Ibu kendong anak kecil beratur dalam hujan lebat ambil bantuan

in Edisi Johor by

PASIR GUDANG – Seorang ibu mengendong anak berusia enam bulan beratur dalam hujan untuk mengambil bantuan mencuri perhatian petugas Program Runcit Truck N43 di Rumah Pangsa Permas Jaya di sini pada Khamis.

Penyelaras program, S Deva berkata, ibu berkenaan tidak membawa payung dan tidak berganjak walaupun hujan semakin lebat.

“Petugas dan sukarelawan program ini sebak apabila melihat wanita yang berusia 35 tahun itu dengan bayi kecil dan seorang lagi anaknya berumur tiga tahun setia menanti dalam hujan.

“Tiga beranak itu menanti hampir satu jam untuk mengambil bantuan. Kami sangkakan apabila hujan lebat dia dan anaknya termasuk penerima lain akan bertempiaran lari tetapi jangkaan kami meleset.

“Ibu berkenaan dan penerima lain langsung tidak keluar daripada barisan yang panjang itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program itu.

Disebabkan simpati dengan wanita tersebut dan dua anaknya, beliau memberikan payung sebelum membantu mengangkat barang bantuan dan menghantar mereka pulang ke rumah.

“Wanita berkenaan memberitahu saya suaminya sudah setahun lebih tidak balik ke Malaysia kerana masih bekerja di Singapura.

“Dia agak terharu sambil menitiskan air mata ketika menerima bantuan itu dan amat berterima kasih,” kata beliau yang juga Ketua Penerangan MIC Johor.

Sementara itu, beliau memberitahu, program tersebut dilaksanakan oleh Penyelaras MIC Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas bagi membantu penduduk di beberapa kawasan tersebut yang dikenalpasti ramai golongan B40.

Katanya, seramai 300 keluarga B40 dari Rumah Pangsa Permas Jaya, Taman Scientex dan Taman Air Biru menerima bantuan tersebut.

Tambahnya, program itu dijayakan MIC Permas, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) Team Permas.