Rasuah ibarat endemik, perlu tekanan berterusan demi perubahan

in Wacana by

SHAH ALAM – Tekanan secara berterusan perlu diberikan kepada pemimpin dan pemerintah bagi mereformasikan nilai, budaya dan amalan rasuah di negara ini.

Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia, Badlishah Sham Bahari berkata, kecenderungan masyarakat dalam sesuatu perkara hanya mengikut ‘musim’ dan trend akan menyukarkan usaha reformasi berkenaan.

Menurutnya, usaha dan tekanan yang berterusan yang digerakkan diyakini akan membuahkan hasil sebagaimana beberapa siri kejayaan hasil tekanan tuntutan terhadap perubahan sistem di negara ini.

“Rasuah masih terpalit pada mana-mana pemimpin mahupun pelbagai peringkat pemegang jawatan dalam sektor awam dan swasta dan ini memerlukan reformasi yang menyeluruh kerana masalah rasuah ini sudah menjadi endamik.

“Rakyat perlu berikan tekanan secara berterusan kepada pemimpin agar perubahan budaya ini juga berterusan termasuk perubahan terhadap sistem. Tekanan yang dilakukan sebenarnya memang memberi kesan.

“Lihat contoh bagaimana Undi 18 diperjuangkan. Begitu juga dari segi tekanan pencegahan rasuah sehingga Pelan Antirasuah Nasional (NACP) diwujudkan,” katanya ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian bertajuk Malaysia Tuntut Reformasi Politik Bebas Rasuah, disiarkan secara dalam talian pada Khamis.

Program dikendalikan oleh Ismail Adnan itu turut membariskan Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pejuanita Muda Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Dr Nurul Ashikin Mabahwi sebagai panelis.

Pada masa sama, Badlishah berkata, usaha reformasi berkenaan memerlukan sesi libat urus semua pihak termasuk kesediaan semua peringkat masyarakat memainkan peranan masing-masing.

“Kerajaan mesti sedia mendengar dan rakyat mesti sedia menegur dan cadangan solusi. Apabila ada libat urus yang sihat, termasuk golongan ulama dengan kerajaan, akan menghasilkan sesuatu yang sihat mengarah kepada pembaharuan sistem pentadbiran yang bakal berlaku,” katanya.

Tegas beliau lagi, pembersihan institusi-institusi daripada sebarang unsur budaya rasuah juga perlu diberi perhatian khusus.

“Cara membersihkannya adalah dengan bebaskan agensi-agensi kerajaan (tiada campur tangan kerajaan) terutamanya institusi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga institusi badan kehakiman iaitu membabitkan Pejabat Peguam Negara,” katanya