PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

October 2021

‘Pencapaian hebat buat skuad muda negara’

in Sukan by

KEJAYAAN skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan tahun depan secara merit disifatkan sebagai pencapaian hebat buat pelapis muda negara.

Menurut pengendali skuad B-22 negara, Brad Maloney, kesemua pemain telah mempamerkan aksi terbaik dengan mengekalkan rekod tanpa kalah selain tidak dibolosi di sepanjang aksi kelayakan berkenaan.

Malah katanya, kesebelasan pemain juga telah beraksi sebaik mungkin pada aksi kelayakan itu biarpun terpaksa mengharungi persiapan serba kekurangan berikutan pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Sebelum ini kami tidak banyak menjalani latihan bersama berikutan situasi pandemik Covid-19 dan menjelang aksi kelayakan ini, kita hanya sempat berlatih selama dua minggu sebelum ke Mongolia.

“Kami juga pasukan terakhir yang tiba ke Mongolia, berbanding pasukan-pasukan lain yang tiba lebih awal.

“Apa pun, kami tetap berlatih seperti biasa dan memastikan persiapan kita berada pada tahap terbaik pada aksi kelayakan kali ini,” katanya pada sidang media dalam talian pada Ahad.

Anak buah Maloney mengesahkan slot automatik ke kejuaraan di Tashkent pada Jun depan, biarpun melakar keputusan seri tanpa jaringan menentang Thailand dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Persekutuan Bolasepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar pada Ahad.

Skuad negara, layak selaku juara Kumpulan J apabila meraih tujuh mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Laos pada 24 Oktober sebelum menewaskan tuan rumah, Mongolia, 1-0 pada 28 Oktober.

Tambah Maloney, dia juga bangga dengan aksi yang dipamerkan dalam kalangan pemain muda negara sepanjang saingan kelayakan berkenaan.

Katanya, kesemua pemain beraksi seperti pemain profesional di sepanjang aksi kelayakan berkenaan walaupun masih muda bagi memastikan kejayaan skuad negara.

“Sekali lagi saya sifatkan kejayaan ini sebagai pencapaian hebat bagi skuad negara. Pemain telah buktikan kemampuan masing-masing di sepanjang aksi kelayakan kali ini.

“Selain itu, pemain telah beraksi berdasarkan kepada prinsipal kita sendiri dalam usaha memastikan misi layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia di Uzbekistan, tahun depan berjaya,” katanya.

MFL ambil perhatian serius isu di Hang Jebat

in Sukan by

PASUKAN Liga Malaysia (Liga-M) yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa sepanjang saingan Piala Malaysia, bakal dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MLF), Stuart Ramalingam berkata, pengendali Liga-M itu tidak akan berkompromi dalam isu ini sekiranya terdapat pelanggaran SOP di Stadium Hang Jebat seperti yang tular pada Sabtu.

Menurutnya, pemantauan di venue perlawanan akan mula diperketatkan oleh kakitangan MFL, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebaik kerajaan membenarkan kemasukan semula penyokong-penyokong ke stadium dalam kapasiti ditetapkan pihak berkuasa.

“MFL mengambil perhatian serius mengenai perkara berkaitan pematuhan SOP sepanjang saingan Liga Malaysia termasuk situasi yang tular di media sosial selepas perlawanan Melaka United menentang Kelantan United pada saingan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, 29 Oktober lalu.

“Setiap pasukan sebelum ini berulang kali diingatkan kepentingan mematuhi SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“MFL telah pun menghubungi pihak kelab bagi mendapatkan penjelasan berkenaan isu yang tular tersebut dan perkara ini akan dibawa ke perhatian Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan lanjut,” ujar Stuart kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Pada Sabtu, tular satu tangkap layar aktiviti menjamu selera di bilik VVIP di Stadium Hang Jebat pada aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia melibatkan Melaka United menentang Kelantan United.

