Gencatan politik perlu bersifat dua hala

in Wacana by

SHAH ALAM – Sekiranya mahu membuat moratorium atau gencatan politik, ia perlu bersifat dua hala, kata peguam, Aidil Khalid.

Beliau yang merupakan aktivis undang-undang berkata, gencatan politik itu bukan hanya sekadar menggesa pembangkang berhenti daripada membangkitkan isu yang boleh menyebabkan keutuhan kerajaan menjadi lemah namun ia juga harus terpakai kepada kerajaan sedia ada.

“Maksudnya, sesiapa yang membentuk kerajaan pada hari ini tidak boleh menggunakan kelebihan posisi masing-masing dan tidak boleh menggunakan jawatan seperti Perdana Menteri atau ahli kabinet untuk memperkukuhkan kedudukan politik mereka.

“Selagi mana ada masyarakat (beranggapan) bahawa mereka yang berada di tampuk kuasa menggunakan jawatan itu untuk mencatur atau memperkukuhkan kedudukan politik, maka gencatan atau moratorium itu sukar untuk berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar Harian edisi ke-287 bertajuk ‘Keluarga Malaysia dan Cabaran 100 Hari Kerajaan’ yang disiarkan menerusi langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel penganalisis politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin; Pengarah Eksekutif Third World Network (TWN), Chee Yoke Ling; Pengerusi Pertubuhan IDRIS, Datuk M Nizam Mahshar, manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Aidil berkata, gencatan politik akan dilihat tidak seimbang dan tidak adil jika hanya melibatkan satu pihak.

Beliau turut menyatakan kekesalannya berhubung pemahaman sesetengah pihak bahawa gencatan politik itu perlu bersifat sehala.

“Di satu pihak tidak boleh berpolitik, manakala di satu pihak lagi menggunakan alasan pandemik dan menggunakan aturan-aturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menyekat serta mengukuhkan kekuasaan. Ini bukan proses yang adil,” jelasnya.