Pengeluar vaksin ambil kesempatan?

in Lidah Pengarang by

MINGGU lalu, Pfizer Inc dan Moderna Inc masing-masing menaikkan harga vaksin Covid-19 keluaran syarikat mereka dalam kontrak bekalan terbaharu kepada negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Difahamkan, harga baharu bagi suntikan vaksin Pfizer adalah 23.15 euro (RM116.12) berbanding harga lama 15.50 euro (RM77.75).

Harga bagi vaksin Moderna pula ialah AS$25.50 (RM107.75) bagi setiap dos, meningkat kira-kira 19 euro (RM95.30) berbanding harga ketika awal pembelian, namun masih rendah daripada AS$28.50 (RM120.43) yang dipersetujui sebelum ini kerana permintaan yang meningkat.

Apa pun, harga tersebut adalah mahal berbanding vaksin dihasilkan syarikat Britain-Sweden, AstraZeneca yang menjamin tidak akan membuat keuntungan ketika pandemik dan hanya dijual kepada EU pada harga kurang 2 euro (RM10) seunit.

Kenaikan harga itu muncul ketika EU sedang berdepan bekalan yang terhad, selain kebimbangan mengenai kesan sampingan vaksin keluaran syarikat lain.

Susulan kenaikan itu, Perdana Menteri Bulgaria, Boyko Borissov juga memberi amaran mengenai jurang harga yang besar ketika rundingan penambahan dua bilion dos vaksin pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Pfizer Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) mempertahankan harga mahal vaksin Covid-19 keluarannya dengan berkata, ia dijual kepada negara miskin pada harga kos.

Ketua Pengarah Eksekutifnya, Albert Bourla berkata, vaksin syarikatnya itu terbukti berkesan menyelamatkan nyawa manusia dan menolong negara bangkit kembali daripada pandemik Covid-19.

Pun begitu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tetap menggesa kedua-dua syarikat tersebut supaya mengekalkan harga yang rendah dan berpatutan.

Menurut WHO, dalam situasi pasaran normal, ia kebiasaannya membawa kepada penurunan harga dan bukan sebaliknya.

Selain menyentuh isu kenaikan harga vaksin, WHO sebelum ini pernah memberi amaran ketidaksamaan agihan vaksin menjadi halangan terbesar dunia untuk menamatkan pandemik Covid-19.