Insiden itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap disiplin dalam kalangan kelab bertanding terhadap pematuhan SOP ditetapkan oleh MKN dan KKM selepas penyokong-penyokong pasukan Liga-M dibenarkan kembali ke stadium.

Untuk rekod, dalam SOP yang ditetapkan sebelum ini, makan dan minum merupakan antara perkara yang tidak dibenarkan di venue perlawanan.

Dalam pada itu, Presiden MFL, Datuk Abd Ghani Hassan telah berulang kali mengingatkan penyokong, pengurusan pasukan, barisan kejurulatihan dan pemain pasukan Liga-M supaya melaksanakan tahap pematuhan tinggi terhadap usaha memutuskan rantaian Covid-19 bagi mengelakkan insiden menimpa Negeri Sembilan FC berulang kembali.

Ekoran daripada itu, Ahli Lembaga Pengarah Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Saperi mengesahkan, pihaknya telah pun dihubungi MFL berhubung perkara berkenaan pada Sabtu.

Sehubungan itu, pihaknya juga telah memberikan maklum balas dan kini sedang menunggu tindakan susulan daripada MFL.

“Kita ambil maklum mengenai perkara ini dan kita akan pastikan tidak ada lagi apa-apa yang disediakan di bilik VVIP pada masa depan,” katanya.

Tze Yong akui kian bersemangat

in Sukan by

PEMAIN perseorangan muda negara, Ng Tze Yong berazam untuk memberikan aksi terbaik dalam usaha mencatatkan lebih banyak kejayaan pada kejuaraan pada masa depan.

Tze Yong yang mencipta sensasi tersendiri apabila muncul juara Antarabangsa Belgium pada Sabtu, juga mengakui kian bersemangat untuk mengharungi kejuaraan kompetitif berkenaan.

“Saya rasa prestasi saya agak konsisten pada kejohanan kali ini (Antarabangsa Belgium) kerana sejak peringkat awal saya diletakkan selaku pemain pilihan keenam.

“Selain itu, saya menyifatkan pertemuan dengan Ajay (Jayaram), tidak terlalu sukar, kerana saya telah bermain dengan taktikal yang betul dan feeling saya hari ini (Sabtu), bagus.

“Oleh itu, saya sungguh berbangga dengan persembahan yang saya pamerkan kali ini. Sebagai persediaan saya juga ada membuat latihan dan juga mengambil protein untuk proses pemulihan saya dan ia memang membantu saya kali ini,” katanya menerusi sidang media dalam talian pada Ahad.

Pada perlawanan akhir, Tze Yong yang muncul naib juara Terbuka Czech di Brno minggu lalu, mudah mengatasi pemain pilihan kelima, Ajay Jayaram, 34 tahun dari India yang berstatus 63 dunia straight set 21-14 dan 21-14.

Pemain berstatus ke-74 dunia berasal dari Johor yang tampil luar biasa di kejuaraan Piala Sudirman dan Piala Thomas sebelum itu menempah slot perlawanan akhir apabila menewaskan pemain Jepun, Yusuke Onodera 20-22, 21-15 dan 23-21 pada peringkat separuh akhir.

Kejuaraan Cabaran Antarabangsa Belgium ini merupakan kejuaraan kedua Tze Yong selepas menggegarkan Terbuka Poland pada Mac lalu, ini juga merupakan kejuaraan ketiga peribadinya selepas mengungguli saingan Antarabangsa Australia Selatan 2019.

Tze Yong dijangka menyertai kejohanan Terbuka Ireland di Dublin mulai 17 hingga 20 November diikuti Terbuka Scotland (25 hingga 28 November) dan Antarabangsa Wales di Cardiff yang bermula 1 hingga 4 Disember.

Sementara itu Tze Yong mengakui melakukan regangan selain mengambil protein dalam usaha memastikannya berada pada tahap terbaik.

Katanya, kedua-dua elemen itu dilihat banyak membantunya mengekalkan prestasi dalam mengharungi kejohanan pada masa depan.

