Rakyat merdeka matang hadapi cabaran

in Lidah Pengarang by

SEJAK negara kita mencapai kemerdekaan 64 tahun yang lalu, pelbagai cabaran sudah kita lalui.

Daripada sebuah negara yang berteraskan pertanian dan perlombongan bijih timah, Malaysia kini menjadi sebuah negara perindustrian yang mampu memberikan kemakmuran kepada rakyat.

Negara juga tidak pernah sunyi daripada pelbagai krisis besar politik, ekonomi dan juga kesihatan.

Tahun lalu seluruh dunia berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menyaksikan satu krisis krisis kesihatan yang amat dahsyat sehingga menyebabkan jutaan nyawa telah mati.

Malaysia tidak terkecuali menghadapi situasi yang sama, malah negara turut berdepan dengan masalah lebih parah lagi.

Negara mengalami krisis berganda iaitu kesihatan, ekonomi dan politik. Ketiga-tiganya berlaku secara serentak.

Pandemik Covid-19 telah menjangkiti sebanyak 1.7 juta rakyat Malaysia dan mengakibatkan 16,087 orang maut.

Dalam usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat, langkah yang terpaksa diambil oleh kerajaan ialah mengehadkan pergerakan bagi mengekang penularan jangkitan.

Namun langkah ini memberi kesan besar kepada ekonomi negara. Banyak sektor terpaksa ditutup. Ramai hilang pekerjaan dan pendapatan.

Lebih parah, krisis politik negara telah mengakibatkan belum pernah lagi dalam sejarah negara apabila kita mempunyai tiga perdana menteri dalam tempoh satu penggal.

Bagaimanapun, kita memuji dengan seluruh rakyat Malaysia yang amat matang dan tidak mudah melatah dengan situasi semasa.

Jika kita lihat di negara-negara jiran, berlaku demonstrasi besar-besaran kerana tidak berpuas hati dengan cara kerajaan mereka mentadbir negara namun perkara itu tidak berlaku di sini.

Walaupun ada usaha untuk membangkitkan kemarahan rakyat menerusi perhimpunan yang dilakukan di ibu kota Kuala Lumpur baru-baru ini, namun ia tidak memberikan kesan besar.

Masih ramai yang dapat berfikir dengan waras bahawa tindakan tersebut tidak sesuai pada masa sekarang. Oleh yang demikian, kita amat berharap agar segala krisis yang melanda Malaysia yang kita cintai ini akan cepat berakhir.