Kekurangan peruntukan bajet punca TVET terpinggir

in Wacana by

SHAH ALAM – Kekurangan peruntukan bajet untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) antara punca menyebabkan program berkenaan terpinggir.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata, TVET hanya mendapat 10 peratus daripada peruntukan bajet untuk pendidikan umum.

“Kalau (peruntukan) bajet untuk pendidikan umum ialah RM60 bilion tetapi bajet untuk TVET hanya RM5.9 billion. Hanya 10 peratus daripada bajet pendidikan umum. Ini yang dikatakan salah satu sebab TVET terpinggir,” katanya pada program Wacana Sinar edisi ke-295 bertajuk ‘TVET: Emas Yang Terpinggir’ menerusi platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis ialah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan, Nordin Abdul Malek dan Pengarah Eksekutif Dewan Melayu, Rizal Jaapar; manakala Ismail Adnan bertindak selaku moderator.

Mengulas lanjut, Ahmad Tajudin berkata, pendaftaran program TVET negara di peringkat sekolah menengah atas lebih rendah berbanding negara-negara luar seperti Finland, Jerman dan Australia.

“Kalau (peringkat) menengah atas ini merujuk kepada umur 16 tahun ke atas. Kalau di Finland, 60 peratus pelajar mereka memasuki TVET pada peringkat umur yang sama. Jerman sebanyak 80 peratus, manakala Australia pula 80 peratus.

“Tetapi kita di Malaysia 7.2 peratus sahaja, sebab walaupun ruang itu ada tetapi pelajar pada peringkat menengah atas ini, mereka tidak boleh masuk,” ujarnya.

Jelas beliau, kerajaan perlu ada ‘political will’ untuk mengubah keadaan sekarang supaya fokus untuk TVET bukan hanya kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi untuk sistem pendidikan.

“Ia kerana dalam jagaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kita boleh menyediakan tempat cukup bagi mereka yang berminat dalam bidang TVET,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: TVET bekal ilmu, pengalaman kepada usahawan baharu

ARTIKEL BERKAITAN:Usaha perkasa TVET perlu tindakan menyeluruh