“Saya ada buat stretching dan ada minum protein untuk recovery. Saya rasa ia boleh membantu agar persembahan saya tidak drop (jatuh) sangat.

“Untuk kejohanan akan datang, saya akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.

Sarawak United masih berpeluang mara

in Sukan by

PENGENDALI Sarawak United FC, E Elavarasan menyifatkan skuad kendaliannya itu masih berpeluang untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia biarpun tewas 0-4 kepada Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada Sabtu.

Menurutnya, kesemua pasukan yang beraksi dalam Kumpulan A melibatkan KL City FC, Sarawak United FC, Sri Pahang FC dan Penang FC masih berpeluang untuk mara ke suku akhir berdasarkan kepada situasi semasa.

Malah katanya, Sarawak United juga akan memanfaatkan peluang semasa sesi latihan pasukan dalam masa terdekat untuk kembali bangkit pada baki saingan Piala Malaysia.

“Secara keseluruhannya, saya melihat kesemua pasukan dalam Kumpulan A adalah kompetitif. Lagi pun Pahang menang semalam menewaskan Penang FC

“Tetapi bagi saya, Penang FC pun sebenarnya masih berpeluang. Lagi pun, bagi saya tewas dalam satu perlawanan adalah perkara biasa dalam bola sepak dan ia bukannya satu perkara yang perlu diperbesar-besarkan.

“Lagi pun, setelah berehat panjang, mungkin pasukan hilang momentum dan bila kembali berlatih ada macam-macam isu timbul seperti masalah kecederaan dan sebagainya,” katanya.

Pada perlawanan itu KL City FC menjaringkan gol menerusi Nur Shamie Iszuan Amin pada minit kesembilan dan minit ke-11 diikuti jaringan pemain gantian Christie Jayaseelan pada minit ke-55 sebelum Muhammad Zahril Azri Zabri menjaringkan gol keempat pada minit ke-60 bagi melengkapkan kemenangan skuad warga kota itu.

Kekalahan itu menyaksikan Sarawak United berada pada kedudukan kedua Kumpulan A dengan empat mata hasil satu kemenangan, seri sekali dan tewas sekali daripada tiga perlawanan setakat ini.

Sementara itu, pengendali KL City FC, Bojan Hodak menegaskan kemenangan tersebut penting bagi menyuntik semangat dalam kalangan pemain bagi mengharungi baki perlawanan pada saingan peringkat kumpulan kali ini.

Justeru, Hodak turut berharap agar para pemain akan terus fokus bagi mencatatkan keputusan-keputusan positif pada perlawanan akan datang.

“Kita juga berharap pemain akan terus fokus bagi mengharungi perlawanan-perlawanan akan datang bagi merealisasikan keputusan-keputusan positif tersebut,” katanya.

Thailand mula terima pelancong asing

in Global by

BANGKOK – Thailand cuba menghidupkan semula pelancongan antarabangsa di negara itu dengan menerima ketibaan pengembara yang sudah mendapatkan dos lengkap tanpa perlu menjalani kuarantin wajib bermula Isnin.

Setelah hampir dua tahun, negara tersebut ‘sunyi dan lengang’ tanpa pelancong asing akibat penutupan sempadan sebagai usaha membendung penularan Covid-19.

Sejak beberapa hari lalu, persiapan akhir giat dilakukan yang turut dilihat sebagai peluang keemasan kepada pengusaha tempatan dan langkah pemulihan ekonomi.

Timbalan Gabenor Bangkok, Sophon Phisutthiwong memaklumkan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) bersiap-sedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong asing malah pelan terperinci telah dikemukakan bagi memastikan pembukaan semula bandar tersebut berjalan lancar dan selamat.

“Kadar vaksinasi penduduk setempat memainkan peranan penting untuk usaha ini. Kira-kira 75 peratus individu atau 5.8 juta daripada tujuh juta populasi di Bangkok sudah menerima dos lengkap.

