Malaysia #QuranHour berlangsung pada 30 Ogos, sempena Hari Kebangsaan

in WacanaQuran by

SHAH ALAM, – Malaysia #QuranHour tahun ke-7, bertemakan Formula Malaysia Berbudi dan Penyayang akan diteruskan dengan kerjasama dan sokongan rakan Sinergi Media Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff berkata, agenda berinteraksi dengan al-Quran tahun ini sempena Hari Kebangsaan itu membawakan formula untuk menyembuh dan merawat Malaysia dengan solusi daripada Ilahi iaitu, surah Al-Mulk dan tujuh surah Musabbihat.

Beliau berkata, seruan berinteraksi dengan al-Quran kali ini disasarkan kepada golongan pemimpin dan ibu bapa untuk mengajak keluarga meluangkan masa sejam pada 30 Ogos ini, bermula dari pukul 12 hingga 1 tengah hari untuk diikuti secara langsung menerusi saluran TV AlHijrah.

“Dengan kemelut politik hari ini dan suasana pandemik yang bagaikan tiada berpenghujung, ramai yang terkesan sehingga menjadi cabaran bagi mengesahkan pelaksanaan Malaysia #QuranHour di peringkat kementerian, dalam dan luar negara.

“Namun, kami optimis dan berharap bantuan Allah untuk menjadikan surah al-Mulk dan tujuh surah Musabbihat sebagai momentum kepada semua rumah, sekolah, universiti, organisasi, komuniti, pemimpin dan rakyat Malaysia di dalam dan luar negara ke arah lebih baik,” katanya pada Majlis Taklimat Sinergi Media Malaysia anjuran WUIF secara maya, pada Rabu.

Menurut Marhaini, fokus pelaksanaan sejam bersama al-Quran semasa Malaysia #QuranHour digalakkan diadakan di rumah bersama keluarga masing-masing untuk menghidupkan rumah dengan al-Quran sebagai visi Masuk Syurga Sekeluarga.

Malaysia #QuranHour di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dianjurkan oleh WUIF dengan kerjasama rakan sinergi termasuk TV AlHijrah, RTM, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar TV, Sinar Harian, Nu Ideaktiv, IKIMfm, News Straits Times Press (NSTP), Zayan FM, Denaihati.com, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran. -Bernama