Sungai Sengkang, Sungai Skudai dicemari bahan kimia

in Edisi Johor by

JOHOR BAHRU – Pencemaran di Sungai Sengkang dan Sungai Skudai di sini pada Ahad berpunca daripada bahan kimia yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab ke dalam sungai itu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menerima aduan tumpahan bahan kimia itu pada jam 9.30 pagi Ahad sebelum satu operasi bersepadu dilakukan.

Beliau memberitahu, operasi melibatkan 40 pegawai JAS, polis, bomba, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Syarikat Air Johor (SAJ), Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Hasil pemeriksaan menyeluruh di kawasan tersebut menjumpai 116 tong pukal (IBC) yang berisi pelbagai campuran bahan kimia berasaskan asid dan alkali dalam keadaan pepejal dan cecair.

“Selain itu terdapat satu kawasan tumpahan bahan kimia yang disyaki menjadi punca pencemaran membabitkan dua sungai itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Katanya, tumpahan cecair tersebut berwarna kehitaman dan mempunyai bau yang kurang menyenangkan.

Beliau memberitahu, pemantauan JAS mendapati bahawa tiada IBC yang pecah dan tumpahan itu berkemungkinan disebabkan bahan kimia yang dibuang dengan sengaja oleh individu itu berdasarkan analisis sebaran dan aliran bahan kimia di situ.

Menurutnya, pihak JAS sudah mengenal pasti pemilik dan penyewa tanah tersebut dan satu arahan lapangan sudah dikeluarkan supaya mereka melakukan kerja-kerja tebatan aliran alur air dan pembersihan di premis itu.

Tambahnya, beberapa pegawai JAS dengan bantuan SAJ, BAKAJ dan JPS telah memantau sungai-sungai yang tercemar selain melakukan langkah pengawalan menggunakan ‘oil boom’, ‘adsorbent pad’ dan ‘dispersant’ jenis ‘zeolite’ supaya aliran bahan kimia dapat dikawal.

“Kesemua kaedah ini telah diselia beberapa kali bagi memastikan kesemuanya dalam keadaan baik.

“Kerja-kerja pembersihan bermula jam 12.40 tengah malam tadi (Ahad) dan disambung semula bermula jam 8 pagi ini. Kerja-kerja pembersihan sungai hampir siap dan keadaan persekitaran dalam keadaan baik,” katanya.

Pihak JAS ujarnya, akan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).