Penagih dadah dicekup bersama 1,400 biji pil kuda

in Edisi Kelantan by

PASIR MAS – Seorang penagih dadah dicekup bersama 1,400 biji pil kuda dalam serbuan di Kampung Pasir Parit, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, suspek berusia 39 tahun itu dicekup dalam serbuan pada jam 8.30 malam.

“Kita tahan suspek di hadapan rumahnya dan hasil pemeriksaan ke atas sebuah beg silang milik susupek telah membawa kepada penemuan pil kuda tersebut,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Menurutnya, saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, semakan turut mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berkait dengan dadah.

Mohd Nasaruddin berkata, kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya, rampasan ini hasil serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Tok Uban bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.