Isu kibar bendera: MBNP selar kenyataan Muda Pahang

in Edisi Pahang by

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) menyelar kenyataan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pahang yang mendakwa Kerajaan Pahang membuli rakyat berhubung tindakan kompaun akan dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada premis yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Pahang.

Naib Presiden II MBNP, Asrullah Affendi Abdullah berkata, isu itu tidak sepatutnya dipertikai kerana mengibar Jalur Gemilang merupakan perkara yang sepatutnya dilakukan sebagai tanda cintakan negara.

Menurutnya, pada Ogos setiap tahun merupakan bulan kemerdekaan yang perlu dirai dan dihayati seluruh rakyat bagi mengenang kembali jasa pemimpin terdahulu yang berusaha mencapai kemerdekaan.

Walaupun negara masih berdepan pandemik Covid-19, tiada halangan untuk tunjukkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis, rumah dan di mana-mana sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Asrullah Affendi berkata, isu yang dibawa Muda Pahang itu amat tidak tepat kerana Kerajaan Negeri Pahang sudah banyak menyalurkan pelbagai inisiatif bantuan dan sumbangan bagi membantu peniaga-peniaga dan rakyat yang terkesan dengan Covid-19.

“Tiada isu kerajaan negeri membuli rakyat dengan arahan itu,” katanya.

Sebelum ini pemilik premis diminta mengibarkan bendera itu sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang dan sambutan Bulan Kemerdekaan tahun ini bermula 15 Ogos hingga 16 September depan.

Ketua Penerangan Pro-Tem Muda Pahang, Mohammad Saiful Borhan dalam kenyataannya pada Khamis pula meluahkan rasa kecewa dengan arahan dan tindakan tersebut ketika situasi pandemik Covid-19 meruncing ketika ini.

Menurutnya, kerajaan negeri diminta berhenti membuli rakyat dengan arahan seperti itu sebaliknya perlu memperbanyakkan aktiviti kenegaraan supaya semangat cintakan negara dapat dipupuk bukan secara paksaan.

Melalui kenyataannya itu, Mohammad Saiful berpandangan lebih baik kerajaan negeri memberi insentif termasuk diskaun bayaran pembaharuan lesen kepada pemilik premis dalam semangat bulan kemerdekaan ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada kenyataan Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda sebelum ini.

Melalui kenyataan disiarkan sebuah portal berita itu, Abd Rahim menyatakan bahawa semua premis perniagaan di negeri ini dikehendaki untuk mengibarkan bendera dan tindakan kompaun boleh diambil terhadap mana-mana premis yang gagal berbuat demikian.