“Jika dilihat dari segi itu, ia bermakna Bangkok sudah bersedia untuk kembali dibuka,” ujarnya menerusi wawancara bersama CNA.

Difahamkan, BMA turut merumuskan prosedur operasi untuk memastikan pelancong berasa selamat dan menikmati penginapan yang selesa di tengah-tengah normal baharu.

Ia juga meliputi aktiviti sepanjang percutian, pengangkutan dan laluan tertutup antara lapangan terbang dan hotel serta ke beberapa lokasi.

“Kami mahu pelancong mendapat pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Lebih banyak pendapatan dapat dijana apabila sektor pelancongan ini dibuka semula.

“Kami mahu ekonomi kembali pulih terutamanya untuk sektor perkhidmatan. Kebanyakan penduduk tempatan terjejas kerana perniagaan terpaksa ditutup untuk tempoh yang lama,” kata Sophon.

Menurutnya, BMA juga menggariskan ‘exit plan’ yang akan dilaksanakan apabila penularan Covid-19 mencapai tahap kritikal yang akan dinilai berdasarkan kes jangkitan harian, jumlah kematian dan kadar penggunaan katil hospital.

“Sebagai contoh, pembatalan program ini mungkin akan dibuat jika purata jumlah kes jangkitan harian melebihi 2,300 kes. Kami sudah membuat perancangan dengan teliti,” jelasnya lagi.

Selain membuka pintu kepada 46 negara dan wilayah berisiko rendah, Thailand juga akan menerima pengembara di bawah skim pelancongan Sandbox yang pertama kali dilaksanakan di Phuket pada Julai lalu.

Program itu akan diperluaskan kepada beberapa destinasi pelancongan terkenal lain seperti Bangkok, Chiang Mai dan Pattaya yang membenarkan pengembara sudah menerima dos lengkap berkunjung ke ‘zon biru’ tanpa perlu menjalani kuarantin.

Platform pelancongan, Tripadvisor mendapati Thailand menjadi destinasi popular pelancong dari United Kingdom (UK), Jerman, AS, Perancis dan Australia.

“Terdapat peningkatan dalam carian dan tempahan ke beberapa lokasi di negara itu. Kami menjangkakan trend ini akan berterusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang selepas keyakinan orang ramai semakin meningkat untuk kembali melancong,” kata Ketua Perkongsian Media Asia Pasifik di Tripadvisor, Sarah Mathews.

Data laman itu juga menunjukkan destinasi paling popular yang menjadi pilihan ramai termasuk Bangkok, Phuket, Chiang Mai dan bandar tepi laut Pattaya di Chon Buri.

“Thailand sentiasa menjadi destinasi pelancongan yang besar di Asia Pasifik dan terdapat permintaan yang tinggi untuk pelancong kembali menerokai negara tersebut,” ujarnya. – Agensi

Syor insentif untuk golongan tidak merokok

in Pojok by

PADA pembentangan Bajet 2022, kerajaan mengumumkan dua langkah untuk memupuk budaya sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Yang pertama, cukai minuman gula yang diperluaskan kepada minuman berasaskan coklat, malt, kopi dan teh.

Keduanya, kerajaan mengumumkan kenaan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Ia adalah tindakan yang wajar disokong ke arah melahirkan rakyat yang sihat dan bebas daripada penyakit disebabkan oleh rokok elektronik.

Seiring usaha untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup sihat, Merak Jalanan ada satu cadangan yang wajar dipertimbangkan kerajaan dan pihak swasta iaitu dengan memberikan insentif kepada mereka yang tidak merokok.

Merak Jalanan fikir syor itu akan menjadi faktor pemangkin ke arah mengurangkan jumlah perokok.

Bantuan tunai secara one off boleh diberikan kepada golongan berkenaan seperti mana kerajaan memberikan bantuan sara hidup.

Mekanisme pemberian insentif juga boleh dilaksanakan melalui satu aplikasi khas seperti MySejahtera yang mewajibkan setiap pemohon menyertakan surat doktor yang mengesahkan mereka bukan perokok.

