Kerajaan perlu kekalkan momentum pentadbiran

in Lidah Pengarang by

LANGKAH kerajaan melalui pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melibatkan semua pihak dalam agenda pentadbiran negara menunjukkan hasil yang positif.

Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri ketika temu bual bersama editor kanan media cetak yang disiarkan pada Ahad, Ismail Sabri mengakui keadaan ketika ini agak tenang.

Rakyat juga dapat melihat bukan sahaja di luar malah di dalam Parlimen keadaan tidak lagi kelam kabut dan kebimbangan kerajaan akan tumbang pada bila-bila masa tidak lagi timbul seperti sebelum ini.

Jelas sekali Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang menampakkan impak yang baik.

Usaha melibatkan pembangkang dalam libat urus Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan akan meneruskan kerjasama dalam Belanjawan 2022 juga satu lagi kemajuan dalam pentadbiran negara.

Dengan peluang yang diberikan, sudah semestinya pembangkang akan dapat memberikan pandangan yang positif untuk kepentingan rakyat dan pemulihan ekonomi Malaysia.

Pandangan tersebut penting kerana dalam sesetengah keadaan, pembangkang lebih ‘nampak’ masalah rakyat berbanding kerajaan disebabkan kedudukan mereka dan begitulah sebaliknya.

Oleh itu gabungan dua pihak dalam merencanakan agenda untuk rakyat akan memberikan hasil yang lebih besar impaknya.

Selain itu, usaha untuk melibatkan rakyat sebagai juri dalam menilai prestasi 100 hari kerajaan yang ada pada hari ini juga bertepatan dengan tema Keluarga Malaysia.

Rakyat seharusnya menyambut baik usaha itu dan mengambil peluang untuk memberikan maklum balas jujur prestasi setiap menteri yang terlibat.

Setakat ini kerajaan belum mengumumkan skema pemarkahan dan platform untuk rakyat membuat undian sama ada di media sosial atau laman web rasmi kerajaan.

Apabila diwujudkan kelak maka ia adalah peluang terbaik untuk sama-sama memberikan markah sesuai kepada menteri yang perform dan menteri yang kurang proaktif ke arah menjadikan Malaysia yang lebih baik.