Perkhidmatan internet di Long Semadoh dijangka pulih Ogos ini

in Edisi Sabah Sarawak by

KUCHING – Perkhidmatan telekomunikasi dan Internet di Long Semadoh dan lebih 40 kawasan luar bandar di Sarawak dijangka pulih Ogos ini apabila kerja-kerja membaik pulih menara-menara telekomunikasi di kawasan itu siap pada minggu pertama bulan itu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, operasi menara itu terkesan ekoran gangguan pada satelit MEASAT-3 yang telah menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan terbabit.

“Usaha membaik pulih menara-menara yang terkesan oleh gangguan pada satelit MEASAT-3 di seluruh negara sedang giat dijalankan pihak MEASAT dan pemberi perkhidmatan berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Sebuah akhbar tempatan memetik Setiausaha Agung Dewan Perdagangan dan Industri Dayak Sarawak Libat Langub pada 13 Julai lalu sebagai berkata perkhidmatan telekomunikasi dan Internet di Long Semadoh telah terjejas lebih sebulan lepas.

Beliau dilaporkan berkata, perjalanan ke Long Semadoh dari bandar terdekat iaitu Lawas yang terletak lebih 100 kilometer, mengambil masa antara empat dan lima jam melalui bekas jalan balak yang bergunung-ganang.

“Dengan keadaan jalan darat tidak begitu baik itu, penduduknya yang berjumlah kira-kira 2,000 orang dan tinggal di lapan buah kampung amat bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi untuk mendapatkan maklumat khususnya berhubung pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya. – Bernama