Aplikasi itu juga boleh dilengkapi dengan data penting seperti nombor akaun bank untuk penyaluran insentif dan kod bar untuk diskaun pelbagai produk makanan, kesihatan, pakaian, produk kelengkapan rumah atau alat elektronik yang mungkin disediakan oleh pihak swasta.

Walaupun pelaksanaannya memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan melibatkan kos, namun impak jangka panjang adalah baik untuk kerajaan, antaranya dapat melahirkan warga sihat dan mengurangkan jumlah kemasukan pesakit di hospital kerajaan akibat kesan asap rokok.

Senyuman bapa tunggal, harapan suri rumah

in Analisis Sinar by

RAMAI yang gembira dengan pengumuman Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu.

Namun, tidak kurang juga yang mengeluh kerana tercicir dalam senarai penerima manfaat Bajet 2022. Bagi golongan B40, sudah pasti mereka antara yang paling beruntung kerana inisiatif kerajaan banyak disediakan bagi membantu memulihkan pendapatan akibat Covid-19.

Di sebalik itu, terdapat satu kumpulan yang sering terpinggir dalam inisiatif bajet kerana golongan berkenaan dirasakan sangat kecil dan mampu menguruskan hidup dengan mudah iaitu bapa tunggal.

Menerusi inisiatif bantuan tunai langsung dan kebajikan, kerajaan memberikan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM500 kepada ibu dan bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dengan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.

Malah, jika menanggung lebih tiga anak dengan pendapatan RM2,500 sebulan, mereka boleh menerima bantuan sehingga RM2,500 seperti yang diperuntukkan.

Kekejaman Covid-19 meragut ramai ibu yang menjadikan suami mereka duda serta-merta tanpa sebarang persediaan untuk menguruskan anak-anak.

Bukan mudah menjadi bapa tunggal, apatah lagi ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi dan kehilangan pendapatan, ditambah perlu melaksanakan dua tanggungjawab berseorangan. Jika berkemampuan mungkin boleh mengambil pembantu untuk menguruskan rumah dan anak-anak tetapi sebaliknya buat golongan berpendapatan rendah.

Ia pastinya memberikan kesan emosi dan mental kepada bapa tunggal untuk menguruskan anak-anak terutama yang masih kecil, selain terpaksa mencari rezeki.

Bagaimanapun, dengan sokongan kewangan daripada kerajaan, golongan bapa tunggal dalam kumpulan B40 boleh menghela nafas lega untuk membesarkan anak-anak biarpun serba kekurangan.

Bantuan untuk golongan bapa tunggal tidak harus terhenti di situ sahaja kerana mereka masih memerlukan sokongan emosi dan persediaan mental.

Naluri bapa tidak sama dengan ibu yang sangat teliti dalam segala hal berkaitan anak-anak. Jika ditanya kepada lelaki, dia tidak pernah kisah tentang baju yang dipakai dua hari lepas, baju berkedut atau warna sedondon.

Berbanding ibu tunggal, mereka memang sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan. Menariknya Bajet 2022 kali ini, taraf golongan wanita secara keseluruhannya diangkat ke satu tahap lebih baik dengan pelbagai inisiatif disediakan.

Namun, masih ada kumpulan wanita yang melihat mereka kurang mendapat tempat iaitu suri rumah. Golongan itu juga mahu dihargai kerana peranan besar mereka dalam menguruskan rumah tangga.

Ketika pandemik, beban ditanggung suri rumah amat besar selain menguruskan keluarga, mereka juga terpaksa menjadi guru memantau sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Mungkin ada yang melihat tugas sebagai suri rumah mudah kerana sentiasa berada di rumah tetapi kerja di dalam rumah tidak pernah habis dan tiada cuti.

Jadi, amatlah wajar jika kerajaan dapat memberi penghargaan kepada golongan itu dengan memberi wang saku yang dikreditkan di dalam Shopee seperti bantuan RM150 ke dalam e-dompet kepada belia.

