Econsave ringankan beban 50 keluarga terjejas

in Edisi Utara by

ALOR SETAR – Pasar raya Econsave meneruskan program sumbangan meringankan beban 50 keluarga dari daerah Kota Setar dan Pokok Sena di Jalan Langgar, dekat sini yang terjejas kerana hilang pendapatan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengurus Besar Econsave Bahagian Utara 1, Zamzuri Mansor berkata, rata-rata penerima adalah mereka yang bekerja kampung termasuk yang melakukan pelbagai kerja dengan menerima upah harian.

Menurutnya, pelaksanaan PKP menyaksikan ramai yang kehilangan pendapatan dan pihaknya tampil membantu meringankan beban golongan yang terjejas ini.

“Sumbangan barangan dapur yang dihulurkan ini bertujuan meringankan beban 50 orang penduduk setempat dari daerah Pokok Sena dan daerah Alor Setar yang terputus bekalan makanan akibat pelaksanaan PKP,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zamzuri berkata, sumbangan pada Sabtu lalu itu adalah antara program berkala Econsave Cash & Carry Pokok Sena Sdn Bhd untuk membantu golongan sasaran.

Hadir menyampaikan sumbangan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim yang juga Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Kedah.