditahan

in Edisi Terengganu by

BESUT – Kegiatan tujuh lelaki yang bermain judi di kawasan semak di Kampung Kubang Ikan dekat Kampung Raja, di sini sejak dua minggu lalu terbongkar apabila mereka ditahan dalam serbuan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, tujuh lelaki berkenaan dikompaun RM1,500 kerana melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, tujuh lelaki berusia 44 hingga 61 tahun yang ditahan jam 4 petang Ahad itu mengaku telah bermain judi di lokasi berkenaan sejak dua minggu lalu.

“Tujuh lelaki berkenaan telah diambil tindakan kerana melanggar syarat-syarat PKP di bawah Peraturan 16 Akta 342, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Turut dirampas 52 keping daun terup berwarna merah dan putih serta wang kertas berjumlah RM1,739,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan akan direman di Mahkamah Besut.

Katanya, suspek yang ditahan akan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.