Sekurang-kurangnya, terubat juga penat lelah mereka apabila melihat syarikat kurier menghantar barang ke rumah.

Bagi suami yang ada rezeki lebih, berkongsilah dengan isteri bagi menghargai pengorbanan dan kepayahan mereka menguruskan anak-anak yang sangat mencabar terutama sepanjang tempoh pandemik.

Inilah semangat Keluarga Malaysia yang perlu saling menghargai dan bertolak ansur dalam rumah tangga.

Apa yang pasti, setiap bajet diumumkan kerajaan pastinya mahu melihat segenap lapisan rakyat dan setiap golongan merasai nikmat kemakmuran secara bersama.

Apa pun, setiap keputusan diumumkan pasti ada kelemahan dan kekurangan yang boleh diperbaiki dari masa ke masa.

Hakikatnya, sebarang perubahan atau penyesuaian tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak disebabkan pelbagai kekangan terutama membabitkan sumber kewangan.

* Saifullah Ahmad ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Perak

Lebih baik lanjutkan moratorium

in Lidah Pengarang by

ADA rakyat yang kecewa apabila Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak mengumumkan pengeluaran tambahan duit daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat.

Pemuda UMNO juga kecewa apabila tiada pengumuman mengenai pengeluaran sebanyak RM10,000 secara one off seperti yang dikemukakan Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam memorandum dengan segala justifikasi berpandukan rintihan rakyat kepada Tengku Zafrul dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebenarnya kerajaan sudah membuat keputusan yang tepat apabila tidak membenarkan lagi pengeluaran tambahan wang yang tujuan asalnya disimpan untuk kegunaan hari tua.

Jika dihitung secara kasar, contohnya seorang pencarum itu telah mengeluarkan RM10,000 melalui i-Citra dan RM5,000 melalui i-Lestari, maka sudah RM15,000 dikeluarkan daripada simpanan persaraan.

Sekiranya dibenarkan lagi pengeluaran sebanyak RM10,000, maka secara totalnya sebanyak RM25,000 telah dikeluarkan daripada simpanan KWSP.

Dengan hampir separuh pencarum yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam KWSP, kebenaran pengeluaran tambahan adalah tidak praktikal untuk membantu rakyat dalam pasca Covid-19.

Tambahan pula, ia adalah wang simpanan sendiri, titik peluh yang sepatutnya digunakan pada hari persaraan yang mungkin lebih mencabar daripada Covid-19.

Adalah lebih baik, kerajaan mewajibkan pihak bank melanjutkan moratorium tanpa faedah secara automatik kepada semua peminjam yang masih terkesan dengan pemotongan gaji dan hilang sumber pendapatan.

Lanjutan moratorium tidak akan memberi kesan yang besar kepada bank kerana berdasarkan kepada laporan-laporan berita, bank-bank tempatan masih mencatatkan keuntungan juta-juta dan bilion-bilion di sebalik pandemik yang melanda.

Inilah masanya bank meneruskan bantuan kepada peminjam yang sebelum ini banyak menolong bank-bank mencatatkan keuntungan berlipat kali ganda.

Pemandu e-hailing mengaku salah bantu ah long

in Video by

Pemandu e-hailing mengaku salah bantu ah long

BERITA SEMASA 31 OKTOBER 2021

Seorang pemandu e-hailing mengaku bersalah atas di Mahkamah Majistret Pontian pada Ahad atas pertuduhan mengugut seorang peminjam dan membantu kegiatan syarikat wang pinjaman tidak berlesen pada September dan 25 Oktober lalu, lapor wartawan Sinar Harian, Nor Azura Md Amin.

Baca artikel penuh di: https://bit.ly/3EwhFqF

Muzik: www.bensound.com

#SinarHarian #beritasemasa #Mahkamah #Ahlong

1 2 3 321
Kembali UTAMA