Pinda segera akta, iktiraf pekerja ekonomi gig

in Wacana by

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan supaya segera meminda Akta Kerja 1955 dengan memasukkan pekerja ekonomi gig di dalam akta berkenaan bagi membolehkan kebajikan mereka dilindungi.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, ketika ini pekerja dalam sektor itu seperti e-hailing, pengangkutan makanan dan barangan seperti Grab dan Foodpanda serta perniagaan dalam talian tidak mempunyai sebarang perlindungan yang menjamin hak mereka.

Hal ini disebabkan, tidak wujud hubungan antara pekerja dan syarikat atau majikan bagi sektor ekonomi gig kerana ketiadaan akta khsusus untuk golongan tersebut.

“Oleh sebab itu MTUC bersama Pemuda UMNO dan persatuan ekonomi gig cuba mencari jalan untuk menyelesaikan perkara ini.

“Hasil perbincangan bersama, kami berpandangan bahawa hubungan antara pekerja ekonomi gig dan majikan perlu diwujudkan dengan cara kerajaan terutamanya Kementerian Sumber Manusia meminda akta berkenaan.

“Jadi, kami mendesak supaya kerajaan meminda akta sedia ada dan memasukkan pekerja sektor ini tanpa perlu mewujudkan akta baharu kerana yakin akta sedia ada sudah mencukupi untuk melindungi pekerja-pekerja ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian edisi 292 bertajuk Nasib Si ‘Penghantar’ yang disiar secara langsung melalui semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, selaku sektor yang paling mendapat tumpuan ketika ini, pekerja berkenaan seharusnya mendapat perlindungan sewajarnya dan turut menikmati faedah seperti pekerja dalam sektor lain.

“Pekerja ekonomi gig mungkin tidak bermimpi untuk mendapat faedah seperti cuti bersalin, cuti tahunan tetapi sekurang-kurangnya ada faedah lain untuk mereka sebagai contoh dilindungi dari segi keselamatan dan faedah gaji minimum dalam kaedah sejam,” katanya.

Tambahnya, sudah tiba masanya perkara ini diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan supaya kebajikan pekerja sektor ini dilindungi dengan sebaiknya.

“Kami harap permohonan ini dapat dilaksanakan segera dan sememangnya mahukan perubahan lebih baik untuk pekerja ekonomi gig ini,” katanya.