MAIPs kurangkan kadar sewa premis

in Edisi Utara by

KANGAR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) meluluskan pengurangan pengenaan kadar sewaan terhadap premis MAIPs sepanjang tempoh penutupan penuh sektor ekonomi dengan implikasi kewangan sebanyak RM171,668.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah insiatif berkenaan menjadikan jumlah penuh peruntukan kewangan di bawah Pakej Inisiatif MAIPs Menangani Wabak Covid-19 bagi 2021 adalah sebanyak RM8,363,078.

Baginda bertitah demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan MAIPs hari ini selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Rahim Mat Isa, 61, yang tinggal bersama lima ahli keluarganya di Kampung Nesam di sini.

Rahim adalah seorang penerima Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs, menghidap diabetes, penyakit buah pinggang dan hipertensi kini menerima rawatan dialisis di Pusat Dialisis Davita Kangar atas tajaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor. -Bernama